PSYCHIC FEVER Bawa ‘DIFFERENT’ Menjelajah Asia Menerusi Listening Party dan Sesi Meet & Greet

Kumpulan global Jepun, PSYCHIC FEVER daripada EXILE TRIBE, terus mendekati peminat di Asia Tenggara dan Asia Timur menerusi siri acara Meet & Greet dan Listening Party bersempena projek muzik terbaharu mereka, DIFFERENT.

Setakat ini, siri aktiviti tersebut telah berlangsung di tujuh pasaran, iaitu Thailand, Vietnam, Indonesia, Singapura, Taiwan, Filipina dan Malaysia, dengan kehadiran hampir 2,000 pengunjung secara keseluruhan. PSYCHIC FEVER juga bakal meneruskan aktiviti mereka di rantau ini menerusi hentian seterusnya di Hong Kong pada Disember 2026.

Dirancang untuk memberikan pengalaman lebih dekat dan bermakna, siri acara ini menggabungkan peluang peminat berinteraksi secara langsung dengan ahli kumpulan serta sesi mendengar muzik yang mengetengahkan karya dan konsep kreatif di sebalik DIFFERENT.

Format acara turut disesuaikan mengikut pasaran yang dikunjungi. Di Bangkok dan Taiwan, PSYCHIC FEVER mengadakan persembahan busking secara langsung di lokasi terbuka selain sesi bersama peminat. Di Indonesia pula, acara berlangsung dalam format Listening Party secara eksklusif. Sementara itu, hentian di Ho Chi Minh, Singapura, Manila dan Kuala Lumpur menampilkan gabungan kedua-dua format menerusi sesi Meet & Greet dan Listening Party.

JIMMY dan RYOGA Terajui Konsep Kreatif Listening Party

Antara tarikan utama siri ini ialah penglibatan JIMMY dan RYOGA yang mengendalikan sendiri segmen Listening Party menerusi konsep DIY (Do It Yourself).

Kedua-duanya bertanggungjawab menyusun senarai lagu, mengendalikan peralihan audio serta mengatur keseluruhan perjalanan sesi. Dengan menggunakan peralatan DJ dan mikrofon sendiri, mereka menjadikan sesi mendengar muzik itu lebih menyerupai persembahan secara langsung dalam suasana kelab.

JIMMY menjelaskan bahawa pengalaman mereka dalam bidang DJ dan penerbitan muzik memberi pengetahuan tentang penggunaan peralatan audio. Mereka kemudian menggunakan pengalaman tersebut untuk membentuk pendekatan baharu ketika memperkenalkan muzik PSYCHIC FEVER kepada peminat di luar Jepun.

Menurutnya, pendekatan itu membolehkan mereka mewujudkan peluang yang lebih santai dan mudah diakses oleh orang ramai untuk mengenali muzik kumpulan tersebut, selain mendekati lebih ramai peminat di pelbagai lokasi.

RYOGA pula berkongsi hasrat untuk terus menerapkan konsep DIY bukan sahaja dalam menghasilkan muzik, malah dalam mencari cara tersendiri untuk memperkenalkan karya mereka kepada orang ramai. Dia turut berharap siri Listening Party ini menjadi permulaan kepada lebih banyak pendekatan baharu untuk menghubungkan PSYCHIC FEVER dengan peminat menerusi muzik.

Pengalaman Bertemu ForEVER di Pelbagai Negara

Sepanjang siri jelajah tersebut, setiap ahli turut berkongsi pengalaman dan kenangan tersendiri ketika bertemu ForEVER, gelaran rasmi peminat PSYCHIC FEVER, secara bersemuka.

RYUSHIN mengakui tersentuh apabila berpeluang berbual dengan peminat yang bersungguh-sungguh mempelajari bahasa Jepun untuk berkomunikasi dengan mereka. Usaha dan kesungguhan peminat itu menjadi antara pengalaman yang sukar dilupakan olehnya.

Bagi KOKORO pula, reaksi penonton ketika mereka membuat persembahan secara langsung menjadi kenangan paling bermakna. Dia mengingati momen ketika kumpulan itu mempersembahkan lagu Just Like Dat yang menampilkan JP THE WAVY. Walaupun ada negara yang pertama kali menyaksikan persembahan lagu tersebut, peminat tetap menyanyi dan menari bersama-sama.

