Apa yang berlaku apabila seseorang yang telah kita cintai selama 10 tahun masih menjadi insan yang paling kita percayai, tetapi tidak lagi membuatkan hati berdebar seperti dahulu?
Persoalan tentang cinta yang berubah inilah yang menjadi nadi drama romantik baharu Prime Video, “A Love Other Than Yours”, yang bakal menemui penonton pada 12 September 2026.
Dibintangi Seo Kang Joon, Ahn Eun Jin, Lee Joo Ahn dan Jo Aram, drama ini mengetengahkan sisi cinta yang lebih matang dan kompleks — apabila hubungan yang dibina selama bertahun-tahun mula berdepan rasa jemu, godaan dan persoalan tentang masa depan.
Menjelang tayangan perdananya, pengarah Hwang Seung-ki bersama barisan pelakon utama berkongsi pandangan mengenai drama yang tidak hanya mahu memaparkan debaran cinta baharu, tetapi turut menyelami emosi yang sering wujud di sebalik sebuah hubungan.
Berikut lima sebab mengapa A Love Other Than Yours patut dimasukkan dalam watchlist.
1. Kisah Cinta 10 Tahun Yang Tidak Seindah Yang Disangka

A Love Other Than Yours mengisahkan Namgung Ho dan Lee Mi-do, pasangan yang telah menjalin hubungan selama 10 tahun.
Ho merupakan seorang penolong pengurus di Hunmin Snacks yang mudah mesra dan mampu membuat orang menyukainya dalam masa yang singkat. Selepas sedekad bersama Mi-do, dia melihat perkahwinan sebagai langkah semula jadi dalam hubungan mereka.
Mi-do pula merupakan seorang pengarah filem baharu yang pernah menjanjikan potensi besar tetapi kini sedang melalui tempoh sukar dalam kerjayanya.
Hubungan mereka yang pada awalnya dipenuhi keghairahan telah berubah menjadi satu bentuk kepercayaan dan keselesaan yang mendalam.
Namun, apabila Mi-do mula tertarik kepada lelaki lain, hubungan mereka mula goyah.
Persoalannya bukan sekadar siapa yang akan dipilih, tetapi sama ada mereka masih mahu meneruskan hubungan yang telah dibina selama 10 tahun — atau akhirnya memilih cinta yang lain.
2. Seo Kang Joon Bawa Sisi Cinta Yang Tidak Terucap

Seo Kang Joon memegang watak Namgung Ho, seorang lelaki yang percaya bahawa selepas 10 tahun bersama, perkahwinan adalah langkah seterusnya yang semula jadi.
Apa yang menarik perhatian Seo Kang Joon terhadap watak ini ialah sifat Ho yang tidak sempurna tetapi terasa nyata.
“Skripnya sangat, sangat menarik. Apa yang paling menarik perhatian saya ialah emosi watak-wataknya tidak selalu disampaikan secara terus melalui dialog.”
Menurutnya, perasaan dalam drama ini banyak disampaikan melalui pandangan mata, tindakan dan nuansa kecil, sesuatu yang membuatkan projek tersebut terasa berbeza.
Seo Kang Joon turut menyifatkan Ho sebagai watak yang “seperti manusia sebenar”, lengkap dengan percanggahan dan kelemahan yang menjadikannya mudah dipercayai.
Melalui watak Ho, penonton berpeluang melihat bagaimana seseorang boleh mencintai dengan begitu teguh, tetapi pada masa sama berdepan kesakitan apabila cinta tersebut mula berubah.
3. Ahn Eun Jin Buat Konflik Hati Mi-do Terasa Dekat Dengan Realiti

Ahn Eun Jin pula membawa watak Lee Mi-do, seorang pengarah filem yang sedang melalui fasa sukar dalam hidup dan kerjaya.
Mi-do masih mempunyai hubungan yang mendalam dengan Ho, tetapi selepas 10 tahun bersama, perasaan teruja yang pernah wujud dalam hubungan mereka semakin pudar.
Kehadiran seseorang yang baharu kemudian membuatkan Mi-do mula mempersoalkan perasaan dan pilihan hidupnya sendiri.
Ahn Eun Jin mengakui bahawa keadaan Mi-do mungkin membuatkan penonton tertanya-tanya bagaimana dia boleh goyah sedangkan Ho berada di sisinya.
“Saya rasa ramai orang akan tertanya-tanya tentang perkara itu. Tetapi selepas menonton drama ini, anda akan memahami tempoh sukar yang sedang dilalui Ho dan Mi-do.”
Daripada meminta penonton terus menghakimi keputusan Mi-do, persembahan Ahn Eun Jin sebaliknya cuba membawa penonton memahami kekeliruan, kerinduan dan kerentanan yang berada di sebalik pilihan wataknya.
4. Kehadiran Tae-seung & Su-a Tambah Dinamik Baharu

