Pihak produksi drama “Where Your Eyes Linger” sudah pun memutuskan untuk menghasilkan drama ‘yaoi’ kedua mereka pada tahun ini.
Diberikan judul sebagai ‘To My Star’, drama ini bakal mendapat arahan daripada PD yang sama, Hwang Da Seul, yang pernah mempopularkan siri “Where Your Eyes Linger”, hasil gandingan mantap daripada Han Gi Chan dan Jang Eui Su.
‘To My Star’ berkisarkan tentang percintaan antara tukang masak dengan pelakon terkenal. Son Woo Hyun akan membawakan watak pelakon terkenal bernama Kang Seo Joon yang tidak pernah mengalami karier merundum sejak ‘debut’ manakala Kim Kang Min pula akan memegang watak sebagai tukang masak kacak bernama Han Ji Woo yang berjaya menambat hati Kang Seo Joon sehingga terjatuh cinta kepadanya.
Son Woo Hyun pernah berlakon di dalam drama tvN Tale of the Nine Tailed, KBS Nokdu Flower dan tvN Live manakala Kim Kang Min pula dikenali menerusi drama SBS Stove League dan tvN Record of Youth sebelum ini. Mereka pernah membintangi drama tvN Tale of the Nine Tailed bersama-sama walaupun Son Woo Hyun hanya muncul sebagai ‘cameo’ sekejap di dalam episod 2 dan 9 drama tersebut.
Pihak produksi dipetik berkata, “Genre ‘boys love/yaoi’ yang tak pernah dipertontonkan sebelum ini akhirnya bakal dihasilkan.” ‘To My Star’ menjadi drama Korea bergenre yaoi keempat bakal dihasilkan selepas ‘Where Your Eyes Linger’, ‘Mr. Heart’ dan ‘‘Color Rush’.
Sumber: OSEN