Lee Hyun Wook, Jang Hyuk, Kim Kang Woo dan Park Sung Woong Terajui ‘Sword & Silence’

Drama sejarah Korea terbaharu, Sword & Silence, bakal membawa penonton menyelami pergolakan politik, perebutan kuasa dan peperangan yang membentuk sejarah penyatuan Tiga Kerajaan Korea. Dibintangi Lee Hyun Wook, Jang Hyuk, Kim Kang Woo dan Park Sung Woong, drama ini mengisahkan perjuangan kerajaan Silla untuk mengatasi kuasa Goguryeo, Baekje dan Dinasti Tang demi merealisasikan penyatuan tersebut.

Namun, perjalanan menuju penyatuan bukanlah mudah apabila Silla berdepan ancaman daripada kerajaan lain, sementara perbezaan pendekatan antara diplomasi dan kekuatan ketenteraan turut menguji hubungan dalam kalangan pemimpinnya. Pada masa yang sama, Goguryeo bergolak akibat perebutan kuasa apabila Yeon Gaesomun mula mencabar kedudukan pemerintahnya, sekali gus mencetuskan konflik yang bakal mempengaruhi nasib kerajaan tersebut.

Di sebalik perjuangan ini, empat tokoh dengan latar belakang, cita-cita dan pendekatan berbeza memainkan peranan penting dalam menentukan arah sejarah. Ketika tiga tokoh Silla berusaha mencapai matlamat penyatuan, seorang panglima perang Goguryeo pula mengukuhkan pengaruhnya dalam pergolakan politik yang semakin meruncing.

Empat Tokoh Utama dengan Matlamat Berbeza

Kim Chun-chu (Kim Kang Woo) merupakan ahli strategi politik Silla yang mengutamakan diplomasi untuk memperkukuh kedudukan kerajaannya. Sebagai cucu kepada Raja Jinji yang telah digulingkan, beliau perlu mengharungi pelbagai cabaran politik sebelum akhirnya menaiki takhta sebagai Raja Taejong Muyeol, pemerintah Silla ke-29.

 

Dalam usaha mencapai penyatuan, Kim Chun-chu turut bergantung pada kekuatan ketenteraan Kim Yu-shin (Park Sung Woong), seorang jeneral berpengaruh yang dikenali dengan kewibawaannya di medan perang. Walaupun lazimnya bersikap santai, Kim Yu-shin berubah menjadi pemimpin tentera yang tegas apabila berhadapan dengan musuh.

Sementara itu, Kim Beom-min (Lee Hyun Wook), anak kepada Kim Chun-chu, merupakan pewaris Silla yang mempunyai pendirian kuat serta kebijaksanaan politik tersendiri. Pada awalnya, beliau sukar menerima pendekatan diplomasi bapanya kerana menganggapnya sebagai tanda kelemahan. Namun, pengalaman dan cabaran yang dilalui membawanya memahami kepentingan strategi serta kerjasama dalam mencapai matlamat penyatuan.

Kim Beom-min kemudiannya menjadi Raja Munmu, pemerintah Silla ke-30 yang memainkan peranan penting dalam penyatuan Tiga Kerajaan. Hubungan antara bapa dan anak ini turut menjadi salah satu elemen penting dalam drama apabila perbezaan pandangan mereka akhirnya membawa kepada matlamat yang sama.

Berbeza daripada tiga tokoh Silla tersebut, Yeon Gaesomun (Jang Hyuk) ialah panglima perang Goguryeo yang terkenal dengan kehebatan ketenteraan dan pendekatannya yang keras dalam memperluas pengaruh. Berasal daripada keluarga yang mempunyai tradisi ketenteraan selama tiga generasi, beliau membina reputasi sebagai wira perang sebelum menggunakan kekuatan serta pengaruhnya untuk menguasai politik Goguryeo.

Namun, cita-cita Yeon Gaesomun turut mencetuskan pertentangan dengan pemerintah Goguryeo, sekali gus membuka jalan kepada perebutan kuasa yang mengancam kestabilan kerajaan tersebut. Pertembungan antara kepentingan politik dan cita-cita peribadi ini memperlihatkan sisi berbeza perjuangan setiap tokoh dalam menghadapi perubahan besar yang bakal berlaku.

Poster Utama Gambarkan Perang Demi Penyatuan

Poster utama Sword & Silence yang diperkenalkan pada 13 Oktober menampilkan keempat-empat pelakon dalam suasana yang membayangkan konflik besar antara kerajaan. Dengan slogan yang membawa maksud “Perang terakhir, ditulis dengan darah, demi sebuah negara yang bersatu”, poster tersebut menekankan pengorbanan serta pertaruhan besar yang menanti setiap tokoh.

Kim Beom-min tampil dalam pakaian diraja dengan tekad untuk melindungi Silla, manakala Kim Chun-chu dan Kim Yu-shin bersiap menghadapi pertempuran yang bakal menentukan masa depan kerajaan mereka. Yeon Gaesomun pula digambarkan sebagai pemimpin yang berusaha menguasai keadaan menerusi kekuatan.

Menurut pihak produksi, poster tersebut menggambarkan keazaman para tokoh ketika nasib kerajaan masing-masing menjadi taruhan. Selain perjuangan Silla untuk menyatukan Tiga Kerajaan, drama ini turut menelusuri peristiwa sejarah yang melibatkan pergolakan kuasa serta kejatuhan Goguryeo.

Sword & Silence dijadualkan mula ditayangkan pada 14 November 2026, jam 9.20 malam waktu Korea Selatan (8.20 malam waktu Malaysia).

Sumber : 1 | 2 | 3 | 4 | 5