[Update] 17 drama Korea terbaru untuk korang tonton sampai lebam sepanjang Julai ini!

Annyeong Yorobun, Chinguyaa,

Pejam celik, pejam celik dah bulan Julai! Cepatnya masa berlalu kan. Berapa banyak dah drama Korea korang tonton tahun ni? As usual, ini dia list drama terbaru untuk bulan Julai. Ada 17 buah drama yang semuanya hebat-hebat. Sanggup ke nak tengok semua?

Kalau dah minat, of course you will  find the time to watch, right. So, here are your choices:

1. Designated Survivor: 60 Days (tvN) 

tvN “Designated Survivor” adalah sebuah karya adaptasi daripada drama popular terbitan ABC dengan judul yang sama sebagai bekas setiausaha yang mempunyai personaliti yang jujur.

Ji Jin Hee dan Kang Hanna masing-masing memegang watak utama sebagai ‘Tom Kirkman’ dan  ‘Alex Kirman’ versi Korea atau setiausaha politik beliau. Park Moo Jin, yang diolahkan daripada watak siri asal ‘Tom Kirkman’ ialah seorang bekas professor Kimia yang dilantik memegang tampuk Kementerian Alam Sekitar. Beliau tak mempunyai sebarang angan-angan untuk menjadi ahli politik, malah untuk menjadi pemimpin sebuah parti politik sekalipun. Namun, kejadian tak terduga berlaku apabila suatu letupan telah mengakibatkan ramai mati  termasuklah presiden yang sedang menyampaikan ucapannya pada masa itu. Hanya Park Woo Jin yang terselamat dan beliau didesak untuk memangku jawatan presiden buat sementara selama 60 hari mengikut perlembagaan negara.  Dalam masa yang sama, beliau juga perlu menyiasat punca dan mencari dalang tersebut sehingga ke lubang cacing.

Tonton drama “Designated Survivor: 60 Days”  versi Korea mulai 1 Julai ini yang akan bersiaran menerusi rangkaian tvN.

2. Love Affairs in the Afternoon (Channel A) 

“Love Affairs in the Afternoon” berkisarkan tentang kehidupan rumah tangga yang terumbang-ambing kerana kecurangan dihalalkan. Dalam siri yang asal, watak Rikako Takikawa lakonan Michiko Kichise menduakan suaminya dan dia telah mengenakan surirumah kenalannya, Sawa Sasamoto lakonan Aya Ueto bersedudukan dengan lelaki lain. Park Ha Sun akan membawakan watak adaptasi kepada Sawa Sasamoto tersebut, yakni So Ji Eun.

Son Ji Eun ialah seorang yang penuh dengan sifat ikhlas dan tinggal di kawasan perkampungan dengan suaminya merupakan seorang pekerja kerajaan. Dia kadang-kadang bekerja separa masa di pasaraya kecil. Pada suatu hari, dia telah dikenakan oleh seseorang sehingga bersedudukan dengan lelaki yang bukan suaminya, Yun Jung Woo lakonan Lee Sang Yeob.

Yun Jung Woo pula merupakan cikgu biologi sementara yang ditempatkan sekolah kecil di perkampungan itu. Seseorang yang sangat baik dan menyukai binatang, tetapi akhirnya telah bersedudukan dengan isteri orang.

“Love Affairs in the Afternoon” versi Jepun sebelum ini dipuji atas naratif yang provokatif serta visual yang mengagumkan. Ia akan memfokuskan isu kecurangan sebagai cinta yang tak dapat dielakkan. Saksikan “Love Affairs in the Afternoon” versi Korea mulai 5 Julai ini menerusi Channel A.

3. Watcher (OCN) 

OCN ‘Watcher’ memaparkan kisah tentang tiga orang lelaki dan seseorang perempuan yang berhubungan baik telah berpatah arang disebabkan sesuatu tragedi mengayat hati berlaku pada masa lalu. Tragedi itu melibatkan seorang anak muda yang menyaksikan lelaki berpangkat tinggi samada peguam atau polis yang membunuh ibunya pada tahun lima belas tahun lalu dan seorang bekas pendakwaraya yang menjadi pelatih polis.  Namun, takdir menemukan mereka semula sebagai pasukan penyiasat polis tentang korupsi. Han Suk Kyu akan memegang watak utama yang menjadi ketua kumpulan penyiasat tersebut.

Manakala Seo Kang Joon akan pula sebagai Kim Young Gun, seorang pegawai polis trafik. Disebabkan trauma dialaminya sejak kecil, Kim Young Gun akan cuba menangkap penjenayah tanpa ragu-ragu.

Drama ini bakal mendapat Ahn Gil Ho sebagai sutradaranya dengan berbekalkan penulis skrip tvN Good Wife, Han Sang Woon. Ahn Gil Ho merupakan pengarah drama yang penuh profilik dengan adegan suspens seperti ditonjolkannya di dalam tvN Stranger dan tvN Memories of Alhambra. “Watcher” akan menemui para penonton mulai 6 Julai dirangkaian OCN.

4. Level Up (MBN) 

‘Level Up’ adalah sebuah drama tentang penghidupan semula aplikasi permainan digital.

Sung Hoon akan melakonkan watak Ahn Dan Te, pengarah muda Yoo Seong CRC dipertanggungjawab untuk menghidupkan kembali syarikat permainan digital yang hampir bankrup. Ahn Dan Te seorang yang tak berperasaan dan memiliki ekspresi dingin yang kadang-kadang menakutkan pekerja syarikat.

Baro B1A4 pula menjadi pereka ‘games’ bernama Kwak Han Cheol yang bertungkus-lumus menyiapkan projeknya untuk menyelamatkan sebuah syarikat daripada muflis sepenuhnya. Beliau akan bergandingan dengan Han Bo Reum sebagai Shin Yeon Hwa yang menjadi pekerja syarikat dalam kumpulan yang sama dengan Ahn Dan Te. Shin Yeon Hwa yang merupakan pereka asal ‘game’ keluaran Joy Buster sebelum ini seringkali bergaduh dengan Ahn Dan Te kerana tak berjaya memuaskan hatinya bagi menerima permainan digital yang direkanya.

Jalan cerita drama ini mungkin sedikit sebanyak mengingatkan pada drama MBC Lucky Romance. Jika korang nak tahu drama ini sama atau tidak dengan “Lucky Romance” pastikan korang tonton “Level Up” mulai 11 Julai ini menerusi K-Plus, setiap Khamis dan Jumaat, jam 8 malam .

5. Hotel Del Luna (tvN) 

tvN ‘Hotel del Luna’ berkisarkan drama fantasi yang bertumpukan pada sebuah hotel yang didiami pelbagai makhlus halus. Hotel ini tampak usang kerana ia menjadi tempat persinggahan roh-roh yang tak tahu hendak ke mana. Di dalamnya juga, terdapat seorang anak dara persis puteri ‘bunian’ disebut-sebut bahawa kecantikannya ibarat cahaya bulan yang menyinari malam yang sepi. Kebanyakan orang-orang tua yang tinggal di kampung berdekatan akan singgah sekejap di hotel usang berkenaan bagi melihat kecantikan puteri bunian itu dan memohon hajat untuk perkara-perkara tertentu.

Yeo Jin Goo membawakan watak sebagai pengurus hotel berhantu ‘Hotel del Luna’ bernama Jejin di mana pelbagai makhluk halus mendiaminya termasuklah ‘puteri bunian’  Jang Man Wol lakonan Lee Ji Eun (IU). Jejin memiliki tabiat disifatkan sebagai kecelaruan obsesif-kompulsif (“obsessive-compulsive disorder (OCD)”) tapi telah ditugaskan untuk menjadi pembantu pengurus termuda ‘Hotel del Luna’ bagi memacu aktiviti pelancongan ke atas hotel tersebut. Manakala, Jang Man Wol pula seolah-olah sebagai puteri bunian’ tersebut yang dikatakan terpaksa dikurung di dalam hotel itu untuk seribu tahun kerana terkena sumpahan ‘del Luna’. Identiti asalnya ialah seorang wanita tua agak jahat di masa lalu .Mungkinkah Jang Man Wol disumpah untuk mengubah dirinya menjadi sosok yang baik belaka?

Saksikan drama “Hotel Del Luna” yang mula bersiaran pada 13 Julai, setiap Sabtu dan Ahad, jam 9.00 malam (KST) menerusi rangkaian tvN.

