Choo Young Woo & Kim Min Sertai Pasukan Penyelidikan Robotik Dalam “Between Steps”

“Between Steps” memperkenalkan lebih dekat dunia penyelidikan robotik di Seohan University yang menjadi antara latar utama drama ini.

Drama romantik arahan mendiang Ahn Pan Seok ini mengisahkan Park Min Jae (Choo Young Woo), bekas perenang yang kehilangan kaki kanannya akibat penyakit, dan Im Yoo Jin (Kim So Hyun), seorang pelajar siswazah yang cuba mencari arah baharu selepas berdepan perubahan dalam hidupnya.

Terbaru, beberapa stills memperlihatkan suasana di makmal penyelidikan robotik yang diketuai Profesor Ahn Jae Hong (Lee Chang Hoon), termasuk interaksi Min Jae bersama rakan-rakan penyelidiknya.

Dalam salah satu stills, Min Jae dan ahli penyelidik lain dilihat berkumpul di sekitar meja. Penampilan mereka yang sederhana turut menggambarkan suasana santai dan bersahaja dalam kalangan pelajar kejuruteraan di makmal tersebut.

Kenali Ahli Pasukan Penyelidikan Robotik

Lee Gyu Sung membawakan watak Uhm Tae Ho, ahli makmal yang bijak dan menjadi antara individu penting dalam pasukan tersebut.

Lee Suk Hyeong pula memegang watak Bae Chan Soo, seorang yang mudah mesra dan bersahaja, manakala Kim Min tampil sebagai Choi Han Gyul, ahli termuda yang sentiasa dianggap sebagai “si paling muda” dalam kumpulan itu.

Turut menyertai pasukan tersebut ialah Kim Se Jin (Im Jin Hyo), seorang pelajar siswazah yang menjadi ahli baharu makmal serta rakan penyelidikan Yoo Jin.

Dengan karakter yang berbeza, keempat-empat ahli ini dijangka memberikan warna tersendiri kepada kehidupan di makmal robotik, selain mencetuskan pelbagai momen mencuit hati menerusi interaksi mereka sebagai rakan sepasukan.

Profesor Dengan Personaliti Berbeza

Selain para pelajar penyelidik, “Between Steps” turut memperkenalkan beberapa tenaga pengajar di Seohan University.

Lee Chang Hoon membawakan watak Ahn Jae Hong, seorang profesor Kejuruteraan Mekanikal dan Robotik yang mempunyai personaliti lantang dan penuh tenaga.

Jang In Sub pula memegang watak Lee Ji Hoon, profesor paling muda yang mendapat jawatan tetap di Jabatan Matematik. Dikenali sebagai seorang genius dalam bidang matematik, dia turut menjadi antara tenaga pengajar penting di universiti tersebut.

Sementara itu, Ryu Kyung In tampil sebagai Kang Mi Ran, profesor di Jabatan Pakaian yang terkenal dengan sikap tegas terhadap mereka yang berada di bawahnya, tetapi lebih berhati-hati apabila berhadapan dengan mereka yang mempunyai kedudukan lebih tinggi.

Kehadiran barisan pensyarah dengan personaliti berbeza ini turut melengkapkan dunia universiti yang menjadi latar kepada kisah Min Jae dan Yoo Jin.

Choo Young Woo & Kim So Hyun Kongsi Chemistry Di Set

Bercakap mengenai suasana penggambaran, Choo Young Woo menyifatkan set “Between Steps” sebagai tempat yang dipenuhi sikap saling menghormati dan mengambil berat antara satu sama lain.

Dia turut berkongsi bahawa dirinya seronok datang ke set dan merasakan ahli makmal mempunyai kerjasama yang kuat ketika berlakon bersama.

Menurut Choo, setiap ahli pasukan penyelidikan mempunyai karakter dan keunikan tersendiri, sekali gus menghasilkan tenaga yang menarik apabila mereka disatukan dalam satu ruang.

Kim So Hyun pula berkongsi bahawa suasana di set sering dipenuhi gelak tawa. Mereka turut banyak bertukar idea dan kerana setiap pelakon memahami peranan masing-masing, interaksi antara mereka dapat dibentuk dengan lebih natural.

Chemistry tersebut dijangka menjadi salah satu elemen yang menceriakan kisah “Between Steps”, terutama menerusi kehidupan seharian para pelajar siswazah di makmal penyelidikan robotik.

“Between Steps” bakal ditayangkan pada 5 Oktober 2026, jam 10 malam KST dan boleh distrim di Disney+.

Sumber : 1