Park Hyuk Kwon, Seo Jeong Yeon, Kim Min Seok & Kim So Hyun Tampilkan Keluarga Penuh Gelagat Dalam “Between Steps”

Drama akan datang “Between Steps” memperkenalkan keluarga Im Yoo Jin yang bakal menjadi sebahagian daripada kisahnya.

“Between Steps” merupakan drama romantik arahan mendiang Ahn Pan Seok, pengarah yang sebelum ini menghasilkan “Something in the Rain”, “One Spring Night” dan “The Midnight Romance in Hagwon”.

Drama ini mengisahkan kisah cinta antara Park Min Jae (Choo Young Woo), bekas perenang yang kehilangan kaki kanannya akibat penyakit, dan Im Yoo Jin (Kim So Hyun), seorang pelajar siswazah yang cuba mencari arah baharu selepas berdepan perubahan dalam hidupnya.

Terbaru, beberapa stills memperkenalkan keluarga Im Yoo Jin yang kelihatan seperti sebuah keluarga biasa, namun masing-masing mempunyai karakter tersendiri.

Park Hyuk Kwon dan Seo Jeong Yeon masing-masing membawakan watak Im Yong Seok dan Seo Mi Young, iaitu ibu bapa Yoo Jin.

Im Yong Seok merupakan seorang bapa yang baik hati dan rajin bekerja. Dia menguruskan Jeil Car Center, manakala Seo Mi Young pula seorang ibu yang tekun dan cekal serta menguruskan bahagian kewangan di pusat servis kereta tersebut.

Walaupun hidup dalam serba sederhana, kedua-duanya menganggap anak-anak sebagai kebanggaan terbesar dalam kehidupan mereka.

Sementara itu, Kim Min Seok memegang watak Im Yoo Sung, abang kepada Yoo Jin yang hanya setahun lebih tua daripadanya.

 

Dalam stills terbaru, Yoo Sung diperlihatkan sebagai seorang yang agak bersahaja dan kebudak-budakan. Dia bekerja sebagai mekanik di pusat servis kereta milik ibu bapanya dan sering terlibat dalam pergaduhan kecil dengan Yoo Jin sehingga mereka tidak terlepas daripada tarik-menarik rambut.

Namun di sebalik sikapnya yang kelihatan tidak matang, Yoo Sung sebenarnya seorang abang yang boleh diharapkan serta sangat mengambil berat tentang adik dan keluarganya.

Kim So Hyun turut berkongsi pengalamannya bekerja bersama Park Hyuk Kwon, Seo Jeong Yeon dan Kim Min Seok.

Menurutnya, mereka sering meluangkan masa bersama sejak hari pembacaan skrip, termasuk berbincang dan melakukan banyak persediaan sebagai satu pasukan.

Usaha tersebut membolehkan mereka menampilkan pelbagai momen yang terasa lebih natural dan benar-benar seperti sebuah keluarga ketika berada di set.

“Between Steps” bakal ditayangkan pada 5 Oktober 2026, jam 10 malam KST dan boleh distrim di Disney+.

Sumber :  1