Kim Ji Won Berdepan Dunia Hospital Korup Bersama Lee Jung Eun, Son Hyun Joo & Kim Woo Seok Dalam “Doctor X”

SBS bakal memperkenalkan sebuah drama medical noir menerusi “Doctor X”, dengan Kim Ji Won tampil sebagai pakar bedah genius yang tidak takut mencabar sistem hospital yang penuh dengan rasuah.

Diadaptasi daripada siri popular Jepun dengan tajuk yang sama, drama ini mengisahkan Gye Soo Jung (Kim Ji Won), seorang pakar bedah yang membuktikan kebolehannya hanya melalui kemahiran pembedahan tanpa menghiraukan perebutan kuasa atau peraturan yang mengongkong dunia hospital.

Dikenali sebagai seorang doktor “dark hero”, Gye Soo Jung dihantar ke Hospital Universiti Guseo melalui sebuah agensi penempatan doktor. Dengan kemahirannya yang luar biasa, dia mula menggoncang hierarki hospital yang dipenuhi rasuah.

Kim Ji Won Jadi “Mad Dog Of The Operating Room”

Kim Ji Won membawakan watak Gye Soo Jung, seorang pakar bedah genius yang terkenal dengan gelaran “mad dog of the operating room.”

Apabila tiba di Hospital Universiti Guseo, sebuah institusi yang sudah lama terpalit dengan rasuah, Gye Soo Jung enggan dipergunakan oleh sistem yang dipengaruhi wang, kuasa dan pengaruh. Sebaliknya, dia memilih untuk bergerak sendirian sebagai seorang antihero dalam dunia perubatan, hanya bergantung pada kemahiran pembedahannya yang tiada tandingan.

Tidak berminat dengan perebutan kuasa atau politik hospital, Gye Soo Jung hanya fokus kepada satu perkara — pembedahan. Dia bertekad untuk mencabar dan akhirnya meruntuhkan sistem rasuah yang sudah berakar dalam dunia hospital tersebut.

Lee Jung Eun Jadi Rakan Kongsi Yang Licik

Lee Jung Eun membawa watak Jang Hee Sook, ketua agensi penempatan doktor yang sangat mementingkan wang.

Pada awalnya, Jang Hee Sook kelihatan seperti seorang wanita materialistik yang lantang dan banyak bercakap. Namun di sebalik penampilannya itu, dia sebenarnya seorang ahli strategi yang bijak dan licik, dengan kemahiran membaca orang yang digunakan untuk menguruskan perniagaannya.

Dia merupakan individu yang menghantar Gye Soo Jung ke Hospital Universiti Guseo sebagai doktor terbaik agensinya.

Menariknya, hubungan Jang Hee Sook dan Gye Soo Jung bukan sekadar hubungan profesional. Kedua-duanya membentuk gandingan yang kuat dan kadangkala hubungan mereka berkembang menjadi sesuatu yang hampir seperti ibu saudara dan anak saudara.

Chemistry serta womance antara kedua-dua watak ini dijangka menjadi salah satu daya tarikan drama.

Son Hyun Joo Jadi Pengarah Hospital Yang Terperangkap Dalam Sistem Korup

Sementara itu, Son Hyun Joo memegang watak Boo Seung Kwon, pengarah Hospital Universiti Guseo yang berusaha menyelamatkan institusi tersebut daripada terus merosot dan mengembalikan reputasinya.

Demi menyelamatkan hospital, Boo Seung Kwon terpaksa berkompromi dengan organisasi yang dipenuhi rasuah. Namun jauh di sudut hatinya, dia masih mahu mempertahankan tanggungjawab dan prinsipnya sebagai seorang doktor.

Kemunculan Gye Soo Jung mula mengubah segala-galanya.

Boo Seung Kwon selama ini berusaha mengekalkan aturan hospital, manakala Gye Soo Jung pula hadir dengan tekad untuk meruntuhkan sistem tersebut menggunakan kemahiran pembedahannya.

Pertembungan antara kedua-duanya dijangka menghasilkan antara konflik paling sengit dalam drama ini.

Kim Woo Seok Jadi Doktor Pelatih Yang Mengagumi Gye Soo Jung

Kim Woo Seok pula memainkan watak Park Tae Kyung, seorang doktor pelatih baharu yang baik hati, bercita-cita tinggi dan sedikit cuai.

Kehidupan Park Tae Kyung berubah selepas dia bertemu Gye Soo Jung. Berbeza dengan Gye Soo Jung yang tidak peduli dengan perebutan kuasa dan hanya fokus terhadap pembedahan, Park Tae Kyung begitu teruja untuk belajar daripadanya.

Dia malah sering memerhatikan Gye Soo Jung seolah-olah tidak mahu terlepas sedikit pun peluang untuk mempelajari sesuatu daripada doktor genius tersebut.

Namun, Gye Soo Jung langsung tidak memberikan perhatian kepadanya dan terus fokus pada tugasnya.

Hubungan mereka bakal membentuk chemistry mentor-mentee yang unik, dengan sifat Park Tae Kyung yang ceria, ikhlas dan sedikit cuai dijangka membawa perubahan menarik dalam kehidupan Gye Soo Jung.

Empat Watak, Satu Hospital Yang Penuh Konflik

Dengan Gye Soo Jung yang berani mencabar sistem, Jang Hee Sook yang bijak mengatur strategi, Boo Seung Kwon yang cuba mempertahankan hospital dan Park Tae Kyung yang masih mencari tempatnya sebagai doktor, “Doctor X” bakal mempertemukan empat karakter dengan matlamat serta cara pemikiran yang sangat berbeza.

Pihak produksi turut memuji barisan pelakon utama, khususnya transformasi Kim Ji Won sebagai Gye Soo Jung. Mereka menyatakan bahawa sejak penggambaran pertama, nada suara, pandangan mata dan gerak-gerinya benar-benar menggambarkan karakter tersebut, sehingga sukar untuk membayangkan Gye Soo Jung dilakonkan oleh orang lain.

Mereka turut meminta penonton menantikan kemunculan seorang “medical dark hero” baharu serta keserasian antara barisan pelakon yang bakal menjadi antara tarikan utama drama ini.

“Doctor X” akan mula ditayangkan pada 9 Oktober 2026, jam 9:50 malam KST, menerusi SBS.

Sumber : 1 | 2 | 3 | 4 | 5