Jung Ryeo Won akan bergandingan dengan Wi Ha Joon dalam drama romantis terbaru pengarah ‘Something in the Rain”

Jung Ryeo Won disahkan membintangi drama percintaan baharu bersama Wi Ha Joon!

Pada 19 Oktober, tvN mengesahkan pelakon Jung Ryeo Won dan Wi Ha Joon akan bergandingan untuk drama akan datang mereka “Graduation” (tajuk literal). Ini merupakan drama baharu oleh pengarah Ahn Pan Seok, yang telah menghasilkan pelbagai drama percintaan popular seperti “Something in the Rain,” “One Spring Night,” dan “Secret Love Affair.”

“Graduation” berlatarbelakangkan Daechi, sebuah kawasan kejiranan yang terkenal sebagai pusat pendidikan swasta di Korea. Plot drama ini berkisarkan seorang pengajar yang tanpa jemu membantu pelajar bernama Lee Joon Ho (Wi Ha Joon) mendapatkan kemasukan ke universiti berprestij. Dalam perjalanan yang penuh berliku, Lee Joon Ho kemudian kembali ke akademi sebagai pengajar baru selepas meletak jawatan dari sebuah syarikat besar kerana penangan cinta pertamanya terhadap guru akademinya Seo Hye Jin (Jung Ryeo Won), biarpun setelah 10 tahun berlalu.

Jung Ryeo Won memegang watak Seo Hye Jin, seorang pengajar bahasa Korea veteran selama 14 tahun yang menjadi bintang selepas insiden legenda yang dipanggil “Miracle of Daechi.” Dia juga memiliki sifat pantang menyerah. Pada masa dia memikirkan tentang kehidupannya selepas bersara, bekas muridnya yang nakal Lee Joon Ho, yang dihantar ke universiti berprestij dengan sekuat tenaga 10 tahun lalu, muncul kembali dan menyebabkan hidupnya menjadi berubah.

Saya juga sangat gembira dan bersyukur berada di set kerana saya bukan sahaja bertemu pengarah Ahn Pan Seok yang sentiasa saya hormati, tetapi juga gandingan pelakon yang hebat. Saya akan melakukan yang terbaik untuk menjadikan drama ini hebat.

–  Jung Ryeo Won

Wi Ha Joon pula memegang watak Lee Joon Ho, seorang pengajar baharu yang mengganggu kehidupan seharian Seo Hye Jin setelah bertemu semula selepas 10 tahun. Dia adalah watak utama dalam insiden “Miracle of Daechi” yang menjadikan Seo Hye Jin seorang pengajar yang terkenal 10 tahun lalu. Suatu hari, dia kembali ke akademi di mana dia bertemu dengan Seo Hye Jin, sosok yang berjaya memberinya perubahan dramatik dalam kehidupan selepas berhenti dari sebuah syarikat besar yang menjamin kerjaya yang mantap.

Wi Ha Joon berkongsi, “Saya tertarik dengan pesona watak itu, dan cerita yang memperincikan dengan jelas emosi dalam kehidupan seharian adalah menarik. Paling penting, saya gembira kerana dapat bersatu semula dengan pengarah Ahn Pan Seok, yang pertama kali saya temui menerusi [drama] ‘Something in the Rain,’ menerusi projek ini. Saya sangat teruja kerana dialah yang membuatkan saya merasai kegembiraan berada di set.”

“Graduation” akan dijadualkan untuk tayangan pada tahun 2024.

Sumber : 1

loading...