WEESA turut berkongsi rasa terharu apabila melihat peminat di setiap negara menyanyikan lagu mereka yang menggunakan lirik bahasa Jepun. Baginya, pengalaman itu menunjukkan bagaimana muzik mampu menyatukan orang ramai walaupun berbeza bahasa.

TSURUGI pula menghargai peluang bertemu ForEVER dari pelbagai negara dan merasai sendiri bagaimana muzik dapat menghubungkan orang ramai tanpa mengira perbezaan budaya dan bahasa. Dia turut berterima kasih kepada semua peminat serta pihak yang menjayakan siri aktiviti tersebut.

PSYCHIC FEVER Dekati ForEVER di Kuala Lumpur

Di Malaysia, PSYCHIC FEVER bertemu peminat menerusi acara DIFFERENT Meet & Greet and Listening Party yang berlangsung di Vox Live Kuala Lumpur pada 10 November 2026.

Dengan mengenakan sweater serba biru, ketujuh-tujuh ahli terlebih dahulu menyertai sesi Meet & Greet yang merangkumi sesi soal jawab bersama peminat. Soalan yang ditampal pada kad bersaiz besar itu dijawab sendiri oleh ahli kumpulan, sekali gus memberi peluang kepada ForEVER untuk mengenali mereka dengan lebih dekat.

Acara kemudian diteruskan dengan sesi menandatangani poster. Wakil media turut diberi peluang menyertai sesi tersebut. KMania turut mengambil kesempatan itu untuk mendapatkan tandatangan ahli kumpulan sambil menunjukkan semula rakaman video temu bual bersama PSYCHIC FEVER yang dijalankan pada Julai lalu. Mereka kelihatan sedikit teruja apabila dapat bertemu secara bersemuka, malah turut mengucapkan terima kasih selepas melihat rakaman tersebut.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by KMania (@kmania.my)

Suasana semakin meriah apabila Listening Party bermula. Peminat bukan sahaja berpeluang mendengar lagu daripada projek muzik terbaharu DIFFERENT, malah turut menyanyi bersama sepanjang acara berlangsung.

Antara lagu yang diperdengarkan termasuk I Got Ways, If You’re Mine, Cinderella, Glowing, Masterpiece dan Pink Lemonade. Lagu popular mereka seperti What’s Happenin’, Paradise dan Temperature turut menghidupkan suasana.

Bagi penulis, peluang mendengar I Got Ways secara langsung menjadi antara momen yang paling dinantikan, memandangkan lagu tersebut merupakan salah satu lagu kegemaran penulis.

Satu lagi momen istimewa ialah sambutan hari lahir KOKORO yang jatuh pada 9 November. Peminat dan ahli PSYCHIC FEVER bersama-sama menyanyikan lagu hari lahir buatnya. KOKORO kelihatan terharu menerima sambutan tersebut daripada ForEVER, menjadikan pertemuan di Kuala Lumpur lebih bermakna.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by KMania (@kmania.my)

Keseluruhan acara berlangsung dalam suasana cukup meriah apabila peminat jelas menikmati setiap detik bersama kumpulan tersebut. PSYCHIC FEVER juga kelihatan selesa dan terhibur dengan sambutan yang diberikan oleh ForEVER di Kuala Lumpur.

Mereka turut menyatakan harapan untuk kembali ke Kuala Lumpur pada masa akan datang bagi mengadakan acara yang lebih besar, termasuk konsert khas buat peminat Malaysia.

PSYCHIC FEVER Bakal Jelajah 47 Prefektur di Jepun Menerusi MAVERICK

Selepas siri aktiviti di Asia, PSYCHIC FEVER bakal meneruskan perjalanan muzik mereka menerusi jelajah bertajuk MAVERICK yang dijadualkan berlangsung dari 9 Januari hingga 15 Ogos 2027.

Jelajah tersebut akan membawa mereka ke kesemua 47 prefektur di Jepun. Selain aktiviti di negara sendiri, kumpulan itu turut merancang untuk mengadakan konsert antarabangsa pada penghujung tahun 2027.

KMania ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan serta peluang yang diberikan untuk menghadiri dan membuat liputan acara ini. Semoga PSYCHIC FEVER berpeluang kembali ke Kuala Lumpur untuk bertemu ForEVER Malaysia pada masa akan datang.

Jangan lupa untuk Follow dan Like KMania di Facebook, Twitter, Instagram , TikTok , Threads dan Youtube  untuk tonton lebih banyak lagi video bersama PSYCHIC FEVER dan untuk mendapatkan lebih banyak perkembangan terkini tentang dunia hiburan Korea.