Penonton drama di Malaysia akan disajikan dengan adaptasi drama “Autumn in My Heart” atau dalam versi kita bertajuk “Luruhnya Bunga Cinta”. Rata-rata teruja untuk menyaksikan apakah ada sesuatu yang istimewa akan dipersembahkan dan adakah penonton juga perlu bersedia dari segi emosi sepanjang menonton “Luruhnya Bunga Cinta” ini. Untuk pengetahuan semua, “Autumn in My Heart” adalah sebuah drama Korea yang telah mencetuskan fenomena diseluruh dunia pada tahun 2000. Drama inilah yang menjadi asas titik permulaan perkembangan drama Korea di Malaysia sebelum “Winter Sonata”.
Di kala itu, rata-rata penonton akan bersedia di depan tv untuk menyaksikan kisah drama ini selanjutnya. Ramai juga terbawa-bawa watak itu sehinggakan kita turut sama menangis, bergembira, rasa geram, marah, tak puas hati dan terpesona kepada kejelitaan serta kekacakan para pelakonnya. “Autumn in My Heart” juga menjadi topik bualan hangat kita setiap hari disamping berkongsi pandangan masing-masing tentang drama ini. Tahun 2000, penggunaan VCD tersangat popular. Bayangkan. jika seseorang memiliki VCD “Autumn in My Heart” kita itu, maka berduyun-duyunlah mendapatkan giliran untuk menontonnya.
Serba sedikit mengenai drama Korea Autumn In My Heart
“Autumn In My Heart” adalah sebuah mengangkat tema melodrama dan dibintangi oleh Song Hye Kyo, Song Seung Heon dan Won Bin. Ianya disiarkan dirangkaian KBS2 pada tahun 2000.
Drama ini mengisahkan tentang kesilapan identiti apabila dua bayi perempuan tertukar semasa lahir, dan identiti sebenar mereka hanya diketahui ketika mereka menginjal zaman remaja.
Dunia Yoon Eun Suh (Song Hye Kyo) gelap selepas kemalangan apabila dia mendapati bahawa dia bukan anak kandung keluarganya, tetapi Choi Shin Ae (Han Chae Young). Eun Suh kembali kepada ibu kandungnya, yang merupakan seorang wanita bujang yang mengusahakan sebuah restoran kecil dan hidup dalam kemiskinan. Eun Suh juga mempunyai seorang abang yang suka berjudi.
Bertahun-tahun kemudian, dia bertemu dengan seseorang yang pernah menjadi abangnya, Joon Suh (Song Seung Heon), yang kini seorang pelukis yang berjaya melalui rakannya Tae Seok (Won Bin), yang jatuh cinta dengan Eun Suh. Walaupun pada satu ketika mereka mungkin bersaudara, Eun Suh dan Joon Suh saling tertarik antara satu sama lain dan jatuh cinta. Tetapi kebahagiaan mereka tidak lama apabila Shin Ae yang cemburu mendedahkan hubungan mereka. Namun takdir untuk mereka telahpun tertulis. Apakah mereka akan bersama sehingga ke akhirnya, dan apakah keluarga merestui hubungan mereka?
Nah, kalau drama versi Korea berjaya mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, siapa tahun versi Malaysia juga punya sesuatu yang lebih istimewa untuk menawan hati penonton. Apa mungkin penonton masih perlu sediakan tisu sebagai langkah berjaga-jaga?
Luruhnya Bunga Cinta
Skrip drama ini ditulis oleh Intan Zarina Mohd Yasin dan mendapat sentuhan daripada pengarah Muhamad Riza Baharudin yang sebelum ini mengarahkan “Aku Yang Kau Sakiti”. Kedua mereka pernah bekerjasama menerusi drama ‘Bisik-bisik Gelora’. ‘Luruhnya Bunga Cinta” diterbitkan oleh syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd.
Barisan Pelakon
- Redza Rosli sebagai Nuh
- Tracie Sinidol sebagai Nuha Hamisya
- Nabila Razali sebagai Sarah
- Auni Yusri sebagai Aara
- Iman Suhana sebagai Khalsom
- Bella Luna sebagai Aleen
- Aniq Durar sebagai Awal
Pasti para penonton tidak sabar untuk menikmati apa yang akan ditampilkan oleh mereka dan bagaimana ‘chemistry’ antara mereka dapat membuatkan drama ini meninggalkan kesan kepada penonton.
SINOPSIS LURUHNYA BUNGA CINTA
Luruhnya Bunga Cinta mengisahkan tentang Kisah Nuh dan Nuha. Kisah mereka bermula semasa mereka masih kecil apabila Nuh ketika itu secara tidak sengaja menjatuhkan kad nama kakaknya sehingga tertukar dengan bayi yang lain!
Selepas beberapa tahun kemudian, Nuh meningkat remaja dengan “adiknya”, Nuha tanpa mengetahui status mereka yang sebenar. Nuha sangat popular di sekolah dan dicemburui rakan sekelasnya, Aara. Aara seorang gadis yang pandai tetapi jarang mendapat perhatian daripada guru dan rakan sekelasnya.
Suatu hari, satu insiden telah berlaku yang memerlukan Nuha terpaksa melakukan pemindahan darah sehingga status sebenar Nuha telah terbongkar. Adakah insiden tersebut mengubah seluruh hidup Nuha dan Nuh?
Korang kena tonton drama ini selanjutnya kalau nak tahu apa yang akan terjadi. Penulis berharap penonton tidak membandingkan versi asal dan versi adaptasi, kerana penulis percaya setiap yang terhasil pasti ada keistimewaannya yang tersendiri. Jadilah penonton yang bijak, ok!
Sebelum tayangan perdana bermula, jom saksikan trailer “Luruhnya Bunga Cinta”
Montaj rasmi untuk tayangan di tv3