SBS bakal memperkenalkan sebuah drama perubatan noir menerusi “Doctor X : Mafia In White” yang menampilkan Kim Ji Won sebagai Gye Soo Jung, seorang pakar bedah genius yang membuktikan bahawa kemahiran dan keupayaan sebenar seorang doktor tidak seharusnya dipengaruhi oleh sistem yang penuh dengan kepentingan dan rasuah.
Diadaptasi daripada siri popular Jepun dengan judul yang sama, “Doctor X : Mafia In White” mengisahkan Gye Soo Jung yang berdepan dengan pelbagai konflik dalam dunia perubatan sambil cuba membuktikan keupayaannya sebagai seorang doktor.
Terbaru, beberapa stills memperkenalkan barisan watak sokongan yang berada di sekitar Guseo University Hospital serta agensi tenaga perubatan milik Jang Hee Sook (Lee Jung Eun).
Barisan Doktor Di Guseo University Hospital

Lee Jin Hee memegang watak Jo Won Jin, seorang profesor anestesiologi dan perubatan sakit yang sentiasa tenang serta mampu mengekalkan fokus walaupun berdepan situasi tegang ketika pembedahan.
Sementara itu, Kim Young Min tampil sebagai Do Yoon Sik, profesor pembedahan am yang banyak menumpukan perhatian kepada penyelidikan dan penulisan akademik. Di sebalik komitmennya terhadap bidang tersebut, dia menyimpan impian untuk menjadi pengarah hospital.
Lee Sung Wook pula membawakan watak Bae Heung Gon, seorang pakar laparoskopi yang mempunyai kepakaran dalam pembedahan am dan bedah saraf.
Kwon Seung Woo memainkan watak Ma Sung Gyu, seorang doktor residen kanan dalam bidang pembedahan am yang berpegang kepada prinsip hidup “sekadar mencukupi”. Dia kemudiannya bergabung dengan Do Yoon Sik dan Bae Heung Gon sebagai trio yang sering menurut sahaja kehendak pihak tertentu dalam urusan pembedahan.
Heo Joon Seok membawa watak Kim Sung Jin, seorang profesor perubatan kecemasan yang menganggap menyelamatkan nyawa sebagai tanggungjawab dan panggilan hidupnya.
Dua Mentor Yang Menjadi Tempat Bersandar

Choi Duk Moon memegang watak Yang Eung Gu, seorang doktor perubatan tradisional Korea dan bekas pembelot Korea Utara. Dia secara senyap menyokong Gye Soo Jung dan Jang Hee Sook sebagai mentor mereka.
Kim Jung Young pula memainkan watak Yoo Mi Kyung, seorang doktor penjagaan paliatif dan perubatan keluarga. Selain menjadi salah seorang mentor Gye Soo Jung, dia turut mengambil berat terhadap Jang Hee Sook sebagai seorang sahabat.
Konflik Kuasa Di Sebalik Hospital

Selain barisan doktor, terdapat juga beberapa watak yang terlibat dalam perebutan kepentingan dan kuasa di Guseo University Hospital.
Kim Young Ah memainkan watak Lee Sun Ae, seorang pengarah pasukan pengurusan yang sanggup melakukan apa sahaja untuk melindungi kepentingan hospital.
Choi Kwang Il pula membawakan watak Goo Bon Pyung, pengerusi Guseo University Hospital dan ketua “Mokryeonhoe”, sebuah kumpulan rahsia yang terdiri daripada doktor berpengaruh di hospital universiti tersebut.
Jung Suk Yong memainkan watak Kim Chang Soo, salah seorang anggota penting Mokryeonhoe yang juga merupakan presiden Persatuan Perubatan Seonam City.
Hubungan Kompleks Bakal Warnai “Doctor X : Mafia In White”
Dengan pelbagai watak yang mempunyai kepentingan, kedudukan dan hubungan berbeza dalam Guseo University Hospital, dunia perubatan dalam “Doctor X : Mafia In White” dijangka tidak hanya berkisar tentang prosedur pembedahan.
Menurut pihak produksi, hubungan kompleks yang terjalin dalam hospital serta chemistry antara anggota agensi tenaga perubatan Jang Hee Sook akan bergabung dengan perjalanan Gye Soo Jung, sekali gus menjadikan kisah drama ini lebih pelbagai.
“Doctor X : Mafia In White” bakal ditayangkan pada 9 Oktober 2026, jam 9:50 malam KST dan boleh distrim oleh penonton global menerusi Netflix.
Sumber : 1


