BIGBANG Mulakan Jelajah Dunia Sempena Ulang Tahun Ke-20, Tiket Kuala Lumpur Habis Dalam 25 Minit 31 Saat

KUALA LUMPUR – Kumpulan K-pop legenda BIGBANG kembali menggegarkan pentas global menerusi jelajah terbaharu mereka, BIGBANG 2026-2027 WORLD TOUR < XX : COSMOS >.

Sejak pengumuman jelajah tersebut, BIGBANG terus mencetuskan fenomena di seluruh dunia. Jualan tiket untuk persembahan di Kuala Lumpur turut menyaksikan sambutan luar biasa apabila kesemua tiket habis terjual hanya 25 minit dan 31 saat selepas jualan umum dibuka, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan BIGBANG sebagai antara kumpulan ikonik K-pop.

Sempena ulang tahun ke-20 mereka pada 2026, BIGBANG memulakan jelajah dunia yang cukup bermakna ini selepas melancarkan single kemunculan semula, BiiiG, pada 19 Ogos lalu.

Persembahan pembukaan jelajah di Goyang, Korea Selatan turut menyaksikan kehadiran ribuan V.I.P., nama rasmi fandom BIGBANG, dari seluruh dunia. Sambutan tersebut sekali gus meningkatkan keterujaan peminat terhadap siri persembahan yang bakal dibawakan BIGBANG di pelbagai negara.

Selepas 11 tahun, BIGBANG akhirnya akan kembali ke Malaysia dengan pengalaman audio visual serba baharu menerusi BIGBANG 2026-2027 WORLD TOUR < XX : COSMOS > IN KUALA LUMPUR.

Konsert tersebut akan berlangsung pada 9 Januari 2027 (Sabtu) di TM Stadium Nasional, menandakan penantian panjang peminat Malaysia untuk menyaksikan BIGBANG kembali beraksi di pentas tempatan.

Menurut penganjur konsert iMe Malaysia, jualan pra-tiket bagi ahli BIGBANG V.I.P. Membership yang dibuka pada 17 September telah habis terjual dalam tempoh hanya 90 minit.

Sementara itu, jualan umum pada 22 September menyaksikan permintaan yang amat tinggi apabila kesemua tiket habis terjual dalam masa 25 minit dan 31 saat.

Sambutan tersebut sekali lagi memperlihatkan keterujaan luar biasa peminat terhadap kepulangan BIGBANG ke Kuala Lumpur selepas lebih sedekad.

Susulan banyak permintaan daripada V.I.P. yang tidak berjaya mendapatkan tiket, khususnya mengenai kemungkinan untuk mengadakan persembahan kedua, iMe Malaysia menzahirkan penghargaan atas sokongan dan sambutan luar biasa yang diberikan peminat.

Penganjur turut memaklumkan bahawa perancangan berkaitan persembahan tambahan kini sedang dibincangkan dan disediakan dengan teliti.

Peminat dinasihatkan untuk terus mengikuti media sosial rasmi iMe Malaysia bagi mendapatkan perkembangan terkini dan pengumuman selanjutnya.