6. Justice (KBS) 

Drama bertemakan guaman serta social thriller ini adalah sebuah karya yang diadaptasikan daripada novel web dengan tajuk yang sama  hasil karangan Jang Ho. ‘Justice’ mengutarakan kisah kekejaman golongan elit/bangsawan yang akan melakukan apa sahaja untuk menutupi segala kelemahan mereka. Golongan ini juga dikenali sebagai VVIP Korea.

Drama ini berkisarkan tentang seorang peguam hebat bernama Lee Tae Kyung (lakonan Choi Jin Hyuk) yang mempunyai statistik kemenangan tinggi di mahkamah kerana mempunyai kemahiran orator yang hebat selain ingatan menakjubkan. Lee Tae Hyuk menggunakan kelebihannya itu untuk mendapatkan golongan bangsawan sebagai kliennya. Antaranya klien utamanya ialah Song Woo Yong (Son Hyun Joo), seorang pemilik syarikat pembinaan terkemuka. Asalnya, Lee Tae Kyung hanya mahu mencari keadilan buat adik perempuannya tetapi wang ringgit dan pangkat seakan-akan telah mengaburi dirinya selama ini.

Namun, apabila terjadinya satu kes melibatkan sebilangan pelakon yang hilang tiba-tiba, Lee Tae Kyung tak lagi berdiam diri dan dia akhirnya mengesyaki bahawa Song Woo Yong terbabit dalam kes kehilangan tersebut.  Lee Tae Kyung bekerjasama dengan Detektif Seo Yeon Ah (Nana) yang bekerja di Jabatan Polis Seoul Central District.

Apa yang akan terjadi di antara mereka bertiga dan apakah punca sebenar kehilangan pelakon-pelakon tersebut? Mampukah golongan VVIP menyelamatkan diri masing-masing? Saksikan drama ini selanjutnya. “Justice” akan mula bersiaran dirangkaian KBS World TV Ch 391 dan Ch 392 HD pada 18 Julai ini, jam 9 malam.

7. Rookie Historian Goo Hae Ryung (MBC) 

“Rookie Historian Goo Hae Ryung” yang bertemakan saeguk ini membuka tirainya dengan ” Apa yang akan terjadi jika penulis sejarah istana di zaman Joseon adalah seorang wanita?”. Drama ini akan berlatarbelakangkan abad ke-19 Dinasti Joseon.

“Rookie Historian Goo Hae Ryung” akan menceritakan kisah cinta Goo Hae Ryung, seorang sejarawan istana pertama yang berjaya menempuhi iku-liku hidup di istana di mana kepercayaan Confius berbentuk patriaki masih menebal dan Lee Rim, seorang putera raja yang kesepian dan kini berada dibarisan kedua untuk menaiki tahkta.

Shin Se Kyung membawakan watak sebagai Goo Hae Ryung yang berprinsip bahawa semua manusia berhak menerima hak sama rata baik lelaki ataupun perempuan. Di istana ini juga, beliau bertemu dengan putera kacak Lee Rim (lakonan Cha Eun Woo) yang juga menggunakan nama samaran sebagai novelis cinta. Sejak bertemu Goo Hae Ryung, kehidupan Lee Rim semakin ceria.

Namun, bagaimana hubungan mereka ini akan berlansung dan dapatkah Goo Hae Ryung membuktikan dirinya sebagai sejarawan wanita pertama yang diakui dek sebelum ini ianya dimonopoli oleh golongan lelaki? Saksikan selanjutnya drama “Rookie Historian Goo Hae Ryung” yang akan menghiasi kaca tv anda mulai 17 Julai ini menerusi rangkaian MBC, setiap Rabu dan Khamis jam 9.00 malam (KST).

8. Doctor Detective (SBS) 

“Doctor Detective” merupakan drama terbaru SBS yang bertemakan penyiasatan perubatan. Drama ini akan mengupas sisi gelap sesetangah orang yang sanggup melakukan apa sahaja sehingga menyebabkan ada dikalangan orang awam berdepan dengan kesakitan. Doctor Detective ini pula akan mendedahkan kebenaran mengenai mereka yang boleh dikategorikan sebagai pentingkan diri hingga menyebabkan yang lain menderita dan mengapa perkara seumpama itu tidak dihebahkan kepada media.

Lee Ki Woo akan membawakan watak seorang chaebol bernama Choi Tae Young. Beliau merupakan pewaris TC Group, namun tidak berminat untuk mengambilalih syarikat tersebut. Choi Tae Young telah bercerai dengan Do Jung Eun akibat hubungan sulit namun masih mencuba untuk memenangi hati isterinya kembali.

