LIL LEAGUE & KID PHENOMENON Bakal Perkenal J-POP Generasi Baharu di Music Matters Live 2026

Dua kumpulan J-POP generasi baharu, LIL LEAGUE dan KID PHENOMENON daripada kolektif NEO EXILE di bawah LDH, bakal membawa muzik dan tenaga mereka ke pentas Music Matters Live 2026 di Singapura.

Berlangsung seiring dengan persidangan All That Matters, acara tersebut akan diadakan dari 2 hingga 7 Oktober 2026, dengan kedua-dua kumpulan dijadualkan membuat persembahan pada Sabtu, 3 Oktober di Clarke Quay.

Penampilan ini bakal memperkenalkan gabungan muzik, tarian dan budaya pop Jepun kontemporari mereka kepada peminat antarabangsa serta barisan profesional industri muzik dari seluruh dunia.

Music Matters Live, komponen yang memberi tumpuan kepada muzik dalam All That Matters, merupakan platform antarabangsa yang menghubungkan industri muzik Asia Pasifik dengan pentas global. Acara ini menghimpunkan peneraju industri, profesional muzik dan artis baharu menerusi sesi persidangan serta persembahan secara langsung yang mengetengahkan bakat generasi seterusnya.

Seiring perkembangan J-POP di peringkat antarabangsa melalui penstriman, media sosial serta pengaruh pelbagai genre seperti hip-hop, R&B dan muzik tarian, NEO EXILE tampil sebagai generasi baharu hiburan Jepun yang menggabungkan budaya global kontemporari tanpa mengetepikan identiti tersendiri J-Pop.

LIL LEAGUE Terus Luaskan Pengaruh Di Peringkat Antarabangsa

LIL LEAGUE merupakan pemenang uji bakat kompetitif LDH, iCON Z ~Dreams For Children~, yang menerima kira-kira 48,000 permohonan.

Kumpulan enam anggota ini kemudiannya muncul sebagai antara kumpulan J-POP generasi baharu yang semakin mendapat perhatian, menerusi persembahan bertenaga, vokal mantap, rap dan koreografi dinamik.

LIL LEAGUE turut memperluaskan kehadiran mereka di luar Jepun menerusi beberapa persembahan antarabangsa, termasuk Japan Expo Thailand 2026, NIPPON HAKU BANGKOK (2025–2026) serta SUPERFLUID, antara festival muzik Songkran terbesar.

Selepas kejayaan lagu debut mereka, “Hunter”, dan single terbaharu “Boku Wo Sagashiteta”, kemunculan di Music Matters Live menjadi satu lagi langkah penting buat LIL LEAGUE dalam memperkenalkan muzik dan persembahan mereka kepada penonton di seluruh dunia.

KID PHENOMENON Bawa Konsep “TOKYO NEO POP”

Sementara itu, kumpulan tujuh anggota KID PHENOMENON hadir dengan identiti tersendiri menerusi konsep “TOKYO NEO POP”, yang menggabungkan budaya jalanan Tokyo, fesyen, tarian serta bunyi pop futuristik.

Lagu seperti “Existence” dan single terbaharu “KIDS” memperlihatkan gaya persembahan bertenaga serta keunikan setiap anggota.

Kumpulan ini turut menunjukkan perkembangan pengaruh mereka di peringkat antarabangsa apabila membuat persembahan di SXSW di Amerika Syarikat pada Mac 2026.

Selain itu, KID PHENOMENON menerima jemputan persembahan daripada beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom dan Mexico, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara artis generasi baharu yang membawa budaya Tokyo kontemporari ke pentas global.

Meneruskan Jejak PSYCHIC FEVER & WOLF HOWL HARMONY

Penampilan LIL LEAGUE dan KID PHENOMENON di Music Matters Live turut meneruskan usaha LDH memperkenalkan bakat J-POP generasi baharu kepada penonton antarabangsa.

Sebelum ini, artis LDH seperti PSYCHIC FEVER dan WOLF HOWL HARMONY telah membuat persembahan di edisi Music Matters Live pada 2025.

Bagi LIL LEAGUE, kemunculan pertama mereka di acara tersebut menjadi peluang untuk berkongsi muzik, tarian dan rap dengan penonton dari pelbagai latar belakang.

“Kami teruja untuk membuat penampilan sulung di Music Matters Live di Singapura bersama KID PHENOMENON. Melalui lagu, tarian dan rap kami, kami mahu berkongsi tenaga keenam-enam anggota serta menyampaikan persembahan yang melangkaui batasan bahasa.”

Kumpulan itu turut menyatakan hasrat untuk membawa semangat generasi baharu artis Jepun dan memperkenalkan identiti LIL LEAGUE kepada penonton di Asia serta seluruh dunia.

KID PHENOMENON pula berkata mereka teruja untuk berkongsi muzik, persembahan dan konsep “TOKYO NEO POP” dengan penonton di Singapura.

“Melalui muzik, tarian dan fesyen, kami mengekspresikan budaya baharu yang sedang berkembang daripada Tokyo kontemporari.”

Menurut mereka, persembahan tersebut diharapkan dapat membolehkan penonton yang pertama kali menyaksikan KID PHENOMENON merasai tenaga tujuh anggotanya serta keunikan yang dibawa oleh setiap anggota, tanpa mengira batasan bahasa dan budaya.

Langkah Baharu NEO EXILE Ke Pentas Dunia

Dengan kehadiran profesional industri muzik dari seluruh dunia di Music Matters Live, penampilan LIL LEAGUE dan KID PHENOMENON hadir pada satu fasa penting dalam perjalanan antarabangsa kedua-dua kumpulan.

Kemunculan sulung mereka di Singapura bukan sahaja menjadi peluang untuk memperkenalkan dua identiti berbeza daripada NEO EXILE, malah mencerminkan usaha berterusan LDH dalam membawa generasi baharu artis Jepun kepada penonton global.

Buat LIL LEAGUE dan KID PHENOMENON, pentas di Clarke Quay bukan sekadar persembahan, tetapi menjadi permulaan kepada satu lagi bab dalam perjalanan mereka — bermula di Singapura sebelum melangkah lebih jauh ke pentas dunia.

Music Matters Live 2026 akan berlangsung di Singapura dari 2 hingga 7 Oktober 2026, dengan LIL LEAGUE dan KID PHENOMENON dijadualkan membuat persembahan pada 3 Oktober di Clarke Quay.