Bintang Korea Selatan, Kim Myung Soo (L), mencipta malam penuh kenangan buat peminat Malaysia menerusi 2026 KIM MYUNGSOO (L) FAN-CON ASIA TOUR in Kuala Lumpur yang berlangsung di Mega Star Arena.
Acara tersebut bukan sahaja menampilkan persembahan secara langsung, malah turut dipenuhi dengan permainan interaktif, momen mencuit hati serta interaksi istimewa antara Kim Myung Soo dan peminat yang hadir.
Perjalanan Muzik Penuh Nostalgia

Kim Myung Soo membuka persembahan dengan lagu popular kumpulan INFINITE, iaitu “Way You Are” dan “1/3”, yang terus menghangatkan suasana dengan sorakan gemuruh daripada peminat.
Persembahan diteruskan dengan beberapa lagu solonya seperti “One More Time”, “I Want to Tell You”, “Blue Summer” dan “My Universe”, memperlihatkan vokalnya yang semakin matang serta pesona tersendiri sebagai artis solo.

Namun, kemuncak malam tersebut hadir apabila Kim Myung Soo membuat kejutan menerusi persembahan eksklusif lagu solo terbaharunya yang masih belum pernah dikeluarkan secara rasmi, “Stay Close”, buat pertama kali di hadapan peminat Malaysia.
Belajar Bahasa Melayu & Momen Menghiburkan Bersama Peminat

Selain persembahan, Kim Myung Soo turut menunjukkan usaha mendekati peminat Malaysia dengan mempelajari beberapa ungkapan dalam Bahasa Melayu secara spontan.
Dengan bantuan pengacara majlis, beliau berjaya menceriakan suasana apabila menyebut “I sayang you” dan “I sayang gila you”, yang disambut dengan sorakan teruja daripada seluruh dewan.
Sesi interaksi turut menjadi antara segmen paling menghiburkan menerusi permainan seperti [BLOOD TRUTH GAME – O/X QUIZ] dan A/B QUIZ.

Dalam sesi O/X Quiz, Kim Myung Soo mendedahkan bahawa beliau banyak mengambil gambar sepanjang berada di Malaysia dan secara berseloroh meminta peminat menantikan gambar-gambar tersebut.
Suasana bertambah meriah ketika sesi A/B Quiz apabila peminat perlu meneka pilihan Kim Myung Soo. Apabila ditanya sama ada beliau lebih memilih menaiki tangga sehingga ke puncak Menara Berkembar Petronas sebelum turun menggunakan lif, atau menaiki lif ke atas dan berjalan turun menggunakan tangga, majoriti peminat memilih jawapan kedua.
Namun, Kim Myung Soo segera membetulkan mereka sambil bergurau bahawa mereka sepatutnya meneka pilihannya, bukannya memilih berdasarkan apa yang mereka sendiri mahu lakukan. Gelagat tersebut mengundang gelak tawa seluruh dewan.
Beliau turut berkongsi bahawa berjalan menaiki tangga merupakan senaman yang baik dan menggalakkan peminat untuk lebih aktif menjaga kesihatan.
Kejutan Istimewa Daripada Fossil
Dengan kerjasama jenama terkenal Fossil, peminat turut berpeluang memenangi jam tangan eksklusif menerusi permainan interaktif dan cabutan bertuah.
Selain tajaan awal sebanyak 20 unit jam tangan, Fossil turut memberikan tambahan tujuh unit lagi secara mengejut sepanjang acara berlangsung. Tujuh peminat bertuah dipilih dan membawa pulang hadiah istimewa tersebut, menjadikan malam itu lebih bermakna.
Encore Paling Dekat Dengan Peminat

Kejutan terbesar hadir ketika segmen encore apabila Kim Myung Soo tidak muncul dari pentas utama seperti biasa, sebaliknya membuat kemunculan mengejut melalui pintu utama arena.
Sambil mempersembahkan lagu “Memory”, “The Night That I Miss You” dan “Love U Like U”, beliau berjalan di tengah-tengah kawasan penonton, menyapa peminat secara dekat dan mencipta suasana yang begitu intim serta menyentuh hati.
Selepas menyusuri laluan penonton, Kim Myung Soo sekali lagi menceriakan suasana dengan aksi spontannya apabila melompat melepasi penghadang untuk kembali ke pentas.
Beliau mengakhiri malam penuh kenangan itu menerusi lagu terakhir, “What’s Not to Love”, meninggalkan memori manis buat semua peminat yang hadir.

Dengan persembahan yang menghiburkan, interaksi mesra serta pelbagai kejutan istimewa sepanjang acara, 2026 KIM MYUNGSOO (L) FAN-CON ASIA TOUR in Kuala Lumpur berjaya meninggalkan kenangan manis buat Kim Myung Soo dan para peminat Malaysia, sekali gus menutup jelajah FAN-CON Asia beliau dengan penuh bermakna.


