Bonjour Bakery Tamatkan Siaran Sebagai Antara Rancangan Paling Ditonton di Viki Asia Tenggara

Bonjour Bakery menutup tirai tayangan lapan episodnya dengan pencapaian membanggakan apabila muncul sebagai antara rancangan variasi Korea paling banyak ditonton di Rakuten Viki di seluruh Asia Tenggara.

Sejak episod pertama ditayangkan, siri ini terus mencuri perhatian penonton apabila menduduki tangga teratas carta mingguan Rakuten Viki di rantau ini. Bonjour Bakery turut mengekalkan kedudukan No. 1 di Malaysia, Indonesia dan Filipina selama lima minggu berturut-turut, selain kekal dalam kelompok tiga teratas sehingga episod akhir.

Kejayaan ini sekali gus membuktikan sambutan luar biasa terhadap siri eksklusif Asia Tenggara itu yang menggabungkan konsep bakeri, pencuci mulut serta kisah-kisah menyentuh hati daripada warga emas.

Barisan pelakon yang terdiri daripada Kim Hee Ae, Kim Seon Ho, Cha Seung Won dan Lee Ki Taek turut menjadi antara faktor tarikan utama siri ini. Kim Hee Ae dan Kim Seon Ho menguruskan bahagian hadapan kafe, manakala Cha Seung Won berperanan sebagai ketua chef pastri dengan Lee Ki Taek sebagai pembantunya.

Mengambil latar sebuah kafe bakeri di kawasan luar bandar, Bonjour Bakery memperkenalkan konsep “Yes Senior Zone”, yang mengalu-alukan tetamu berusia 65 tahun ke atas untuk menikmati pencuci mulut berinspirasikan Perancis sambil berkongsi kisah serta pengalaman hidup mereka.

Berbeza daripada kebanyakan rancangan variasi Korea yang berkonsepkan pertandingan atau cabaran, Bonjour Bakery memberi tumpuan kepada perbualan yang santai dan penuh makna, menjadikan kisah kehidupan setiap tetamu sebagai nadi utama setiap episod.

Ketika sidang media, Lee Ki-taek mengakui babak terakhir memberikan kesan yang sangat mendalam kepadanya.

“Babak terakhir benar-benar kekal dalam ingatan saya. Ia begitu menyentuh hati sehingga saya tidak dapat berhenti menangis. Pengalaman ini membuatkan saya melihat orang di sekeliling dengan perspektif yang lebih hangat.”

 

Sementara itu, penulis siri, Kim Ran-ju, berharap rancangan tersebut dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

“Jika rancangan ini membuatkan penonton ingin membawa ibu bapa mereka menikmati hidangan yang enak bersama, itu sahaja sudah cukup untuk kami.”

Sambutan penonton juga membuktikan populariti Bonjour Bakery apabila siri ini menerima penarafan 9.8/10 berdasarkan 739 ulasan di Rakuten Viki, sekali gus meletakkannya antara rancangan variasi dengan penilaian tertinggi di platform tersebut.

Rata-rata penonton memuji pendekatan siri ini yang menenangkan dan menyentuh hati, selain menghargai interaksi tulus bersama warga emas, nilai kemasyarakatan serta keikhlasan barisan pelakon dalam melayani setiap tetamu.

 

 

Dengan pendekatan yang lebih santai dan berteraskan penceritaan, Bonjour Bakery berjaya menawarkan pengalaman berbeza berbanding kebanyakan rancangan variasi Korea lain. Siri ini turut melengkapkan koleksi kandungan variasi Korea di Rakuten Viki bersama judul seperti Heart Signal 5 dan Kumusta.

Kesemua lapan episod Bonjour Bakery kini boleh distrim di Rakuten Viki untuk penonton di Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand.