Lee Hong bin mengambil keputusan untuk meninggalkan VIXX serta-merta setelah tidak boleh lagi berunding dengan pihak agensinya, Jellyfish Entertainment untuk membenarkannya semula bergiat aktif sebagai penstrim ‘Twitch’.
Pengesahan pengunduran Hongbin dari VIXX itu dibuat oleh Jellyfish Entertainment dalam satu pengumuman dibuat sebentar tadi. “Hongbin mahu meninggalkan VIXX dan setelah ahli-ahli saling berbincang sesama mereka, kami akur dengan permintaan Hongbin tersebut. Mulai hari ini, VIXX akan dipromosikan sebagai lima orang ahli,” kata jurucakap agensi itu.
Baru-baru ini, Hongbin telah melanggar embargo dikenakan oleh agensinya dengan mengaktifkan dirinya bermain ‘Twitch’ semula, barangkali untuk menjadi penstrim sepenuh masa (macam Youtuber). “Sewaktu aku direhatkan daripada siaran langsung, macam-macam berlaku. Aku cuba untuk menyesuaikan diri. Aku tak tahu apa yang ada dalam pengkalan (merujuk kepada games), tetapi aku harap dapat menghiburkan orang ramai dengan gelak tawa macam dulu. Aku tahu aku tak professional dan kadang-kadang terkebil-kebil, tapi aku akan buat yang terbaik untuk semua. Maaf kerana buat korang tunggu sejak sekian lama,” katanya.
Sebelum ini, Hongbin ditegah oleh agensinya untuk bermain ‘Twitch’ selepas dikecam netizen kerana cuba merendah-rendahkan lagu nyanyian SHINEE dan INFINITE. Nasihat daripada agensinya serta rakan-rakan sekumpulan kemudiannya mendorongnya untuk berhenti bermain ‘Twitch’ buat seketika.
Sumber: xsportnews