10 Lagu Kpop Paling Menyengat & Popular di Malaysia Sepanjang Tahun 2020

Image may contain: 12 people

Sukar untuk bayangkan lagu kpop mana paling popular di Malaysia tanpa data yang sah dan boleh dipercayai. Masing-masing akan pertahankan bahawasanya kumpulan bias mereka paling hebat bertahan di kedudukan no.1 dalam carta muzik, memperoleh jualan single atau album paling banyak serta bilangan tontonan Youtube terbanyak, misalnya. Tapi, data diperolehi RIM Malaysia, satu-satunya agensi paling dipercayai di Malaysia, memberikan kejutan yang mungkin tak disedari oleh peminat Kpop selama ini. Data ini telah di’compile’ oleh Kmania dengan penuh tekun sekali berdasarkan jumlah bilangan ‘impressions’ dan kedudukannya di dalam carta RIM setiap minggu.

Apapun, senarai 10 lagu Kpop paling popular di Malaysia yang dikeluarkan sepanjang tahun 2020 (January-Disember) dikaji satu-persatu tentang bagaimana lagu-lagu ini berjaya menggamit perhatian peminat kpop di Malaysia.

Baca lagi: Psycho Red Relvet dahului 5 lagu Kpop Paling Menyengat & Popular di Malaysia sepanjang pertengahan tahun 2020

Sebelum itu, mari kita lihat 3 lagu yang hampir tersenarai di dalam 10 lagu popular, tapi tidak cukup markah diperlukan untuk berada di dalamnya.

*Extra*: More & More – TWICE

More & More dendangan TWICE hampir-hampir tersenarai dalam kalangan 10 lagu popular di Malaysia untuk tahun ini. Berpandukan kepada tema alam semulajadi, TWICE cuba menghasilkan sesuatu yang berbeda dengan tarian rimba yang mengasyikkan. More & More merupakan ‘comeback’ pertama daripada TWICE pada tahun ini, sebelum ‘I Can’t Stop Me’ dan ‘Cry For Me’ yang menyusul kemudian.

*Extra*: Wannabe – ITZY

Kumpulan kpop yang disebut-sebut sebagai ‘killer rookie’ ini, semakin mendapat perhatian peminatnya di Malaysia. Berlainan dengan TWICE daripada agensi yang sama, ITZY lebih ‘garang’ dalam menonjolkan muzik mereka dengan lagu kali ini sangat memaparkan ciri-ciri keperibadian seorang wanita. ‘Wannabe’, single dikeluarkan menerusi album mini kedua ITZY, It’z Me ini berjaya berada di dalam carta RIM selama 7 minggu berturut-turut dengan kedudukan tertinggi dicapai pada no.1 di dalam minggu ke-2. Wannabe bukan saja digemari peminat Kpop pada pertengahan tahun 2020 lalu, tetapi juga disandarkan sebagai muzik selingan untuk tarian berentakkan moden.

*Extra*: Any Song – Zico

Zico, bukanlah sesiapa malah kumpulan kpop yang dianggotainya, Block B bukan sangat dikenali di serata Asia termasuklah Malaysia. Namun, lagunya berentak hip hop dengan gabungan irama reggae ini agak sesuai untuk dijadikan sebagai ‘cover’ nyanyian termasuklah cabaran TikTok beramai-ramai ketika penjarakan sosial mula diperketatkan di seluruh Malaysia bermula Mac lalu. Beberapa artis Malaysia iaitu Ara Johari, Wawa Zainal, dan Putri Aishah turut serta menyertainya menyebabkan lagu ini agak popular dan menjadi siulan dalam kalangan rakyat Malaysia. Jangka hayat lagu ini agak panjang di dalam carta RIM, kekal berada selama 8 minggu berturut-turut dengan kedudukan tertinggi dicapai pada posisi no. 4, sekaligus meletakkannya dalam senarai 5 lagu paling popular di Malaysia pada pertengahan tahun 2020 lalu.

10. Life Goes On – BTS

Mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimana pula dengan lagu ‘ON’ oleh BTS menerusi album Map of Soul 7? ‘ON’ hanya mampu mengekalkan keberadaannya di dalam carta RIM selama empat minggu saja walaupun lagu ini debut no.1 dalam minggu pertama. Berbanding dengan ‘ON’, Black Swan yang juga debut di tangga no.1, kekal berada di dalam carta selama 5 minggu berturut-turut sebelum terkeluar pada minggu keenam. Begitu juga dengan ‘Life Goes On’, yang sudah semestinya menjadi lagu dan single ke-2 daripada album BE yang dikeluarkan lewat pada November 2020 tapi mampu mengekalkan keberadaan di tangga no.1 untuk empat minggu berturut-turut sehingga carta RIM bertarikh 31 Disember 2020.

