Sunshine atau Moonlight? Mengapa ‘Nine to Six’ Lakonan Park Min Young, Yook Sung Jae dan Go Soo Wajar Ditonton

Apakah yang berlaku apabila seorang wanita yang begitu mementingkan kerjaya dan sudah menguasai kehidupan profesionalnya mula berdepan dua jenis cinta yang sangat berbeza? Siri terbaharu Prime Video, Nine to Six, mengangkat kisah menarik ini dengan menggabungkan cabaran dunia pekerjaan, percintaan tidak terduga dan detik-detik menyentuh hati dalam perjalanan mencari kebahagiaan di sebalik kesibukan kerjaya.

Sempena tayangan perdananya pada 25 November lalu, sidang media Nine to Six turut dihadiri pengarah Lee Hyung-min bersama barisan pelakon utama Park Min-young, Yook Sung-jae dan Go Soo. Mereka berkongsi pengalaman di sebalik tabir serta memperkenalkan sebuah kisah romantik di pejabat yang menawarkan humor, perkembangan emosi dan dua watak lelaki utama dengan daya tarikan tersendiri.

Nine to Six mengikuti kisah Kang Yi-ji (Park Min Young), seorang pengurus kanan di syarikat automotif yang rasional dan terlalu mengutamakan kerja sehingga menganggap percintaan serta perkahwinan sekadar tindak balas hormon. Kehidupannya yang selama ini tersusun mula berubah selepas bertemu Han Sun-woo (Yook Sung Jae), pelatih undang-undang yang berhati lembut dan sebenarnya meminati bidang reka bentuk barang kemas, serta Park Hyun-tae (Go Soo), pengarah eksekutif cawangan Seoul Chronic Motors yang mengagumi kebolehan profesionalnya.

Apabila perasaan yang tidak dijangka mula hadir, Yi-ji perlu mencari keseimbangan antara kerjaya dan kebahagiaan peribadi.

Dengan watak yang dekat dengan kehidupan sebenar, dinamika percintaan yang berbeza dan gambaran dunia pekerjaan moden, Nine to Six menjanjikan kisah yang bukan sekadar berkisar tentang cinta di pejabat. Berikut lima sebab mengapa drama ini wajar dimasukkan dalam senarai tontonan anda.

1. Park Min Young Kembali Membawa Watak Wanita Berkerjaya yang Belajar Membuka Hati

Dikenali menerusi lakonannya dalam Marry My Husband, Siren’s Kiss dan Confidence Queen, Park Min Young kembali ke genre romantik pejabat sebagai Kang Yi-ji, seorang pengurus kanan yang berdikari dan cemerlang dalam kerjaya tetapi kurang memahami soal percintaan.

Memperkenalkan wataknya, Park berkongsi, “Yi-ji benar-benar seorang yang terlalu mementingkan kerja. Dia sangat cemerlang dalam kerjaya tetapi langsung tidak tahu tentang cinta. Dia mula berkembang sebagai seorang individu selepas bertemu Han Sun-woo dan Park Hyun-tae.”

Meskipun pernah membawa watak wanita yang mementingkan kerjaya dalam drama romantik pejabat sebelum ini, Park menjelaskan bahawa Nine to Six menawarkan perspektif berbeza menerusi latar tempat kerja dan kedudukan kerjaya watak yang berlainan.

Pengarah Lee Hyung-min turut memuji kebolehan Park menghidupkan watak tersebut dan menyifatkannya sebagai seorang “ratu drama romantik” yang tidak dapat dipertikaikan. Menurutnya, kepantasan Park dalam menyampaikan dialog bersahaja serta kebolehannya menarik perhatian menjadikan pelakon itu pilihan tepat untuk watak Yi-ji.

Perjalanan Yi-ji bukan sekadar tentang percintaan, sebaliknya turut memperlihatkan cabaran dan perkembangan diri seorang wanita bekerjaya dalam dunia moden. Menerusi daya tarikan tersendiri dan lakonan yang dekat dengan kehidupan sebenar, Park mengajak penonton mengikuti perjalanan seorang wanita yang mula menyedari bahawa kejayaan hidup tidak semestinya diukur melalui pencapaian profesional semata-mata.

