Dinanti ramai, ‘W Two Worlds’ Malaysia akan tayang secara eksklusif di Viu mulai 30 November ini

Dinanti ramai bukan sahaja ianya diadaptasi dari drama Korea popular, tapi untuk membuktikan kita mampu menghadirkan versi Malaysia dengan menggunakan produk kita yang setanding dengan karya asal. Dari barisan pelakon, Krew produksi, unit penulisan, pengarah dan penerbit yang mempunyai pengalaman dan keistimewaan masing-masing membuatkan naskhah ini penuh dengan kekuatan yang tersendiri. 

Pada 28 November, Viu, perkhidmatan penstriman video OTT pan serantau milik PCCW melancarkan Viu Original ‘W: Two Worlds’, sebuah karya adaptasi daripada drama bersiri popular Korea dengan tajuk yang sama. Siri romantik, fantasi dan thriller ini akan mula ditayangkan pada 30 November 2023 dengan dua episod baharu pada setiap hari Khamis minggu berikutnya, menampilkan barisan bintang terkenal seperti Hun Haqeem, Daiyan Trisha, Faizal Hussein, Mierul Aiman, Elizabeth Tan, Tony Eusoff dan Shahkimin.

Viu telah membuktikan kejayaannya dalam menghasilkan karya drama adaptasi berkualiti tinggi seperti Black dan She Was Pretty. Kini, kami persembahkan projek adaptasi siri W: Two Worlds pula dan ia bukanlah satu tugasan yang mudah. Untuk mengekalkan standard seperti mana yang dikehendaki oleh penonton adalah satu cabaran. Namun, apa yang pasti, drama ini tidak akan mengecewakan peminat setia kami dan peminat K-drama lain. Kami berharap karya ini dapat menawarkan satu pengalaman yang berbeza kepada industri dan penyokong karya seni tanah air.

– Kingsley Warner, Pengurus Negara, Viu Malaysia

Drama ini telah menggandingkan semula duo hebat iaitu pengarah Datuk Yusry Abdul Halim dan penerbit Zurina Ramli untuk kali ketiga dalam pembikinan Viu Original. Sebelum ini, mereka telah bekerjasama menjayakan ‘She Was Pretty’ (2022), yang juga sebuah adaptasi drama Korea popular berjudul sama dan berjaya merangkul dua anugerah kebangsaan di Asian Academy Creative Awards 2022. Mereka kemudiannya meneruskan kerjasama dalam menjayakan ‘Nenek Bongkok Tiga’ yang ditayangkan pada Februari tahun ini. Dengan rekod cemerlang mereka, gandingan kreatif Yusry dan Zurina pastinya menjanjikan produksi terbaik yang bakal menambat hati penonton.

Skrip drama ini pula dihasilkan dan disusun oleh Fairul Nizam Ablah yang merupakan seorang ketua penulis dan penerbit dengan lebih 18 tahun pengalaman di dalam industri hiburan. Beliau terkenal melalui karya-karya hebat seperti ‘Keluarga Baha Don’ (2018), drama produksi Viu Original yang telah meraih pelbagai anugerah dan juga beberapa projek besar lain seperti ‘Maryam Pagi Ke Malam/ (2023) dan ‘Tebus’ (2020).

Keupayaan Fairul dalam menggabungkan elemen komedi, drama, dan momen menyentuh hati di dalam karyanya boleh dilihat melalui siri TV, telemovie dan juga filem seperti ‘Hari Terakhir Seorang Pengarah’ (2016), ‘Bola Kampung The Movie’ (2013) dan ‘Jangan Ambil Padang Kami’ (2012).

Kingsley Warner, Pengurus Negara, Viu Malaysia San barisan eksekutif Viu Malaysia
Penulis, Penerbit drama dan barisan pelakon ‘W Two Worlds’

Kami tidak dapat menafikan bahawa gandingan kedua mereka tidak pernah mengecewakan, bahkan sentiasa mendapat perhatian dan menjadi bualan ramai. Ditambah pula dengan kemahiran kreatif serta kehebatan penulis skrip menjadikan naskhah drama ini satu medium untuk berkomunikasi dengan penonton menerusi keunikan, keistimewaan dan kelainan yang cuba diketengahkan. Keupayaan penulis skrip untuk mengadaptasi budaya Malaysia seharusnya dipuji kerana ia bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang enteng kerana ada banyak aspek yang perlu diambil kira.  Sudah pasti penonton tidak akan berganjak dari tempat duduk bilamana anda menonton ‘W Two Worlds’ kerana drama ini punya segalanya – pengalaman emosi yang pelbagai, aksi yang penuh mencabar, chemistry pelakon yang menjadi kekuatan drama, siri percintaan, kekeluargaan serta persahabatan yang menyentuh perasaan dan team produksi serta pelakon yang telah melakukan sehabis baik untuk menjayakan drama ini.

Sesi temubual bersama pelakon, penerbit dan orang kuat platform Viu

Kami berkesempatan untuk mengikuti sesi temubual yang diadakan bersama media. Untuk makluman, pengarah drama “W Two Worlds”, Dato’ Yusry Abdul Halim tidak dapat hadir kerana mengerjakan umrah.