Park Jin Hee yang membawakan watak Do Jung Eun merupakan seorang doktor kesihatan untuk perindustrian. Bagaimanapun, Do Jung Eun sentiasa berdepan dengan kemalangan serta penyakit yang menyerang para pekerja yang tiada kesudahannya. Beliau bersama doktor Heo Min Ki akan bekerjasama dalam menyelesaikan kes-kes tersebut.

Heo Min Ki dilakonkan oleh Bong Tae Gyu yang gemar bergaya dengan barangan berjenama. Beliau berharap untuk membalas dendam atas kematian ayahnya secara misteri 15 tahun dahulu. Dapatkah Choi Tae Young menawan isterinya kembali dan berjayakah Do Jun Eun serta Heo Min Ki dedahkan apa yang terjadi disebalik masalah yang berlaku?

Saksikan drama “Doctor Detective” selanjutnya mulai 18 Julai ini, pada setiap Khamis dan Jumaat, jam 8.15 malam menerusi ONEHD    Ch 393.

9. Class of Lies (OCN) 

“Class of Lies” atau “Mr. Temporary” menceritakan tentang pelajar di sekolah tinggi elityang melakukan jenayah serius dan seorang peguam yang menyamar sebagai cikgu sementara untuk menyiasat jenayah yang berlaku.

Yoon Kyun Sang akan memainkan peranan Gi Moo Hyuk, seorang peguam yang menyamar sebagai guru sementara di sebuah sekolah elit yang terlibat dalam kes jenayah. Gi Moo Hyuk adalah seorang materialistik dan hanya mementingkan wang ringgit, tetapi disebabkan oleh satu insiden, beliau kehilangan segala-galanya. Ini memaksa beliau menyamar  untuk mendedahkan kebenaran dan memperbaiki reputasinya semula.

Geum Sae Rok sebagai Ha So Yeon, seorang guru pendidikan jasmani yang penuh bersemangat dan meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap pelajarnya. Jun pula akan memainkan peranan Yoo Beom Jin, seorang pelajar terbaik di sekolah dan nampak ‘perfect’ dalam segala aspek.  Choi Yoo Hwa akan memegang watak seorang pendakwaraya Cha Hyun Jung, pesaing hebat Gi Moo Hyuk sejak zaman belajar lagi.

Mampukah Gi Moo Hyuk membanteras dan kenalpasti penjenayah sebenar? Apakah Ha So Yeon akan turut membantu? Saksikan selanjutnya “Class of Lies” mulai 17 Julai ini dirangkaian tv OCN.

10. Doctor John / Doctor Room (SBS) 

“Doctor John” atau ‘Doctor Room’ adalah drama bertemakan perubatan yang mengisahkan norma kehidupan serta kesakitan yang dialami pesakit dan doktor. Ia juga akan mengupas kisah tentang seorang doktor genius, yang merupakan pakar bius (anestesiologi) dan menjadi professor termuda.

Jisung bakal memegang watak sebagai pakar bius Cha Yo Han, professor termuda yang berlagak tapi seorang yang genius. Lee Se Young pula akan membawa watak doktor bius Kang Si Young di bawah jagaan Cha Yo Han. Beliau akan membantu Cha Yo Han mengenalpasti masalah yang dihadapi pengunjung hospital termasuklah yang menghidapi penyakit kronik yang misteri. Lee Kyu Yung akan melakonkan watak pendakwaraya Son Seok Ki yang menjadikan keadilan sebagai teras impiannya, maka apa-apa saja yang melanggar undang-undang, beliau akan ke hadapan untuk menangkisnya.

Jika anda meminati drama perubatan dan ingin tonton kembali lakonan Ji Sung sebagai doktor selepas 11 tahun, jangan lupa saksikan “Doctor John”. Drama ini bakal bersiaran mulai 19 Julai, setiap Jumaat dan Sabtu dirangkaian SBS. “Doctor John” akan menggantikan slot drama “Nokdu Flower” di ONE TV Asia Ch 393 setiap Sabtu dan Ahad jam 6.10 petang mulai 20 Julai ini.