2. Yook Sung Jae Bawa Sisi Ceria dan Pesona dalam Kisah Percintaan Menyentuh Hati

Selepas memperlihatkan kemampuan lakonannya menerusi The Haunted Palace, The Golden Spoon dan Guardian: The Lonely and Great God, Yook Sung Jae kini membawakan watak Han Sun-woo, seorang pelatih undang-undang yang ikhlas dan berhati lembut. Sikap baik serta pandangan hidupnya yang positif mula mengubah kehidupan Yi-ji yang selama ini tersusun.

Menggambarkan Sun-woo sebagai watak yang membawa kehangatan kepada orang di sekelilingnya, Yook berkata, “Dia seorang yang baik hati dan prihatin. Ketika di set penggambaran, pengarah dan pelakon senior turut memanggilnya sebagai ‘watak utama lelaki yang membawa sinar matahari’. Dia mampu menceriakan keadaan walaupun dalam situasi sukar, sama seperti cahaya matahari.”

Pengarah Lee turut menyifatkan Sun-woo sebagai seorang yang berhati lembut dan mempunyai keikhlasan yang mampu meruntuhkan tembok emosi Yi-ji.

Yook mengakui bahawa membawa watak lelaki utama yang lebih muda bersama dua pelakon berpengalaman turut memberikan sedikit tekanan kepadanya, khususnya apabila melibatkan perbezaan hierarki pekerjaan antara Sun-woo yang merupakan pelatih dengan Hyun-tae yang memegang jawatan pengarah eksekutif.

“ Terdapat beberapa babak yang memperlihatkan kedua-dua watak ini bersaing secara halus, walaupun kedudukan mereka sangat berbeza. Saya berasa gementar dan tertekan, tetapi saya berusaha untuk terus fokus dan memberikan yang terbaik dalam menghidupkan watak ini,” jelasnya.

Pengarah Lee turut memuji persediaan, kreativiti dan kebolehan Yook dalam menyampaikan unsur komedi. Menurutnya, pelakon itu berjaya membawa tenaga baharu kepada siri berkenaan.

Dengan pesona bersahaja dan keikhlasan yang menyentuh hati, Yook Sung-jae menjanjikan watak lelaki romantik yang mudah membuatkan penonton menyokongnya.

3. Go Soo Kembali ke Genre Romantik dengan Pesona Tenang Bak ‘Moonlight Male Lead’

Selepas membintangi karya seperti Missing: The Other Side, Colony dan Parole Examiner Lee, Go Soo kembali ke genre romantik menerusi watak Park Hyun-tae, seorang pengarah eksekutif yang berkarisma di cawangan Seoul Chronic Motors.

Keyakinan dirinya yang tenang serta sikap menghargai kebolehan Yi-ji menjadikan Hyun-tae antara individu yang menarik dalam kehidupan profesional wanita itu.

Park Min-young secara berseloroh memberikan gelaran “moonlight male lead” kepada Hyun-tae bagi menggambarkan pesona lembut dan bersahajanya yang berbeza daripada tenaga ceria Sun-woo.

Go Soo turut berkongsi pandangannya mengenai kepulangan ke genre romantik. Menurutnya, komedi romantik berlatarbelakangkan pejabat sering mencerminkan realiti kehidupan mengikut peredaran zaman.

“Dunia korporat dan ciri-ciri yang diharapkan pekerja daripada seorang ketua sentiasa berubah. Saya banyak memikirkan tentang bagaimana seorang ketua sepatutnya membawa diri dalam persekitaran kerja masa kini,” katanya.

Go turut menjelaskan bahawa Hyun-tae dan Sun-woo mempunyai daya tarikan yang sangat berbeza.

“Sun-woo ceria, penuh tenaga, menawan dan comel. Hyun-tae pula mempunyai peranan serta tarikannya yang tersendiri,” jelasnya.

Pengarah Lee memuji lakonan Go Soo yang berjaya menggambarkan seorang eksekutif dalam mengimbangi tanggungjawab profesional dengan perasaan tidak terduga terhadap rakan sekerja.

Dengan pembawaan yang tenang dan kehangatan tersendiri, Go Soo menawarkan pesona romantik yang lebih matang dalam kisah tentang peluang baharu dalam percintaan.

4. Sunshine vs. Moonlight: Dua Kisah Cinta dengan Pesona Berbeza

Antara tarikan utama Nine to Six ialah dua dinamika percintaan berbeza yang hadir dalam kehidupan Yi-ji. Sun-woo membawa tenaga muda dan keikhlasan, manakala Hyun-tae menawarkan keyakinan diri yang tenang serta kehadiran seseorang yang memahami tekanan dalam kerjayanya.

