Inilah artis Korea pilihan Malaysia paling popular kini, berjaya merangkul takhta Kmania TOP Stars Jan 2022

Kim Jisoo, BTS dan Park Jimin telah menyandang takhta Kmania TOP Stars bulan Jan 2022 apabila meraih undian tertinggi di Malaysia masing-masing untuk kategori “Kdrama Artist Top Stars”, “Kpop Group Top Stars” dan “Kpop Idol Top Stars”.

Kim Jisoo berjaya menganjak ke hadapan dengan peratusan undian yang terbanyak sekali iaitu 33%, disusuli oleh Park Shin Hye (30.4%), Park Hyung Sik (28.7%), Jung Hae In (25.2%) dan Choi Woo Shik (22.6%).

Sesudah disajikan dengan lakonan ‘zombie’ Park Hyun Sik, kali ini penonton Kdrama terpaksa berendam air mata menyaksikan Jisoo meratapi pemergian Jung Hae In di pangkuannya di dalam drama jtbc Snowdrop. Penyanyi yang cantik daripada kumpulan Blackpink itu telah membuktikan kemampuannya berlakon, yang agak memuaskan hati para penonton Kdrama. Pengkritik membandingkan Jisoo dengan Suzy, bekas ahli Miss A, di awal kemunculan mereka di dalam arena lakonan suatu ketika dulu dan Jisoo dikatakan mampu menyambung legasi penyanyi idol yang dinaiktaraf menjadi pelakon bergred A selepas beberapa tahun kemudian.

Rakyat Malaysia mungkin belum kebah lagi dengan demam perkahwinan Park Shin Hye dan Choi Tae Joon menjadi penyeri di dada-dada akhbar sepanjang dua minggu lalu. Atas sebab itulah, Park Shin Hye berjaya memperolehi kedudukan no.2 di hadapan Park Hyung Sik dan Jung Hae In.   Ini juga kali pertama dua orang pelakon wanita mendahului pencabar-pencabar terhebat daripada kalangan mereka.

Untuk pemegang “Kpop Group Top Stars” pula, BTS berjaya merampas takhta tersebut daripada tangan NCT yang merupakan penyandang untuk bulan sebelumnya dengan peratusan undian sebanyak 40.9%. Populariti BTS sepanjang bulan Jan 2022 lalu banyak dibantu dengan kerancakan mereka berinteraksi sesama sendiri di lapangan media sosial masing-masing. BTS kini sedang bercuti panjang sebelum bergiat aktif semula demi menjayakan konsert besar-besaran di Seoul pada Mac 2022 depan.

Namun, Stray Kids mencipta kejutan apabila popularitinya melonjak naik ke tempat kedua manakala ATEEZ pula menyusul di tempat ketiga dengan peratusan undian masing-masing sebanyak 29.6% dan 26.1%. Dengan dibezakan peratusan undian sebanyak 3.5% saja antara kedua-duanya, mereka ternyata mampu menyailang kedudukan NCT yang terpaksa akur di tempat keempat (23.5%). Stray Kids dan ATEEZ sememangnya telah diiktiraf sebagai kumpulan kpop berpengaruh di laman twitter menjadikan mereka agak dikenali di rantau Malaysia. Menyimpul di tempat kelima ialah ENHYPEN (22.6%), kumpulan kpop di bawah jagaan HYBE yang baru saja melancarkan single ‘Blessed Cursed’ pada bulan lalu.

Akhir sekali, Park Jimin pula dinobatkan sebagai pemegang takhta “Kpop Idol Top Stars” lantas merampas takhta tersebut daripada tangan rakan seangkatan, Taehyung. Ketiadaan Jimin selama berminggu-minggu menyebabkan netizen tertanya-tanya ke manakah Jimin pergi selepas jejaknya hilang tanpa dikesan hingga membawa kepada persoalan ‘Where is Jimin’. Semuanya terjawab apabila penyanyi itu dikhabarkan telah menderita sakit apendiks dan turut dijangkiti Covid-19 pada waktu sama, menyebabkan dia terpaksa dikejarkan ke unit kecemasan untuk melakukan pembedahan pada penghujung Jan 2022 lalu. Jimin meredakan kebimbangan peminat dengan memaklumkan bahawa dia kini dalam keadaan baik pulih selepas menjalani pembedahan tempoh hari.

Di tempat kedua, ketiga dan keempat pula masing-masing jatuh kepada Taehyung BTS (37.4%), IU (31.3%) dan Jaehyun NCT (20%) manakala Lee Junho 2PM dan Taeyong NCT terikat di tempat kelima dengan peratusan undi sebanyak 16.5%. Kehadiran IU sebagai satu-satunya artis Kpop wanita membuktikan dirinya juga sangat berpengaruh dalam kalangan rakyat Malaysia meskipun terpaksa bersaing kuat dengan penyanyi idol lelaki yang lebih dominan.

Sebagai bonus, empat lagu kpop paling popular di Malaysia sepanjang Jan 2022 lalu adalah Christmas Tree oleh Taehyung BTS (34%), Only oleh Lee Hi (15.1%), Beautiful oleh NCT dan Eleven oleh IVE yang terikat di kedudukan sama (12.3%). Untuk tiga drama paling popular sepanjang Jan 2022 lalu pula dipegang oleh tvN Ghost Doctor (27.4%), jtbc Snowdrop (20.8%), dan SBS Our Beloved Summer (17%) manakala untuk kumpulan kpop perempuan generasi keempat pilihan rakyat Malaysia pula didahului oleh ITZY (36.3%) dan diikuti oleh Aespa (21.6%) serta EVERGLOW (13.7%).

Kaji selidik Kmania TOP Stars Jan 2022 ini dibuat pada 24 hingga 31 Jan 2022 dengan anggaran 115 undian secara rawak telah dicatatkan.

Segala keputusan di atas adalah berdasarkan undian secara atas talian menerusi website kami kmaniamy.com. Untuk mengetahui carta Top 10 ‘Kmania Top Stars’ bulan lalu sila klik pautan di sini.

loading...