Rancangan pelbagai “Apartment404” akan bersiaran di Prime Video mulai 23 Februari ini

Prime Video mengumumkan bahawa “Apartment404”, rancangan tanpa skrip daripada tvN dan Prime Video akan disiarkan di Prime Video di Malaysia. Rancangan tersebut turut disiarkan di lebih daripada 240 negara dan wilayah di seluruh dunia, mulai Jumaat, 23 Februari. Episod baru akan dikeluarkan setiap minggu iaitu pada setiap Jumaat.

Apartment404 merupakan program pelbagai realiti retro dengan 8 episod yang dibintangi oleh Yu Jae Seok, Cha Tae Hyun, Oh Na Ra, Yang Se Chan, Jennie BLACKPINK dan Lee Jung Ha.


Rancangan ini berlatarkan bangunan pangsapuri di mana enam penduduk mengesan kebenaran di sebalik kejadian luar biasa yang berlaku di kediaman mereka. Setiap kisah di Apartment404 adalah berdasarkan peristiwa kehidupan sebenar, menjadikan perjalanan 6 penghuni itu lebih menarik dan menegangkan. Oleh kerana rancangan itu berdasarkan kisah benar, setiap episod akan mempunyai cerita yang unik dan berlangsung dalam tempoh serta lokasi yang berbeza. Jadi penonton akan ditunjukkan kemahiran penyiasatan dan kenangan setiap era. 6 penghuni tersebut akan dipecahkan kepada 2 pasukan, bersama tetamu istimewa, dan bersaing antara satu sama lain. Pada akhir siri, seorang daripada mereka akan dinobatkan sebagai pemenang rancangan ini.

“Apartment404” diterajui oleh pengarah produksi Jeong Cheol-min yang telah bekerja di beberapa rancangan pelbagai popular, termasuk “Sixth Sense” dan “Running Man.” Yu Jae Seok ialah seorang pelawak, pengacara dan personaliti TV terkemuka yang pernah bekerja dengan Jeong Cheol-min untuk “Running Man” dan “Sixth Sense.”Pelakon Cha Tae Hyun pula dikenali menerusi pelbagai filem popular dan rancangan pelbagai serta pelakon Oh Na Ra yang juga merupakan ahli rancangan “Sixth Sense”.

Selain itu, rancangan ini dibintangi  Yang Se Chan yang merupakan seorang pelawak dan salah seorang ahli tetap “Running Man”. Paling istimewa, rancangan ini menampilkan Jennie yang merupakan seorang penyanyi, rapper dan pelakon yang telah membuat penampilan sulungnya sebagai ahli kumpulan BLACKPINK. Akhir sekali, pelakon muda Lee Jung Ha membuat penampilan pertamanya dalam rancangan variati menerusi Apartment404.

Nantikan keterujaan dan aksi membongkar misteri di “Apartment404” yang akan disiarkan di Prime Video pada 23 Februari. Jom tengok teaser “Apartment404” di bawah:

loading...