Jom tonton sesi Q & A berkenaan drama “W Two Worlds” Malaysia di bawah

Sinpsis ‘W Two Worlds’

W: Two Worlds mengisahkan tentang Izara, seorang doktor muda dan bapanya Omar, yang merupakan pelukis siri webtoon popular, W. Apabila Omar hilang tanpa jejak, pencarian Izara membawa dirinya ke dunia webtoon, di mana dia menyelamatkan nyawa watak utama webtoon tersebut iaitu Aliff. Dengan berbuat demikian, Izara mendapati dirinya ditulis ke dalam cerita, apabila webtoon itu seakan hidup dan mula berfungsi sebagai realiti yang berbeza. Aliff sedang memburu lelaki yang membunuh keluarganya sepuluh tahun lalu. Dia sedar bahawa nasib Izara dan dirinya saling berkait, tanpa menyedari bahawa dirinya adalah watak dalam sebuah webtoon. Apabila dua dunia bertembung, pelbagai situasi yang tidak dijangka timbul yang membawa kepada konflik dan kisah percintaan.

Baca juga : Viu Malaysia hadirkan adaptasi drama popular Korea “W Two Worlds” versi kita

Barisan pelakon

Hun Haqeem membawa watak Aliff, jejaka menawan dengan masa silam yang tragis. Hun adalah salah seorang bintang muda terhangat dalam industri setelah memberikan prestasi cemerlang dalam projek seperti Viu Original ‘Nenek Bongkok Tiga’ (2023), ‘Imam Instant Ustazah Scammer; (2023) dan ‘Kampung People’ (2020-2021). Bakat dan dedikasi luar biasa beliau diiktiraf apabila beliau dicalonkan sebagai Artis Baharu Lelaki Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2020.

Izara dilakonkan oleh Daiyan Trisha. Dengan portfolio mantap beliau melibatkan pelbagai karya popular termasuk ‘Projek: High Council’ (2023), ‘Tetuan Ang & Rahimin’ (2022) dan ‘Projek: Anchor SPM’ (2021), pelakon berbakat ini telah membuktikan komitmen dan kemampuan serba boleh beliau dalam setiap watak yang dilakonkan. Peranannya dalam Busker (2018) telah melayakkan beliau tercalon untuk Pelakon Baharu Terbaik di Festival Filem Malaysia 2019. Selain berlakon, Daiyan juga merupakan seorang penyanyi dan penulis yang baru sahaja melancarkan buku puisinya.

Pelakon veteran Faizal Hussein yang memegang watak bapa Izara, Omar. Sorotan terkini dalam kerjaya Faizal Hussein termasuk peranannya dalam ‘Harum Malam’ (2023), ‘One Cent Thief’ (2022) dan ‘i-Tanggang’ (2021). Faizal pernah memenangi Pelakon Lelaki Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2019 untuk ‘Samad Tedung’, dan Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia 2012 untuk ‘Bunohan’. Bakat, dedikasi dan kecemerlangan beliau yang konsisten menjadikan beliau digemari ramai peminat dan merupakan pelakon yang sentiasa dikehendaki.

Pelakon yang sedang meningkat naik, Mierul Aiman membawakan watak Ghazi, pengawal peribadi dan rakan baik Aliff. Mierul Aiman mencipta gelombang dalam industri hiburan tanahair melalui ‘Projek: High Council’ (2023), ‘Imam Instant Ustazah Scammer’ (2023) dan ‘Akim & Mira: Kisah Cinta 1999’ (2023). Persembahan cemerlang Mierul Aiman dalam projek-projek tersebut telah melayakkan beliau dicalonkan untuk BBNU Lelaki Popular di ABPBH 2023.

Elizabeth Tan membawa watak Hanna, kawan zaman kanak-kanak Aliff dan pembantu peribadi, yang mendapati dirinya terperangkap antara tugas dan cinta. Elizabeth Tan mempunyai perjalanan kerjaya yang mengagumkan dalam pelbagai projek yang diterima ramai seperti ‘Special Force: Anarchy’ (2023). ‘Abang Long Fadil 3’ (2022) dan ‘Keluarga Baha Don Season 3’ (2021). Elizabeth juga merupakan seorang penyanyi sejak 2014 lagi. Bakat luar biasa ini membuatkan beliau tercalon untuk Selebriti Harapan Pilihan di Anugerah Stail EH! 2016.

Tony Eusoff, yang memegang watak sebagai pendakwa raya yang bertukar menjadi ahli politik, Musa. Tony baru- baru ini dilihat dalam siri thriller, ‘Liar’ (2023) yang merupakan adaptasi Malaysia daripada siri British yang terkenal dengan nama yang sama. Karya lain beliau termasuk persembahan memukau dalam ‘Histeria The Series’ (2022), ‘Penunggang Agama’ (2021) dan ‘Daulat’ (2020). Tony Eusoff terus mengagumkan dan menambat hati penonton, menjadikan beliau seorang pelakon yang persembahannya harus ditonton dalam dunia hiburan.

Manakala, Shahkimin yang memegang watak Rafi, pembantu komik Omar yang aneh tetapi bersemangat. Shahkimin telah menghiasi dunia hiburan tempatan dengan bakat komedinya dalam projek seperti ‘She Was Pretty’ (2022), ‘The Pak Mat Clan’ (2022) dan ‘Kampung People’ (2019-2022).

Trailer Rasmi

Saat trailer rasmi ‘W Two Worlds’ rilis, rata-rata netizen memuji dengan penceritaan yang diadaptasi ini dan menurut mereka ia setanding dengan versi asal. Ramai yang tidak sabar untuk menonton drama ini kerana trailer ini telah meninggalkan kesan yang mendalam yang membuatkan penonton harus tonton.

Jadi jangan lupa menonton ‘W: Two Worlds’ di aplikasi Viu, yang boleh dimuat turun secara percuma di App Store, Google Play, Huawei App Gallery dan TV pintar terpilih, serta di laman web www.viu.com.

loading...