“Malaysia Dekat di Hati Saya” – Cheng Lei Teruja Bertemu Peminat di iQIYI STARSHIP 2026

Peminat Malaysia berpeluang bertemu dengan Duta Global Antarabangsa iQIYI, Cheng Lei (丞磊) menerusi kemunculan sulungnya di Malaysia dalam iQIYI STARSHIP 2026, yang berlangsung di Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur pada 13 September 2026.

Acara tersebut memberi peluang kepada Cheng Lei berinteraksi secara lebih dekat dengan peminat tempatan menerusi permainan interaktif dan pelbagai aktiviti di atas pentas, sebelum beliau meneruskan sesi bersama media Malaysia dan serantau.

Cheng Lei Dekati Peminat Malaysia

Acara pada petang itu dimulakan dengan kehadiran para peminat yang berkumpul bagi menyambut Cheng Lei, yang turut memperlihatkan sisi dirinya yang lebih santai dan mencuit hati, berbeza daripada watak-watak yang sering dibawakannya di layar.

Antara momen menarik ialah ketika Cheng Lei mempelajari beberapa ungkapan Bahasa Melayu dan menggunakannya ketika berinteraksi dengan peminat. Gelagatnya itu disambut dengan sorakan dan gelak tawa, sekali gus menceriakan suasana acara.

Cheng Lei turut meluahkan keterujaannya dapat bertemu dengan para peminat antarabangsa yang hadir, termasuk peminat di Malaysia. Beliau menyatakan bahawa Malaysia sentiasa dekat di hatinya dan mengakui dirinya sangat teruja dapat bertemu dengan para peminat secara langsung.

Suasana kemudiannya bertukar lebih menyentuh hati apabila Cheng Lei membaca mesej daripada para peminat dan menonton sebuah video khas yang dihasilkan oleh mereka. Momen tersebut mencipta satu hubungan yang cukup dekat, hangat dan bermakna antara Cheng Lei dan para peminat yang hadir.

Kemunculan Cheng Lei secara langsung di hadapan peminat turut mencuri perhatian menerusi visual dan auranya yang terserlah di atas pentas. Malah, segelintir peminat mula meluahkan harapan untuk melihat Cheng Lei menerusi lebih banyak drama berlatar masa moden, memandangkan kebanyakan karya popularnya sebelum ini banyak mengetengahkan latar zaman lampau.

Pada penghujung acara terbuka kepada umum itu, Yang Xianghua, Presiden iQIYI International, menyampaikan anugerah penghargaan kepada Cheng Lei sebagai tanda pengiktirafan atas peranannya sebagai Duta Global Antarabangsa iQIYI.

Dinesh Ratnam, Pengarah Urusan Kanan iQIYI Asia Tenggara, berkata:

“Membawa iQIYI STARSHIP ke Malaysia buat kali kedua pada tahun ini mencerminkan kekuatan pasaran Malaysia serta peningkatan minat dan penglibatan peminat tempatan terhadap hiburan dari China. Selepas kemunculan artis seperti Luo Zheng, Chen Zheyuan dan Esther Yu sebelum ini, kami amat berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran Cheng Lei dan mendekatkannya dengan peminat Malaysia. Menerusi promosi drama, acara bersama peminat dan pengalaman eksklusif, iQIYI STARSHIP membolehkan kami membawa pengalaman hiburan melangkaui skrin, di samping mengeratkan hubungan antara artis China dan penonton tempatan.”

Daripada Watak Popular kepada Pengiktirafan Antarabangsa yang Semakin Meningkat

Populariti Cheng Lei terus berkembang dalam kalangan penonton antarabangsa menerusi beberapa drama China yang mendapat sambutan luas.

Drama lakonannya, How Dare You!? (成何体统), kini menjadi antara drama China popular di iQIYI International. Wataknya sebagai Xiahou Dan, seorang “maharaja yang berpindah dunia” dengan sisi perwatakan yang penuh kontras, turut mendapat perhatian penonton.

Antara karya popular Cheng Lei yang lain termasuk Legend of the Female General (锦月如歌) dan Shadow Love (与晋长安). Para peminat juga kini menantikan kemunculan drama terbaharunya, Leading Stars (许你星河千里).