Berbanding ‘Black Swan’ yang lebih menangkap gegendang pendengar kerana sudut tarian akrobatik berseni dipaparkan, ‘Life Goes On’ lebih mengingatkan peminat ARMY terutamanya akan lagu balad melodramatik yang pernah dikeluarkan BTS pada suatu masa dulu iaitu ‘Spring Days, sebagai langkah penyembuhan buat mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Di samping itu, ‘Life Goes On’ juga diundi lagu paling digemari penggemar muzik kpop di Malaysia sepanjang bulan November 2020 lalu yakni sebanyak (26.7%), disusuli dengan Dynamite oleh BTS (22%) dan Lovesick Girls oleh Blackpink (18.4%).

9. Maria – Hwasa (MAMAMOO)

Satu-satunya single yang dinyanyikan tanpa berkumpulan, kehebatan Hwasa seharusnya tak perlu dipertikaikan lagi. Lagu ini debut pada tangga no.19 dan masih kekal dalam carta RIM selama sebelas minggu berturut-turut. Kedudukan yang tertinggi dicapai ialah no.8 pada minggu keenam.

Maria, mempunyai keunikannya tersendiri dengan ‘signature’ kreografi yang menarik perhatian penggemar muzik Kpop di Malaysia. Selain seringkali dijadikan sebagai cabaran TikTok, lagu ini turut mendekatkan lagi peminat di Malaysia dengan Hwasa dan juga Mamamoo. Atas sebab itu, beberapa lagu yang menampilkan Hwasa seperti ‘Dingga’ dan ‘Aya’ menerusi Mamamoo serta ‘Dont Touch Me’, gandingan bersama Jessi, Uhm Jung Hwa dan Lee Hyo Ri (Refund Sisters) turut terkena tempiasnya sekali.

‘Maria’ juga dijadikan sebagai ‘cover’ tarian oleh pelakon Moon Ga Young di dalam drama tvN True Beauty, melangsungkan lagi populariti lagu itu di Malaysia.

8. Pretty Savage – Blackpink

Lagu ‘Pretty Savage’ , single selingan kumpulan ini daripada album studio pertama Blackpink, ‘Blackpink The Album’ , antara single yang berjaya menempatkan Blackpink sebagai kumpulan kpop girl paling cepat menaik di Malaysia malah di dunia sekalipun pada tahun 2020. Lagu ini debut pada posisi no.2, sebelum turun sedikit ke no. 5 dan kekal selama tujuh minggu berturut-turut di dalam carta RIM.

7. Sour Candy – Lady Gaga ft Blackpink

Gambar dikreditkan kepada media Malaysia, Star Online.

Kolaborasi yang tak disangka-sangka antara Blackpink dan Lady Gaga telah memastikan kesinambungan populariti kumpulan kpop girl ini selepas single duet yang popular sebelum ini iaitu Kiss & Make Up bersama Dua Lipa dua tahun sebelum itu. Walaupun tidak pernah dikeluarkan sebagai single dan hanya dimuatkan daripada bahagian B album Chromatica oleh Lady Gaga, Sour Candy mampu debut pada posisi no.1 dan kekal dalam dalam carta RIM selama tujuh minggu berturut-turut.

Ramai peminat Blinks ternanti-nanti cenderahati terbaru dari Blackpink sejak ‘Kill This Love’ pada tahun 2019, maka ‘Sour Candy’ yang dikeluarkan sebulan sebelum single ‘How You Like That’ dijadikan pengubat duka dan kerinduan terhadap kumpulan itu.

6. Eight – IU ft. Suga

Keputusan IU untuk mengadakan konsert jelajah di Malaysia tampaknya membuahkan hasil dan memberikan kesan dari segi promosi lagu Eight nyanyiannya. Eight merupakan lagu berirama pop rock dengan saduran EDM yang memaparkan Suga BTS sebagai penyanyi rap di sebaliknya. Bercakap tentang lagu ini, IU berkata, “Saya tak begitu pasti samada ianya lahir daripada perasaan sendiri atau suasana sosial daripada kecelakaan yang dialami, umur 28 ini akan dikenang sebagai pemulihan daripada tubuh yang tak bermaya dan meraba-raba dalam mencari-cari ‘pulau jingga’ untuk merasai sendiri kebebasan berbanding kesedihan.”

Eight agak popular di Malaysia apabila masih lagi kekal berada di dalam carta RIM selepas sembilan minggu berturut-turut dengan ‘debut’ di posisi pertama sewaktu pertama kali diperdengarkan. Malah, pencapaiannya yang berada di dalam lingkungan top 10 selama enam minggu membuktikan populariti lagu tersebut dan membuatkan peminat Kpop di Malaysia lebih mengenali penyanyi solo itu yang telah lama melangkarkan namanya di Korea.

