Bae Hyeon Seong, Cha Kang Yoon dan Park Yoon Ho Kongsi Tarikan Watak dalam ‘The Substitute’

Menjelang tayangan drama thriller jenayah The Substitute pada 23 November 2026, tiga pelakon utamanya, Bae Hyeon Seong, Cha Kang Yoon dan Park Yoon Ho berkongsi sebab memilih projek tersebut serta pendekatan mereka dalam menghidupkan watak masing-masing.

Drama ini mengisahkan tiga pelajar sekolah menengah yang terjerat dalam satu jenayah pada hari peperiksaan kemasukan universiti (CSAT). Kisahnya berpusat pada Kang Geon Tae (Cha Kang Yoon), pelajar cemerlang daripada keluarga berpendapatan rendah yang mendapat biasiswa khas untuk belajar di sebuah sekolah berprestij.

Apabila seseorang yang mengetahui rahsianya memaksanya menduduki peperiksaan bagi pihak orang lain, Geon Tae terpaksa membuat pilihan yang sukar. Keputusan tersebut turut mengheret dua rakannya, Joo Hee Dong (Park Yoon Ho) dan Nam Jae Yeop (Bae Hyeon Seong), ke dalam situasi berbahaya yang mula menguji persahabatan serta kepercayaan antara mereka.

Menerusi perkongsian terbaharu, ketiga-tiga pelakon turut menyentuh hubungan antara watak yang dibawakan mereka, khususnya bagaimana kepercayaan dan persahabatan mula berubah apabila masing-masing berdepan situasi yang semakin rumit.

Bae Hyeon Seong Sebagai Nam Jae Yeop, Pelajar Sempurna Yang Menyimpan Sisi Berbeza

Bae Hyeon Seong membawakan watak Nam Jae Yeop, seorang pelajar contoh yang kelihatan memiliki kehidupan sempurna. Dengan keputusan akademik yang cemerlang, hubungan baik bersama rakan sebaya serta latar belakang keluarga yang ideal, dia dilihat sebagai individu yang sukar dicari kekurangannya.

Namun, di sebalik imej tersebut, Jae Yeop sebenarnya menyimpan rasa rendah diri, keresahan dan keinginan yang dipendam sekian lama. Apabila keadaan mula berubah, sisi dirinya yang selama ini tersembunyi sedikit demi sedikit terserlah.

Bae Hyeon Seong tertarik menyertai drama ini kerana jalan ceritanya yang menarik. Dia juga mahu meneroka emosi Jae Yeop yang kompleks serta hubungan watak tersebut dengan Geon Tae.

Menurutnya, Jae Yeop mungkin kelihatan sempurna dari luar, tetapi sebenarnya lebih mudah berasa cemas dan tidak yakin berbanding orang lain. Imej sempurnanya mula retak sehingga dia semakin hilang kawalan.

Dalam membawakan watak tersebut, Bae memberi perhatian kepada perubahan emosi Jae Yeop mengikut situasi yang dihadapinya. Dia juga cuba menampilkan sisi seorang remaja berusia 19 tahun yang masih mempunyai kelemahan dan keresahan, meskipun kelihatan kuat di mata orang lain.

Cha Kang Yoon Sebagai Kang Geon Tae, Pelajar Yang Mendambakan Kehidupan Biasa

 

Cha Kang Yoon membawa watak Kang Geon Tae, pelajar cemerlang yang sentiasa berusaha untuk keluar daripada kehidupan serba kekurangan. Walaupun masih di bangku sekolah, dia terpaksa menghadapi pelbagai tekanan dan keadaan yang jauh lebih berat daripada usianya.

Antara perkara yang menarik perhatian Cha Kang Yoon untuk menyertai The Substitute ialah peluang mencuba genre thriller. Menurutnya, drama ini bukan sekadar kisah berlatarbelakangkan sekolah, sebaliknya turut menggabungkan unsur suspens yang memberinya ruang untuk memperlihatkan sisi lakonan berbeza.

Dalam membuat persediaan, dia memberi perhatian kepada cara Geon Tae berinteraksi dengan rakan-rakan dan orang dewasa, termasuk sikap serta gaya pertuturannya. Dia turut berusaha menampilkan keseimbangan antara sisi seorang pelajar sekolah menengah dan kematangan yang terpaksa dipikul oleh watak tersebut.

Beberapa still drama memperlihatkan Geon Tae dalam keadaan emosi yang tidak stabil, termasuk ketika berdiri sendirian dalam hujan lebat dengan mata yang merah. Satu lagi babak menunjukkan dia mencengkam kolar Nam Jae Yeop, menimbulkan persoalan tentang perkara yang mendorongnya bertindak sedemikian.

