Yoona & Lee Junho 2PM ditabalkan sebagai pasangan kekasih untuk drama korea terbaru, ‘King The Land’

Yoona dan Lee Junho 2PM telah ditawarkan lakonan untuk drama korea terbaru, ‘King The Land’.

Lee Jun Ho bakal membawakan watak bernama Guwon, anak chaebol syarikat konglomerat terkemuka yang terpalit di dalam perebutan kuasa di antara pewaris-pewaris takhta Hotel King yang meliputi perniagaan hotel, penerbangan dan pengedaran. Guwon memiliki kesemuanya termasuklah kepandaian ditambah dengan aura ketampanannya yang terserlah. Kehidupan Guwon memang tampak sempurna tetapi sebenarnya dia kekurangan kasih sayang.

Yoona pula bakal membawakan watak bernama Chun Sarang, seorang wanita yang berjaya mengenepikan segala prejudis dan pengalaman pahit pada masa silam bagi membina kerjaya yang hebat di Hotel King, yang ditakrifkannya sebagai momen yang paling gembira di dalam hidupnya.

Guwon yang begitu dingin itu kemudian dipertemukan pula dengan Chun Sarang yang asyik tersenyum manis di hadapannya, sehingga akhirnya menyebabkan hatinya terpaut kepada gadis tersebut. Drama ‘King The Land’ akan mengkhususkan cerita tentang kehidupan golongan elit yang menguasai perniagaan perhotelan di Korea.

Ini kali pertama Lee Junho dan Yoona digandingkan di dalam drama bersama. Mereka pernah berduet koreografi bersama ketika mempersembahkan tarian ‘Senorita’ di pentas 2021 MBC Gayo Daejejeon empat bulan yang lalu sehingga mencetuskan sensasi.

‘King The Land’ bakal diterbitkan oleh produser Npio Entertainment yang bertanggungjawab menghasilkan drama MBC The Red Sleeves dan Netflix Into Your Time sebelum ini. Ia juga bakal mendapat khidmat penulis skrip Chun Seon Gil (“Netflix All of Us Are Dead”). ‘King The Land’ dijangka akan menjalani penggambaran seawal pertengahan tahun ini.

Sumber: newsen

loading...