Buat penggemar sukan badminton, inilah masanya untuk tonton drama KBS ‘Going to You at a Speed of 493KM’

KBS/Disney+ ‘Going to You at a Speed of 493KM’ sudah semestinya dinanti-nantikan oleh penggemar sukan badminton di tanah air.

Dibintangi oleh Park Ju Hyun (“tvN Piece of Your Mind”, “Netflix Extracurricular”) dan Chae Jong Hyup (“SBS Hot Stove League”, “MBC Sisyphus: The Myth”), ia berkisarkan tentang saat ketika bekas pemain badminton yang hebat cuba bangkit semula daripada kegagalan tetapi terpaksa pula berhadapan dengan pasangan beregu campurannya yang dirasakan kurang serasi dengannya.

Selepas menghilangkan diri daripada pertandingan badminton di peringkat tertinggi seperti Kejohanan Terbuka Super Series dan Kejohanan Dunia selama tiga tahun, Park Taeyang (lakonan Park Ju Hyun) kembali melangkah ke gelanggang bersama pasangan beregu campurannya Park Taejoon (Chae Jong Hyup).

Taeyang yang begitu didorong dengan semangat yang kuat untuk merampas semula kedudukan berprestijnya sebagai pesaing peringkat pingat emas terpaksa bergelut pula dengan Taejoon yang sekadar menganggap badminton sebagai pekerjaan lain. Namun, lama-kelamaan, mereka dapat merapatkan jurang percanggahan di antara satu sama lain, seterusnya menjadi semakin serasi dan akhirnya merangkul kejuaraan badminton di peringkat tinggi.

Keadaan yang dialami mereka kedua-dua watak ini pasti mengingatkan penonton ketika pasangan beregu campuran Malaysia, Goh Liu Ying dan Chan Peng Soon mencapai kegemilangan mereka sehingga meraih pingat perak di Sukan Olimpik Rio De Janiero pada tahun 2016. Walaupun kisah mereka mungkin tidak serupa, tetapi penonton akan tertanya-tanya bagaimana atlet sukan ini mengekalkan keserasian di antara mereka di samping perlu konsisten memastikan kecergasan tubuh masing-masing.

Dinukilkan oleh Huh Seong hye dan diarahkan oleh Joe Woong dan Gu Seong jun, drama korea terbaru ini boleh ditonton di Disney+ Hostar mulai 20 April hari ini.

loading...