Drama 14 episod yang berlatarbelakangkan Dinasti Goryeo ini menggabungkan aksi, percintaan dan misi berbahaya demi mencari harapan, mula ditayangkan pada 5 Disember.
Ketika sebuah kerajaan berada di ambang kekalahan, harapan terakhirnya bergantung pada satu misi luar biasa. Prime Video hari ini mengumumkan Sacred Jewel, sebuah drama sejarah epik Korea terbaharu yang dibintangi Ahn Bo-hyun, Lee Sung-min dan Claudia Kim.
Berlatarbelakangkan tahun 1258 semasa Dinasti Goryeo, selepas hampir tiga dekad berdepan peperangan tanpa henti menentang Mongol, kerajaan tersebut kini berada di ambang kehancuran. Dengan kekalahan semakin menghampiri, satu ekspedisi berani muncul sebagai harapan terakhir kerajaan.
Diketuai oleh pahlawan muda yang penuh keazaman, Baek Gyul, sekumpulan pasukan elit memulakan misi berbahaya untuk mendapatkan semula permata suci yang dipercayai memiliki kuasa ajaib bagi melindungi Goryeo. Ketika kumpulan itu meredah wilayah musuh dan merentasi kawasan pergunungan menuju ke laut timur, bahaya menanti di setiap perjalanan.
Dalam masa yang sama, Puteri Wang Hee bergegas memberikan bantuan kepada mereka, sekali gus membuka lembaran perjalanan yang bakal menentukan nasib sebuah kerajaan serta nyawa mereka yang berjuang mempertahankannya.
Ahn Bo-hyun (Spring Fever, Flex X Cop, My Name) membawakan watak Baek Gyul, seorang pahlawan muda yang bijak, berani dan memiliki keazaman tinggi. Sikapnya yang keras kepala hanya dapat ditandingi oleh pendirian teguh yang tidak mudah digoyahkan.

Sebagai anak tunggal kepada Timbalan Menteri Perang, Baek Gyul berkhidmat dalam Gyeonryonggun, pasukan pengawal elit maharaja. Namun, apabila hubungan cintanya yang terlarang dengan Puteri Wang Hee membangkitkan kemurkaan maharaja, dia dilantik sebagai Komander sebuah pasukan khas dan dihantar menjalankan misi berbahaya bersama Pasukan Petugas Tentera Elit.
Dengan tugasan mendapatkan semula khazanah suci yang berpotensi mengubah hala tuju peperangan, Baek Gyul perlu mengharungi bahaya di medan pertempuran sambil berdepan pengorbanan peribadi yang dituntut oleh tanggungjawab dan cinta.
Turut membintangi drama ini ialah Lee Sung-min (Teach You a Lesson, Reborn Rich, No Other Choice) sebagai Choi Gu, seorang pahlawan legenda yang membina reputasinya menerusi ratusan pertempuran.
Pernah menjadi pejuang paling digeruni dalam Pasukan Petugas Tentera Elit, Choi Gu merupakan seorang komander yang menjadi idaman para askar muda untuk berkhidmat di bawah pimpinannya. Mereka percaya bahawa peluang untuk terus hidup adalah lebih tinggi apabila berada di bawah arahannya.

Namun, di sebalik penampilannya yang kental selepas bertahun-tahun di medan perang, Choi Gu sebenarnya bergelut dengan kegemilangan silam yang semakin pudar serta kesedaran bahawa usianya semakin lanjut. Apabila dilantik sebagai Kapten bagi pasukan khas pimpinan Baek Gyul, pahlawan veteran ini sekali lagi berdepan perjalanan berbahaya yang bakal menguji kekuatan, keteguhan hati dan legasinya.

Claudia Kim (Gyeongseong Creature, The Atypical Family, Chimera) pula memegang watak Puteri Wang Hee, puteri bongsu maharaja yang memiliki kecantikan luar biasa, namun menyembunyikan kehidupan penuh kepedihan di sebalik sikap dinginnya.
Selepas melalui perkahwinan politik yang meninggalkan luka dan kehilangan peribadi yang menyayat hati, Wang Hee sekian lama menjauhkan diri daripada dunia luar kerana lebih rela menyembunyikan perasaan daripada membiarkan dirinya kembali terluka.

Namun, hubungannya dengan Baek Gyul mula meruntuhkan tembok yang dibina di sekeliling dirinya, sekali gus membangkitkan semula perasaan yang disangkanya telah hilang buat selama-lamanya. Ketika peperangan mengancam segala-galanya, Wang Hee perlu berdepan masa silam dan mencari keberanian untuk menentukan masa depannya sendiri.
Drama epik sejarah ini diarahkan oleh Jung Dae-yoon (Reborn Rich, She Was Pretty), manakala skripnya ditulis oleh Jung Hyun-min (The Nokdu Flower, Jeong DoJeon).
Diterbitkan oleh SLL dan Celltrion Entertainment, siri 14 episod ini turut menampilkan Ha Yoon-kyoung (Undercover Miss Hong, The Apartment Job, See You in My 19th Life) dan Yoon Kyun-sang (The Rebel, House of Lies, Six Flying Dragons). Barisan pelakon ini melengkapkan sebuah kisah yang mengetengahkan ketabahan jiwa manusia dalam menghadapi kekacauan peperangan.
Sacred Jewel akan mula ditayangkan secara eksklusif di Prime Video pada 5 Disember 2026 di Malaysia serta lebih 240 negara dan wilayah di seluruh dunia. Di Malaysia, langganan Prime Video ditawarkan pada harga RM25 sebulan.


