Drama terbaru tvN, “100 Days of Deception”, tampil dengan poster berkumpulan baharu yang memperlihatkan ketegangan antara barisan watak utamanya.
Diarahkan oleh Yoo In Shik, pengarah di sebalik “Extraordinary Attorney Woo” dan siri “Dr. Romantic”, drama ini merupakan romantik perisik berlatarbelakangkan zaman penjajahan Jepun di Korea, dengan kisahnya berlangsung dalam tempoh 100 hari.
“100 Days of Deception” mengisahkan Lee Ga Kyeong (Kim You Jung), seorang penyeluk saku terkenal di Gyeongseong, nama yang digunakan untuk merujuk kepada Seoul pada ketika itu.
Kehidupannya berubah apabila dia menjadi perisik rahsia untuk gerakan kemerdekaan Korea dan menyusup masuk ke Japanese Government-General of Korea bagi menjalankan misi sulit.
Di sana, Lee Ga Kyeong terjerat dengan Kim Tae Woong (Park Jinyoung), seorang jurubahasa yang turut menggunakan nama Sato Hideo.
Kim Tae Woong merupakan anak angkat kepada Sato Shinichi (Jin Sun Kyu), Inspector-General of Korea yang juga merupakan antara pegawai berpangkat tertinggi dalam pentadbiran ketika itu.
Sementara itu, Kim Hyun Joo membawakan watak Yoo So Ran, seorang pejuang kemerdekaan yang menukar identitinya dan berpura-pura berkahwin dengan wartawan Yoo Philip (Lee Moo Saeng).
Perkahwinan tersebut merupakan sebahagian daripada rancangan Yoo So Ran untuk membalas dendam terhadap Sato Shinichi. Ketika merancang satu pembunuhan, dia turut menghantar Lee Ga Kyeong ke Japanese Government-General sebagai seorang perisik.
Setiap Watak Menyimpan Rahsia Tersendiri

Poster terbaharu “100 Days of Deception” menonjolkan suasana penuh ketegangan menerusi riak wajah setiap watak yang masing-masing menyimpan rahsia dan agenda tersendiri.
Lee Ga Kyeong kelihatan penuh kemarahan, manakala Kim Tae Woong pula menunjukkan riak cemas dan terdesak seolah-olah berdepan dengan situasi genting.
Yoo So Ran tampil dengan pandangan yang sarat kesedihan, sementara Yoo Philip kelihatan ketakutan dan terpaku selepas terkejut melihat seseorang.
Dalam pada itu, Sato Shinichi kekal berwaspada terhadap orang di sekelilingnya. Walaupun tidak mengetahui identiti sebenar mereka, dia kelihatan curiga dan sentiasa berjaga-jaga.
Dengan setiap watak membawa identiti serta rahsia tersendiri, hubungan antara mereka dijangka menjadi antara elemen penting dalam perkembangan cerita “100 Days of Deception”.
Selain Kim You Jung dan Park Jinyoung, drama ini turut menampilkan Kim Hyun Joo, Lee Moo Saeng dan Jin Sun Kyu dalam watak-watak utama.
“100 Days of Deception” akan mula ditayangkan pada 10 Oktober 2026, jam 9:10 malam di tvN dan boleh distrim di Netflix untuk tontonan global.
Sumber : 1