Lagu ini juga menduduki no.2 di dalam senarai 5 lagu paling popular di Malaysia pada pertengahan tahun 2020 lalu.

5. Psycho – Red Velvet

Sebagai pendukung lagu kpop tersohor pada pertengahan tahun 2020, Red Velvet mampu memintas penangan terhebat beberapa single keluaran BTS sebelum itu seperti ‘On’ dan ‘Black Swan’ dengan single ini saja. Psycho debut pada posisi no.4 sebelum melangkah naik ke posisi no.2 pada minggu ke-2. Tapi yang membuatkannya sangat menakjubkan apabila berada dalam top 10 carta RIM selama lebih 6 minggu berturut-turut, dan kekal berada di dalam carta RIM selama 9 minggu.

Psycho yang berentakkan balada dramatik ini, sememangnya berbeda daripada mana-mana gubahan lagu Kpop lain menyebabkannya kedengaran agak mesra dalam kalangan rakyat Malaysia. Paduan suara yang hebat dan penuh dinamik daripada Wendy dan Seulgi pada permulaan lagu juga akan menaikkan bulu roma setiap kali mendengar lagu ini, seolah-olah diri ini terasa dijampi dengan irama ‘psycho’ dan sentuhan gothic yang cuba diketengahkan oleh lima orang jelitawan – Yerin, Joy, Irene, Wendy dan Seulgi daripada kumpulan Red Velvet ini.

Malah, populariti lagu ini juga dibantu dengan cover tersulung daripada gandingan empat penyanyi Kpop – Lee Dae Hwi AB6IX, Sanha ASTRO, Bomin Golden Child dan Hyunjin Stray Kids menanamkan lagi keminatan penggemar muzik Kpop di Malaysia terhadapnya.

Kalau ‘Psycho’ pun sudah popular, maka apa yang perlu Red Velvet lakukan sekarang ialah melakukan persembahan buat kali kedua di Malaysia. Sudah pasti ribuan peminat Kpop akan berpusu-pusu untuk menikmati Psycho daripada tangan Red Velvet sendiri.

4. Lovesick Girls – Blackpink

Sebagai single ketiga daripada album studio sulung daripada Blackpink, ‘Lovesick Girls’ yang berentakkan tarian pop dan EDM ini mampu mendapat tempat di hati peminat-peminat mereka. Di Malaysia juga tak kurang hebatnya. ‘Lovesick Girls’ debut pada kedudukan no.1 dan kekal dalam posisi tersebut selama tiga minggu berturut-turut. Pada minggu ke-4, barulah single ini menurun ke tangga no.2 dan berada di dalam top 10 carta RIM selama lapan minggu. ‘Lovesick Girls’ kekal di dalam carta RIM selama sebelas minggu berturut-turut sehingga carta RIM bertarikh 31 Disember 2020.

Di samping dinobatkan antara lagu Kpop terbaik pada tahun 2020 oleh majalah TIME, muzik video lagu ini juga telah pun mencecah melebihi 300 juta tontonan di YouTube selain tersenarai di no.7 untuk lagu Kpop paling cepat meraih tontonan di Youtube dalam masa sehari.

3. Ice Cream – Blackpink ft. Selena Gomez

Jangan disangka-sangka lagu bergenre ‘cheesy’ seperti ‘Ice Cream’ tidak mampu menarik perhatian penggemar muzik Kpop di Malaysia. Gandingan ketiga Blackpink bersama penyanyi bertaraf Hollywood, Selena Gomez selepas Lady Gaga dan Dua Lipa tampaknya membuahkan hasil.

‘Ice Cream’ debut pada tangga no.2 dan kekal dalam posisi itu selama tiga minggu berturut-turut sebelum menurun ke tangga ke-3 pada minggu seterusnya dan kekal dalam carta RIM selama dua belas minggu berturut-turut. ‘Ice Cream’ hanya dihalang daripada menduduki posisi no.1 oleh lagu ‘Dynamite’ oleh BTS, tetapi pencapaian yang diperolehinya sudah cukup meletakkannya sebagai lagu Kpop ketiga paling popular sepanjang tahun 2020 di Malaysia.

Baca lagi: Hanya Blackpink & BTS saja, artis Kpop yang tersenarai di dalam 50 Lagu Terbaik Tahun 2020 oleh Rolling Stone

Di samping dinobatkan antara lagu terbaik pada tahun 2020 oleh majalah Rolling Stone, muzik video lagu ini juga telah pun mencecah melebihi 455 juta tontonan di YouTube selain tersenarai di no.3 untuk lagu Kpop paling cepat meraih tontonan di Youtube dalam masa sehari.