Cheng Lei berkata:

“Ini merupakan kali pertama saya menyertai iQIYI STARSHIP di Malaysia dan saya sangat gembira dapat bertemu dengan semua peminat di sini. Sambutan yang diberikan sangat luar biasa dan melihat sendiri keterujaan semua orang menjadikan kunjungan kali ini lebih bermakna dan sukar dilupakan. Saya amat menghargai segala sokongan yang diberikan dan berharap dapat kembali ke Malaysia pada masa akan datang.”

Meneruskan Interaksi Bersama Media Malaysia dan Serantau

Selepas acara terbuka kepada umum, Cheng Lei turut meluangkan masa bersama media Malaysia dan serantau menerusi satu sesi sidang media khas.

Dalam sesi tersebut, dua soalan daripada KMania turut terpilih secara rawak untuk dijawab oleh Cheng Lei, memberikan peluang kepada KMania untuk mendapatkan pandangan beliau mengenai perjalanan sebagai Duta Global iQIYI serta cabaran yang ingin diterokainya dalam projek akan datang.

Harapan Cheng Lei Sebagai Duta Global iQIYI

Soalan KMania:
Sebagai Duta Global iQIYI, apakah yang anda harapkan dapat diterokai atau difahami oleh peminat antarabangsa mengenai diri anda?

Cheng Lei:

“Sebagai Duta Global, harapan utama saya adalah untuk memberikan apa sahaja yang diinginkan dan diimpikan oleh para peminat. Saya tidak membataskan diri dengan satu-satu watak khusus, sebaliknya saya sentiasa terbuka untuk menerima apa jua peranan yang mahu dilihat oleh peminat. Melalui setiap karya baharu, saya berharap mereka dapat mengenali kesungguhan dan fleksibiliti saya sebagai seorang pelakon.”

Terbuka Meneroka Pelbagai Watak

Soalan KMania:
Apakah satu perkara baharu yang ingin anda jadikan cabaran buat diri anda dalam projek yang seterusnya?

Cheng Lei:

“Saya sentiasa bersikap terbuka untuk meneroka kepelbagaian watak tanpa sebarang had. Bagi saya, setiap watak itu mempunyai ‘nyawa’ dan kisah hidupnya yang tersendiri. Oleh itu, saya sedia meletakkan jiwa dan mendalami apa jua peranan yang diamanahkan untuk memberikan persembahan yang terbaik.”

Jawapan tersebut turut memperlihatkan keterbukaan Cheng Lei untuk mencabar dirinya menerusi watak-watak yang berbeza, tanpa mengehadkan dirinya kepada satu-satu genre atau latar cerita.

Tonton video Cheng Lei menjawab soalan KMania di bawah:

 

View this post on Instagram

 

A post shared by KMania (@kmania.my)

Cheng Lei, Malaysia dan Kenangan Bersama Peminat

Kunjungan sulung Cheng Lei ke Malaysia menerusi iQIYI STARSHIP 2026 pastinya menjadi kenangan istimewa buat para peminat tempatan.

Daripada interaksi santai di atas pentas, usaha beliau menggunakan Bahasa Melayu sehinggalah momen bersama peminat dan media, kemunculan Cheng Lei di Malaysia memperlihatkan sambutan yang diterima daripada peminat tempatan serta hubungan yang semakin dekat antara bintang hiburan China dan penonton Malaysia.

Lebih istimewa, Cheng Lei turut menyatakan bahawa Malaysia dekat di hatinya serta keterujaannya untuk bertemu dengan peminat antarabangsa secara langsung.

Semoga Cheng Lei terus mencipta lebih banyak karya yang menghiburkan, berani meneroka watak-watak baharu dan dapat kembali bertemu peminat di Malaysia pada masa akan datang. Dalam masa yang sama, semoga iQIYI terus membawa lebih ramai bintang dan karya dari China untuk mendekati peminat Malaysia menerusi acara-acara akan datang.

Jangan lupa untuk Follow dan Like KMania di Facebook, Twitter, Instagram , TikTok , Threads dan Youtube untuk tonton lebih banyak lagi video iQIYI International Global Ambassador 2026 – Cheng Lei dan untuk mendapatkan lebih banyak perkembangan terkini tentang dunia hiburan Korea.