Luna f(x) membuat kemunculan semula di hadapan media buat pertama kali di dalam rancangan tv MBC “Human Documentary People Is Good” sejak pemergian bekas rakan sekumpulannya, Sulli. Luna telah meninggalkan SM Entertainment setelah kontraknya bersama agensi itu berakhir pada tahun 2019.
Apabila dibawa berkunjung ke apartment di mana Luna dan kembarnya, Park Jinyoung tinggal bersama, Luna menceritakan serba sedikit tentang hubungan rapatnya dengan Sulli yang menyebabkannya kini sentiasa terasa kemurungan .
Luna memperkenalkan anjing yang ditatangnya sambil berkata, “Ketika kami tinggal bersama, Sulli berasa dirinya keseorangan. Saya suruh Sulli dapatkan anak anjing. Dia pun bawakan satu dan inilah anjing itu.”
Luna seakan-akan dapat mengagak hari terakhir dia menerima panggilan daripada Sulli menunjukkan ada sesuatu yang tak kena. “Unni, Saya nak jumpa,” kata mendiang Sulli dalam satu mesej dikirimkannya kepada Luna beberapa hari sebelum Sulli meninggal dunia. “Saya terkilan tidak menjadi unni yang baik buatnya. Saya patut mendekatinya dan menjadi pendengarnya. Saya patut bagitahu dia bahawa saya betul-betul sayang kepadanya,” kata Luna dengan nada sebak.
Dalam masa yang sama, ditambah dengan kehilangan sahabat baik merangkap jiran yang tinggal berdekatan dengan rumahnya menyebabkan Luna seolah-olah telah hilang tempat berpaut. Kesannya, Luna mengalami kemurungan dan selalu berhadapan dengan serangan panik. Walaubagaimanapun, mengenangkan tanggungjawab sebagai anak, Luna mahu jadi lebih positif di masa hadapan.
“Mak, ayah. Kalau saya sakit lagi, saya tetap akan harunginya juga,” katanya mengakhiri temubual bersama MBC.
Sumber: TV Report