Drama Paling Sensasi ‘Rampas Cintaku 2’ Kembali Bersiaran di iQIYI bermula 19 Januari

Musim kedua kembali dengan gandingan dua Primadona negara iaitu Fasha Sandha sebagai Datin Safieya dan Erra Fazira sebagai Dato’ Nasha beraksi bersama barisan pelakon hebat yang lain.

Kisah pergolakan cinta, konflik dan muslihat kembali dengan drama sensasi Rampas Cintaku 2 yang bakal ditayangkan bermula 19 Januari di platform penstriman video iQIYI. Drama ini merupakan pembuka tirai bagi tahun 2024 dari produksi original tempatan oleh iQIYI. 

Jika musim lalu, peminat disajikan dengan hubungan cinta antara “sugar mummy” dan “anak ikan”, musim 2 pula berkisarkan tentang Datin Safieya (lakonan Fasha Sandha) bergelut dengan dilema apabila kemunculan semula bekas suaminya, Dato’ Jefri (lakonan Zarul Husin) yang cuba menggugat rumah tangga bahagia yang dibina bersama Rizal (Afieq Shazwan). Situasi menjadi semakin tragis apabila Safieya kehilangan Rizal secara tiba-tiba dan ini membuatkan dia berasa semakin tertekan. 

Musim terbaru ini juga tidak kurang hebatnya, apabila peminat bakal menyaksikan gabungan barisan pelakon dari musim pertama serta penampilan para pelakon ikonik iaitu Zarynn Min, Puteri Balqis, dan Ady Mohammad dari musim terdahulu, diserikan lagi dengan kehadiran Erra Fazira, Keith Foo, Lorenzo Irmann dan Zamarul Hisham yang pastinya bakal mencuri hati peminat tegar drama ini. 

Barisan pelakon ‘Rampas Cintaku 2’. Dari kiri: Ady Mohammad, Keith Foo, Bea Rameshan, Erra Fazira, Fasha Sandha, Puteri Balqis, Zarynn Min and Afieq Shazwan

Rampas Cintaku 2 bakal membawa penonton menelusuri perjalanan Datin Safieya yang berjuang melawan kesedihan dan kesetiaan yang diuji apabila hadirnya jejaka yang cuba meredakan kesunyiannya setelah kehilangan suami tercinta. 

 

Rampas Cintaku 2 juga bukan hanya sekadar sekuel yang dinantikan, tetapi ia juga merupakan permulaan baharu untuk iQIYI Malaysia dalam menghasilkan 12 karya tempatan yang bakal dilancarkan pada tahun ini. Ini juga selari dengan misi mereka menjadikan platform penstriman ini sebagai wacana hiburan tempatan dan menyumbang kepada kepelbagaian dalam industri hiburan global. 

Rampas Cintaku adalah drama original Malaysia pertama yang dihasilkan oleh iQIYI yang telah mencetuskan gelombang global dengan lebih daripada 100 juta tontonan digital pada musim pertamanya. Dengan 12 karya original tempatan yang bakal ditayangkan termasuk Rampas Cintaku 2, iQIYI sedang giat menyemarakkan industri kreatif tempatan dan melonjakkan seni hiburan Malaysia ke persada global. Sebagai bukti, musim pertama Rampas Cintaku akan tersedia untuk ditonton di China bermula dari 19 Januari, dengan capaian lebih dari 1.4 bilion penonton. Kami kini sedang memperluaskan jangkauan, meneroka genre baharu, dan bekerjasama dengan bakat-bakat terbaik, sama ada veteran telah bertapak lama mahupun bintang-bintang baharu ke dalam arena hiburan, demi untuk menyampaikan cerita yang menyentuh hati setiap penonton.

Pengurus Besar iQIYI untuk Malaysia dan Singapura, Jony Deng

Pelakon & Krew ‘Rampas Cintaku 2’ bersama wakil iQiYI

Kami sangat teruja bekerjasama dengan iQIYI dalam menghasilkan musim terbaru ini dan teruja dengan hasil daripada musim pertama yang berjaya merangkul tempat di platform global. MIG Production sentiasa memastikan untuk memberikan yang terbaik buat semua penonton. Rampas Cintaku 2 mempersembahkan jalan cerita yang serba baharu dari musim sebelumnya. Dengan Rampas Cintaku 1, kami mempunyai novel sebagai rujukan namun musim ini pula naratifnya tidak tertumpu kepada ‘anak ikan’ dan ‘sugar mummy’, dan dengan itu kami perlu menulis semuanya semula. Terdapat beberapa tekanan tertentu demi untuk memenuhi segala jangkaan. Untuk kesinambungan penonton mungkin akan bosan jika kami hanya meniru dari musim sebelumnya. Oleh itu, kami menulis dengan naratif yang lebih berani dengan semangat yang tinggi dengan dorongan untuk membawakan hiburan yang terbaik untuk penonton. Kami ingin penonton menikmati perkembangan perjalanan percintaan dan keluarga Datin Safieya.

David Teo, Ketua Pegawai Eksekutif MIG Production

Kali ini menyaksikan iQIYI bekerjasama sekali lagi dengan MIG Production untuk Rampas Cintaku 2.

Rampas Cintaku 2 bukan sekadar sekuel yang unik, tetapi kami bawakan jalan cerita yang belum pernah dipersembahkan di Malaysia. Dengan penampilan ikon ternama seperti Erra Fazira, Keith Foo, dan Zamarul Hisham, digandingkan pula dengan muka-muka baharu yang sedang meningkat naik seperti Ady Mohammad dan Lorenzo Irmann, musim terbaru ini bakal menyajikan persembahan yang terbaik. Bukan setakat ini sahaja, Rampas Cintaku juga bakal mencipta sejarah apabila ia bakal menjadi drama Melayu pertama yang ditayangkan di China, dan ini adalah langkah besar untuk seni hiburan Malaysia. Dengan iQIYI sebagai tapak, kami bawakan rancangan ini untuk tontonan global ke lebih dari 190 negara, sekaligus mengangkat industri hiburan Malaysia ke mata dunia.

Zebedee De Costa, Ketua Produksi Original iQIYI Malaysia

Rampas Cintaku 2 bakal  ditayangkan di platform iQIYI secara globall (www.iq.com dan aplikasi) meliputi  lebih dari 190 wilayah bermula 19 Januari 2024.

Sebelum itu, jom tonton trailer “Rampas Cintaku 2” yang pastinya akan menambahkan keterujaan penonton untuk menyaksikan drama ini yang penuh aksi, emosi dan menegangkan!