Park Min Young menggambarkan kedua-dua watak lelaki itu sebagai “sunshine” dan “moonlight” berdasarkan daya tarikan masing-masing.

“Hyun-tae ialah seseorang yang sentiasa mengambil berat tentang Yi-ji secara diam-diam dan boleh diharapkan, manakala Sun-woo pula menceriakan dunianya,” jelasnya.

Bercerita tentang keserasian bersama Go Soo, Park turut memuji pandangan mata pelakon itu yang cukup memikat serta memberikan bayangan tentang percintaan lebih matang menerusi pesona Hyun-tae yang sofistikated.

Park turut mendedahkan bahawa Yook Sung Jae merupakan antara pelakon yang sudah lama diharapkannya untuk bekerjasama.

“Dia seorang pelakon yang sangat bebas dan berbakat dalam bidang muzik serta lakonan. Kami mempunyai selera humor yang hampir sama dan mudah serasi apabila bergurau serta saling mengusik. Saya berharap penonton menantikan keserasian pasangan wanita lebih berusia dan lelaki lebih muda ini,” katanya.

Mengimbas pengalaman menjalani penggambaran bersama kedua-dua pelakon tersebut, Park mengakui, “Saya berasa berdebar ketika berada di set bersama kedua-duanya. Saya rasa penonton juga akan sukar untuk membuat pilihan.”

Dengan dua watak lelaki yang menawarkan kehangatan dan tarikan berbeza, Nine to Six menjanjikan kisah cinta yang membuatkan penonton tertanya-tanya siapakah akhirnya yang akan memenangi hati Yi-ji.

5. Kisah Romantik Pejabat yang Lebih Dekat dengan Realiti Kehidupan

Selain kisah percintaan yang mendebarkan, Nine to Six turut memberikan gambaran kehidupan pekerjaan moden dengan mengetengahkan cabaran harian, kekecewaan serta kejayaan kecil yang dilalui seseorang dalam mengimbangi kerjaya dan hubungan peribadi.

Pengarah Lee Hyung-min menjelaskan bahawa penceritaan yang dekat dengan realiti merupakan antara kekuatan utama siri ini.

“Banyak drama masa kini menampilkan kisah sensasi atau elemen fantasi, tetapi Nine to Six berlandaskan realiti,” jelasnya.

Beliau turut menyentuh tentang golongan wanita bekerjaya yang berkemampuan dan berjaya, namun masih berdepan perasaan kosong dalam kehidupan meskipun sudah mencapai pelbagai kejayaan profesional. Justeru, perjalanan Yi-ji dijangka dekat dengan pengalaman sebahagian penonton.

Pengarah Lee turut menekankan gabungan elemen romantik dan komedi di tempat kerja yang menjadikan siri ini lebih menarik.

“Kami menjalani penggambaran ketika musim panas dan saya rasa kesegaran suasana itu turut dapat dirasai menerusi siri ini. Terdapat gabungan watak romantik yang menarik, unsur humor menerusi watak-watak bermasalah di tempat kerja serta penceritaan yang memberikan tumpuan kepada wanita. Saya berharap penonton dapat memperoleh semangat menerusinya,” katanya.

Park Min Young turut berharap penonton dapat menghayati perjalanan wataknya.

“Walaupun Yi-ji berdepan cabaran yang dekat dengan realiti pada permulaannya, kisah ini sebenarnya tentang perkembangan diri. Saya berharap penonton dapat berkembang dari segi emosi bersama-sama dengannya,” kongsi Park.

Go Soo pula menyifatkan siri ini sebagai gambaran kehidupan seharian yang hangat, dipenuhi pengalaman dan perkara yang menjadi kebimbangan masyarakat masa kini.

Mengajak penonton berehat seketika daripada rutin harian yang sibuk, Park Min-young menambah, “Saya berharap Nine to Six menjadi sebuah siri yang dekat dengan kehidupan penonton dan boleh dinikmati di tengah-tengah kesibukan seharian mereka.”

Daripada kisah percintaan yang mendebarkan hinggalah cabaran dunia pekerjaan dan perjalanan mengenali diri sendiri, Nine to Six mengingatkan penonton bahawa ada kalanya hubungan paling bermakna hadir ketika cinta langsung tidak berada dalam perancangan.

Nine to Six mula ditayangkan pada 25 November 2026 di lebih 240 negara dan wilayah seluruh dunia, secara eksklusif menerusi Prime Video.