Selain Ho dan Mi-do, drama ini turut memperkenalkan dua watak yang membawa dinamika baharu kepada cerita.
Lee Joo Ahn memainkan watak Han Tae-seung, seorang peguam bercita-cita tinggi di Jaekang Law Firm.
Bagi Lee Joo Ahn, Tae-seung pada awalnya bukanlah watak yang mudah difahami.
“Ketika pertama kali membaca skrip, saya tidak dapat memahami Tae-seung sepenuhnya. Tetapi itu membuatkan saya semakin ingin tahu tentangnya.”
Hubungan Tae-seung dengan Mi-do menjadi antara elemen paling menarik dalam drama ini apabila dia mampu mengenali sisi hati Mi-do yang tidak dilihat oleh orang lain.
Seo Kang Joon pula menggambarkan Tae-seung sebagai seseorang yang mengisi ruang kosong yang tidak mampu diisi oleh Ho — menjadikan kehadirannya pada masa yang sama berbahaya dan sukar ditolak.
Sementara itu, Jo Aram memainkan watak Park Su-a, pekerja di Hunmin Snacks yang jujur, tabah dan tidak takut untuk menyatakan perasaannya.
Berbeza dengan konflik emosi Mi-do, Su-a membawa tenaga yang lebih hangat dan segar. Jo Aram menyifatkan kejujuran sebagai daya tarikan utama wataknya — walaupun cinta membawa kesakitan, Su-a tidak membiarkan dirinya terus terperangkap dalam kesedihan.
Hubungannya dengan Ho pula terbina atas rasa hangat, kebaikan dan kestabilan.
Dengan kehadiran Tae-seung dan Su-a, drama ini tidak hanya melihat cinta dari satu sudut, tetapi memperluaskan persoalan tentang keinginan, keselesaan, ketidakpastian dan keberanian untuk mengakui perasaan sendiri.
5. Emosi Halus Yang Menjadikan Drama Ini Lebih Realistik

Bagi pengarah Hwang Seung-ki, A Love Other Than Yours bukan sekadar drama untuk mereka yang pernah menjalani hubungan selama 10 tahun.
Pada awalnya, dia sendiri bimbang kerana pengalaman tersebut mungkin tidak cukup universal untuk semua penonton.
Namun selepas membaca skrip, dia menyedari bahawa drama ini sebenarnya melihat perasaan manusia dalam pelbagai bentuk hubungan seolah-olah melalui kanta pembesar.
Selain percintaan, ia turut menyentuh hubungan keluarga, rakan sekerja dan persahabatan.
Apa yang paling diberi perhatian oleh Hwang ialah ekspresi para pelakon.
Menurutnya, terdapat banyak ketika sepanjang penggambaran apabila dia sendiri berasa terkejut, tersentuh dan kagum dengan ekspresi yang ditampilkan mereka.
Justeru, drama ini banyak bergantung pada pandangan, jeda, ekspresi dan perkara yang tidak dilafazkan untuk menyampaikan emosinya.
Romantik Musim Luruh Yang Lebih Dekat Dengan Realiti
Dan mungkin di situlah terletaknya daya tarikan A Love Other Than Yours.
Ia tidak menawarkan cinta sebagai sesuatu yang sentiasa mudah atau sempurna. Sebaliknya, drama ini mengajak penonton melihat apa yang berlaku apabila seseorang masih menyayangi pasangannya, tetapi pada masa yang sama mula tertanya-tanya sama ada cinta itu masih cukup untuk meneruskan perjalanan bersama.
A Love Other Than Yours menjanjikan sebuah kisah romantik tentang keselesaan apabila seseorang sudah mengenali kita sepenuhnya, debaran apabila ada seseorang yang benar-benar melihat sisi diri yang selama ini tersembunyi, dan ketidakpastian apabila hati mula mahukan sesuatu yang baharu.
“A Love Other Than Yours” akan mula ditayangkan pada 12 September 2026 dan tersedia secara eksklusif di Prime Video di lebih 240 negara dan wilayah di seluruh dunia.
Jadi, adakah cinta yang telah bertahan selama 10 tahun masih cukup untuk membawa dua hati menuju masa depan yang sama? Kita akan lihat apabila A Love Other Than Yours bermula. ❤️