Park Yoon Ho Sebagai Joo Hee Dong, Sahabat Yang Mula Menaruh Syak Wasangka

Park Yoon Ho pula memegang watak Joo Hee Dong, seorang pelajar yang jujur, polos dan mudah dipengaruhi oleh orang sekeliling. Dia merupakan sahabat rapat Geon Tae yang mengaguminya serta sentiasa berada di sisinya.

Namun, selepas satu kejadian yang tidak dapat diperbetulkan berlaku, kepercayaan Hee Dong terhadap sahabatnya mula berubah. Perubahan sikap Geon Tae membuatkannya berasa gelisah dan keliru sehingga hubungan mereka yang sebelum ini akrab mula dipenuhi keraguan.

Park Yoon Ho mendedahkan bahawa dia berjaya menghabiskan skrip drama ini dalam satu sesi bacaan kerana begitu tertarik dengan jalan ceritanya. Dia juga terus menyatakan keinginan untuk menyertai projek tersebut selepas membacanya.

Mengulas tentang wataknya, Park menyifatkan Hee Dong sebagai remaja yang jujur dan polos. Berbeza dengan Geon Tae dan Jae Yeop yang lebih rasional ketika menilai sesuatu keadaan, Hee Dong lebih mudah dipengaruhi kerana sifatnya yang masih naif.

Oleh itu, Park memberi tumpuan kepada ekspresi wajah dan tindakan bagi menggambarkan emosi wataknya secara jujur. Baginya, sifat Hee Dong yang sukar menyembunyikan perasaan merupakan antara daya tarikan watak tersebut.

Uhm Ji Won, Park Hyuk Kwon dan Baek Ji Won Turut Membintangi ‘The Substitute’

Selain tiga pelakon muda tersebut, The Substitute turut menampilkan Uhm Ji Won, Park Hyuk Kwon dan Baek Ji Won yang membawa watak ibu bapa dengan pendekatan berbeza terhadap pendidikan anak-anak.

Uhm Ji Won memegang watak Ye Jun Mo, seorang ibu yang menjadi lebih kompetitif berbanding orang lain apabila melibatkan peperiksaan kemasukan universiti anaknya. Park Hyuk Kwon pula membawakan watak bapa Jae Yeop, seorang lelaki tegas yang mempunyai kedudukan serta pengaruh besar dalam masyarakat.

Sementara itu, Baek Ji Won memegang watak ibu Jae Yeop yang terlalu mengambil berat tentang pendidikan anaknya. Dia juga sering berbangga dengan pencapaian Jae Yeop dan tidak pernah kehabisan perkara untuk diceritakan tentang anaknya.

Menurut pihak produksi, pertembungan keinginan setiap watak dengan realiti persaingan memasuki universiti akan membawa cerita ke arah yang sukar dijangka, sekali gus menambahkan elemen debaran dan suspens dalam drama ini.

Hubungan Tiga Watak Jadi Antara Tarikan ‘The Substitute’

Selain konflik yang berlaku menjelang peperiksaan kemasukan universiti, hubungan antara Geon Tae, Hee Dong dan Jae Yeop turut menjadi antara aspek yang menarik untuk diikuti.

Bae Hyeon Seong menyifatkan perubahan hubungan antara watak-watak yang saling mengetahui kelemahan masing-masing sebagai sesuatu yang menarik. Menurutnya, peristiwa tidak dijangka serta hubungan yang sentiasa berubah bakal membuatkan penonton tertanya-tanya tentang perkembangan seterusnya.

Sementara itu, Cha Kang Yoon berharap penonton dapat mengikuti hubungan antara ketiga-tiga pelajar tersebut dan melihat bagaimana Geon Tae berdepan realiti kehidupannya yang sukar.

Park Yoon Ho pula mengajak penonton memberi perhatian kepada perkara yang cuba dipertahankan oleh setiap watak serta sebab di sebalik tindakan mereka. Baginya, setiap watak mempunyai sudut pandangan tersendiri yang akan didedahkan sepanjang cerita.

Bae turut menyatakan bahawa peristiwa dalam drama ini bermula dengan pantas sejak episod pertama sebelum berkembang menjadi semakin mendebarkan. Penonton juga mungkin mempunyai watak pilihan masing-masing berdasarkan cara mereka melihat konflik yang berlaku.

The Substitute bakal mula ditayangkan pada 23 November 2026 dan boleh distrim menerusi HBO Max Malaysia.

Sumber : 1 | 2 |  3 | 4 |  5