2. Dynamite – BTS

Single membuatkan kembalinya BTS di persada industri kpop ini bukan saja popular di Korea dan Amerika Syarikat, malah ia turut mendunia di Malaysia. Dynamite’ ialah sebuah lagu dengan gubahan sepenuhnya di dalam bahasa Inggeris dan merupakan lagu single ‘English’ kedua keluaran mereka tanpa bahasa rojak selepas ‘Waste It On Me’. Ia dicanang-canangkan sebagai lagu musim panas paling gemilang untuk tahun 2020 berentakkan ‘upbeat’ disco pop sebagai sokongan buat mereka yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Single pertama yang dipetik daripada album ‘BE’ ini, debut di kedudukan no.1 dan kekal dalam posisi sama selama enam minggu berturut-turut sejak dilancarkan pada 21 Ogos 2020. Kemudian, ia menurun sedikit ke posisi no. 3 pada minggu ke-7 dan naik semula di posisi no.2 pada minggu kelapan dan minggu keempat belas masing-masing disebabkan lagu ‘Lovesick Girls’ oleh Blackpink dan ‘Life Goes On’ yang berada di posisi pertama pada minggu tersebut. ‘Dynamite’ tidak langsung terkeluar daripada carta RIM dan masih kekal berada dalam top10 carta RIM selama 17 minggu berturut-turut sehingga carta RIM bertarikh 31 Disember 2020.

Biarpun diangkat lagu Kpop paling popular di seluruh dunia dengan tontonan terbanyak di Youtube dalam masa sehari, melangkarkan sejarah sebagai lagu Kpop pertama menjuarai carta Hot100 Billboard di samping tercalon di dalam anugerah Grammy ke-63 untuk kategori Grammy Award for Best Pop Performance by a Duo or Group with Vocals, Dynamite belum cukup menepis populariti lagu Kpop seterusnya itu untuk diangkat menjadi lagu siulan rakyat Malaysia sepanjang tahun 2020. Bagaimanapun, posisi no.4 yang dipegangnya ketika ini di dalam carta RIM bertarikh 31 Disember 2020 memberikan peluang besar untuk lagu itu berada di hadapan untuk pertengahan awal tahun 2021 depan.

Usah risau, buat Army, walaupun lagu-lagu keluaran BTS kurang menonjol di Malaysia berbanding Blackpink, BTS tetap mendominasi senarai idol-idol paling popular di Malaysia berdasarkan kajian ‘Kmania Top Stars’ dibuat pada November 2020 lalu.

1. How You Like That – Blackpink

Terkejut bukan? Siapa sangka kumpulan Blackpink mampu memintas penangan terhebat beberapa single keluaran BTS pada tahun 2020 ini dengan single ‘How You Like That’.

Persaingan BTS dengan Blackpink di Malaysia dapat disaksikan menerusi lagu-lagu yang dikeluarkan masing-masing bermula tahun 2018 iaitu dengan lagu ‘DDU-DU DDU-DU’ oleh Blackpink diangkat lagu Kpop paling popular di Malaysia pada tahun 2018 mengatasi ‘Fake Love’ oleh BTS, manakala BTS kemudiannya mengatasi ‘Kill This Love’ oleh Blackpink dengan lagu ‘Boy With Luv’ ft. Halsey pada tahun 2019. Kini, Blackpink sekali lagi menidakkan penguasaan BTS dengan ‘How You Like That’ pula berikutnya pada tahun 2020 di Malaysia.

‘How You Like That’ debut pada posisi no.1 dan kekal di dalam posisi itu selama 8 minggu sebelum menurun sedikit ke no.2 pada minggu ke-9. Tapi yang membuatkannya sangat menakjubkan apabila berada dalam top 5 carta RIM selama lebih 14 minggu berturut-turut, dan kekal berada dalam top 10 selama 19 minggu. ‘How You Like That’ tetap berada dalam top20 carta RIM lebih 21 minggu, dan hanya terkeluar sekejap daripada carta RIM pada minggu ke-22 dan masuk semula pada minggu ke-24 sehingga carta RIM bertarikh 31 Disember 2020.

Secara penjumlahannya, ‘How You Like That’ berada di dalam carta RIM selama 23 minggu. Bayangkan betapa lamanya lagu ini berada di dalam carta dan macammana ia mampu mengekalkan popularitinya di Malaysia selama hampir setengah tahun walaupun disaingi beberapa lagu-lagu Barat yang sepatutnya menonjol sejak sekian lama di Malaysia. Taraf ‘How You Like That’ di Malaysia ini bukan calang-calang hebat. Kalau tanya rakyat Malaysia tentang kpop secara rawak, pasti mereka ‘familiar’ dengan lagu ‘How You Like That’ ini berbanding Blackpink.

Tahniah Blackpink dinobatkan sebagai lagu paling popular dan menyengat di Malaysia sepanjang tahun 2020.

Sumber: RIM Malaysia

loading...