Bintang global Jackson Wang telah menandatangani perjanjian pengurusan bersama Roc Nation, syarikat hiburan yang diasaskan oleh JAY-Z. Single terbaharunya, “Thank You,” yang dilancarkan hari ini, menjadi karya pertama Jackson sebagai artis di bawah Roc Nation.
Video muzik rasmi yang diarahkan oleh Ojun Kwon pula dirakam menggunakan iPhone 18 Pro dan menampilkan peminat Jackson Wang dari seluruh dunia.
“Kami teruja untuk mengalu-alukan Jackson Wang menyertai keluarga Roc Nation,” kata pengasas Roc Nation, JAY-Z. “Dia merupakan seorang artis yang luar biasa dengan semangat dan dorongan yang istimewa, dan kami tidak sabar untuk melihat apa yang bakal dilakukannya selepas ini.”
Kerjasama ini menghimpunkan salah satu nama paling dikenali dalam muzik global bersama seorang artis yang telah membina kelompok peminatnya di Timur dan Barat sepanjang sedekad lalu.
Jackson Wang mencipta sejarah sebagai artis solo China pertama yang berjaya memasuki carta Billboard 200 menerusi album MIRRORS, selain menjadi artis solo China pertama yang menjadi peneraju pentas utama Coachella, sebelum kembali membuat persembahan di festival tersebut untuk tiga tahun berturut-turut.
Dirakam dalam format hitam putih, video muzik “Thank You” menampilkan Jackson dalam sisi yang lebih sederhana ketika mengimbas pelbagai fasa kehidupannya sambil menyampaikan penghargaan kepada para peminat serta mereka yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya.

Bagi Jackson, berkongsi lagu ini bersama para penyokong terbesarnya merupakan satu bentuk penghargaan terhadap setiap fasa dalam perjalanan kariernya sehingga ke detik ini. “Thank You” menutup satu bab dalam perjalanan muziknya, namun pada masa yang sama membuka ruang untuk lebih banyak muzik dan karya kreatif baharu.
Jackson turut mengajak peminat dari seluruh dunia untuk menjadi sebahagian daripada projek tersebut. Permohonan diterima dari lebih 80 negara, sebelum 30 individu dari China, Amerika Syarikat, Australia, Mexico, United Kingdom dan beberapa negara lain dipilih untuk menyertai penggambaran.
Setiap watak, pakaian dan bulatan yang dipaparkan dalam video muzik tersebut mewakili individu, kenangan atau fasa penting yang membentuk Jackson menjadi dirinya hari ini.
Daripada pengalaman awalnya dalam gimnastik dan lawan pedang, kenangan bersama rakan-rakan sejak zaman kanak-kanak, sehinggalah perjalanan luar biasanya dalam dunia muzik dan kini menyertai Roc Nation, Jackson menghargai setiap detik yang membentuk perjalanan hidup dan kariernya.


