Lee Min Ho dan Park Gyu Young Sah Bergandingan Dalam Drama Romantik Komedi Pejabat Baharu

Lee Min Ho dan Park Gyu Young bakal bergandingan buat pertama kali sebagai pasangan romantik menerusi drama baharu SBS berjudul Virtual Love (judul sementara) yang dijadualkan menemui penonton pada separuh kedua 2027.

Diumumkan pada 19 November, Virtual Love merupakan drama romantik komedi berlatarbelakangkan dunia pejabat yang mengetengahkan kisah unik dengan persoalan, “Bagaimana jika bos yang paling aku benci sebenarnya idol kegemaranku?”

Drama ini mengisahkan kehidupan berganda Cha Wook Hyun, seorang pengarah syarikat permainan video yang dingin dan tiba-tiba membuat debut sebagai idol maya, serta Tak So Na, pekerja yang tidak menyukai sikap bosnya di dunia nyata tetapi jatuh hati dengan persona idolnya di alam maya.

Dengan mengetengahkan fenomena idol maya yang semakin mendapat perhatian, drama ini turut meneroka perbezaan antara realiti dan dunia virtual menerusi hubungan dua watak utama sebagai bos dan pekerja, serta idol dan peminat.

Lee Min Ho Sebagai Pengarah Syarikat Yang Menjadi Idol Maya

Lee Min Ho membawakan watak Cha Wook Hyun, pengarah yang mengetuai Bahagian 1 di syarikat permainan video En-Mable. Dia merupakan seorang yang mementingkan kesempurnaan dan terlalu fokus terhadap kerja sehingga sukar bergaul dengan orang sekeliling kerana sikapnya yang dingin dan sukar didekati.

Namun, satu kejadian tidak dijangka mengubah kehidupannya apabila dia membuat debut sebagai Dan, anggota termuda dalam sebuah kumpulan idol maya. Pengalaman tersebut turut mempertemukannya semula dengan impian yang telah lama dilupakan.

Lee Min Ho yang meraih perhatian peminat tempatan dan antarabangsa menerusi pelbagai karya seperti The Legend of the Blue Sea, The King: Eternal Monarch, Pachinko dan When the Stars Gossip, bakal memperlihatkan sisi berbeza sebagai seorang pengarah yang serius di dunia nyata dan idol di alam maya.

Park Gyu Young Sebagai Pekerja Pejabat Yang Jatuh Hati Dengan Idol Maya

Park Gyu Young pula memegang watak Tak So Na, penolong pengurus di pasukan Perancangan dan Penerbitan 1, En-Mable. Dia seorang pekerja yang sangat berdedikasi terhadap kerjanya, namun mempunyai rasa tidak suka yang mendalam terhadap bosnya, Cha Wook Hyun.

Kehidupan So Na mula berubah apabila dia mengenali Dan, seorang idol maya yang berjaya mencuri perhatiannya sehingga buat pertama kali dalam hidupnya, dia menjadi seorang peminat.

Tanpa disangka, individu yang tidak disenanginya di pejabat merupakan idol yang begitu dikaguminya di dunia maya. Perubahan perasaan So Na ketika berhadapan dengan individu sama dalam dua dunia berbeza menjadi antara aspek menarik yang bakal diketengahkan dalam drama ini.

Park Gyu Young yang membuktikan versatiliti lakonannya menerusi pelbagai genre dalam It’s Okay to Not Be Okay, Sweet Home, Celebrity dan Squid Game, bakal menampilkan sisi seorang pekerja pejabat biasa serta keterujaan sebagai peminat yang sedang jatuh hati.

Gandingan Pertama Lee Min Ho dan Park Gyu Young

Lebih menarik, Virtual Love menandakan gandingan romantik pertama Lee Min Ho dan Park Gyu Young. Penonton pastinya ingin melihat keserasian kedua-dua pelakon ini menerusi hubungan dua sisi sebagai bos dan pekerja di dunia nyata, serta idol maya dan peminat di alam virtual.

Drama ini diarahkan oleh Jang Young Seok dan ditulis oleh Yang Hyuk Moon, dengan Studio S, C-JeS Studios serta MYM Entertainment bertindak sebagai syarikat produksi. Nantikan gandingan pertama Lee Min Ho dan Park Gyu Young menerusi Virtual Love!

Sumber : 1 |