Siri Disney+ “The Remarried Empress” berkongsi beberapa gambaran awal menjelang tayangan dua episod terakhirnya pada hari ini, 25 November.
Diadaptasi daripada novel web popular dengan judul yang sama, “The Remarried Empress” merupakan drama romantik fantasi yang mengisahkan Navier (Shin Min Ah), seorang permaisuri sempurna Empayar Timur.
Kehidupan Navier berubah apabila suaminya, Sovieshu (Ju Ji Hoon), Maharaja Empayar Timur, berlaku curang dengannya bersama Rashta (Lee Se Young), seorang bekas hamba yang melarikan diri. Sovieshu kemudian menceraikan Navier, namun Navier mengambil keputusan untuk mengahwini Heinrey (Lee Jong Suk), Raja Empayar Barat.
Amaran Spoiler
Dalam dua episod terakhir yang bakal ditayangkan hari ini, Navier menerima permintaan Sovieshu untuk bercerai dan bersedia memulakan kehidupan baharu bersama Heinrey.
Beberapa foto terbaharu yang didedahkan memperlihatkan hubungan Navier dan Heinrey semakin erat. Heinrey yang kini bergelar Raja Empayar Barat melamar Navier, dan kedua-duanya berjanji untuk menjadi pasangan yang saling menyokong serta boleh diharapkan antara satu sama lain.


Ketika Heinrey memeluknya dengan penuh kasih sayang, Navier turut memperlihatkan senyuman tenang yang menggambarkan keselesaannya apabila berada di sisi lelaki itu.
Dalam beberapa foto seterusnya, Navier dan Heinrey berdiri bersebelahan ketika berhadapan dengan Sovieshu di mahkamah perceraian. Selepas menerima permintaan Sovieshu untuk bercerai, Navier bertekad memulakan kehidupan baharu bersama Heinrey. Sepanjang prosiding perceraian berlangsung, Navier kekal tenang dan tidak mudah goyah.


Sebaliknya, Sovieshu tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa dan penyesalan yang datang terlambat, meskipun dia sendiri yang mahukan perceraian itu sejak awal. Malah, dia kemudiannya merayu kepada Navier dalam usaha terdesak untuk menghalang wanita itu daripada meninggalkannya.
Sementara itu, cita-cita Rashta yang semakin membara serta keinginannya untuk mendapatkan gelaran permaisuri mula tidak terkawal, sekali gus mencetuskan lebih banyak pergolakan dalam istana diraja.

Persoalan yang Dinantikan dalam Episod Akhir
Menjelang penamat drama ini, terdapat beberapa persoalan yang pastinya membuatkan penonton tidak sabar untuk mengetahui kesudahannya.
Adakah Heinrey akan menolak desakan untuk mengahwini Permaisuri Krista? Bagaimanakah Navier akan berdepan dengan tuntutan perceraian Sovieshu di hadapan khalayak ramai sebelum membuat kejutan dengan berkahwin semula bersama Heinrey?
Tidak kurang juga persoalan mengenai rahsia anak pertama Rashta. Adakah kebenaran itu akan terbongkar di hadapan semua orang, termasuk hakikat bahawa Sovieshu sebenarnya yang tidak mampu mempunyai zuriat, bukannya Navier?
Persoalan lain turut tertumpu kepada Lady Albany dan keluarganya yang mempunyai agenda tersendiri di sebalik sokongan mereka terhadap Rashta. Setelah mengetahui rahsia silam Rashta, Lady Albany sanggup melakukan pelbagai cara untuk melindunginya, termasuk mengatur penculikan Kosair dan memperdaya Sovieshu dengan kisah biskut beracun yang dikaitkan dengan kemandulan Navier.
Namun, di sebalik tindakannya itu, Lady Albany sebenarnya mempunyai kepentingan sendiri untuk membuka peluang kepada keluarganya merebut takhta Empayar Timur. Adakah segala muslihatnya akhirnya akan terbongkar? Mampukah dia dan keluarganya mendapatkan apa yang selama ini dihajati, atau mereka bakal menerima akibat daripada pengkhianatan sendiri?
Dalam masa yang sama, nasib Kosair turut menjadi tanda tanya. Mampukah pengawal Navier, Artina, menyelamatkannya daripada penculikan sebelum sesuatu yang buruk berlaku?
Segala persoalan ini bakal terjawab menerusi dua episod terakhir “The Remarried Empress” yang akan ditayangkan pada 25 November, jam 4 petang (waktu Malaysia) di Disney+.