11. Golden Garden (MBC) 

“Golden Garden” adalah sebuah drama bertemakan misteri-romantis. Ia menceritakan kisah empat orang yang mempunyai kehidupan sendiri yang berbeza namun saling berkait selepas berhadapan dengan sebuah insiden. Drama ini menyatukan kembali Lee Sang Woo dan Han Ji Hye yang sebelum ini bergandingan dalam drama hit “Marry Me Now”.

Eun Dong-Joo (Han Ji-Hye) ditinggalkan di sebuah rumah anak yatim pada usia enam tahun. Beliau tidak ingat apa-apa selain daripada namanya dan akhirnya membesar sebagai seorang wanita ceria setelah berdepan dengan pelbagai cabaran serta perit jerih kehidupan.

Cha Pil-Seung (Lee Sang-Woo) adalah seorang detektif yang hebat namun personalitinya agak dingin bila dikaitkan dengan cinta.  Ibu bapanya meninggal ketika beliau masih muda dan kemudian dibesarkan oleh neneknya yang kaya. Walaupun terkenal dikalangan wanita, Cha Pil Seung tidak jatuh cinta kepada sesiapa kerana trauma dari kematian ibu bapanya.

Oh Ji Eun akan memainkan peranan Sa Bi Na, selebriti media sosial yang bercita-cita tinggi yang cuba merampas kehidupan Eun Dong Joo. Choi Joon Gi (lee Tae Sung), seorang lelaki yang memiliki segala-galanya kecuali cinta.  Apabila Choi Joon Gi  jatuh cinta dengan Sa Bi Na yang bercita-cita tinggi, hidupnya mula menjadi huru-hara.

Golden Garden” boleh ditonton menerusi rangkaian OhK TV Asia Ch 394 bermula 21 Julai, jam 7.20 malam bagi mengisi slot drama hujung minggu korang.

12. Moment at Eighteen  (JTBC) 

Moment of Eighteen merupakan sebuah drama ringan yang bertemakan kisah hidup remaja dan persahabatan. Drama ini akan mengisahkan tentang 3 orang remaja dari berbagai latar belakang yang bakal merakamkan pelbagai kenangan bersama di usia 18 tahun. Mereka juga akan memperlihatkan bagaimana remaja diusia itu berusaha mencari kebahagiaan dan mengeratkan hubungan persahabatan mereka. Drama ini akan ditunjangi oleh Ong Seung Wu, Kim Hyang Gi dan Shin Seung Ho.

Ong Seong Wu membawakan watak sebagai Choi Joon Woo, pemuda berumur 18 tahun yang hidupnya kesepian disebabkan tidak pandai mengekspresikan perasaannya dengan baik dan merupakan pelajar baru disebuah sekolah menengah. Yoo Soo Bin (Kim Hyang Gi) pula seorang murid terbaik di sekolahnya, namun kehidupannya ditentukan oleh si ibu. Ma Whi Young (Shin Seung Ho) digambarkan seorang pemuda yang gentlement dan sempurna diluar tapi sebenarnya ada kisah duka tersimpan.

Saat Choi Joon Woo mula memasuki sekolah baru, kehadirannya seperti menyuntik suasana yang lebih segar dan positif dalam kehidupan Yoo Soo Bin serta Ma Whi Young sehingga keduanya mula berubah. Ketiga-tiga mereka mula mengembara setiap saat demi melakar pengalaman serta momen-momen kehidupan remaja bersama.

Jika anda ingin saksikan Ong Seung Wu berlakon, tonton drama “Moment of Eighteen” bermula  22 Julai ini dirangkaian JTBC.

13. Melo Suits Me (JTBC) 

Drama “Melo Suits Me” bertemakan komedi, kehidupan, romantis dan persahabatan ini mengisahkan tentang tiga sekawan wanita yang tinggal dalam satu bumbung yang sama. Mereka yang terdiri daripada penulis skrip, pengarah filem dokumentari, dan pengurus pemasaran berusia dalam lingkungan 30an yang bersama-sama menempuhi liku-liku hidup.

Im Jin-Joo lakonan Chun Woo Hee adalah seorang penulis skrip drama yang baik dan berhadapan dengan isu emosi. Im Jin-joo kelihatan normal di luar, tetapi sering mempunyai perubahan emosi yang tidak tentu. Jeon Yeo-bin sebagai Lee Eun-jeong, seorang pengarah filem dokumentari yang terpaksa berhenti kerja di sebuah syarikat pengeluaran dokumenteri terkemuka dan menubuhkan syarikat sendiri walaupun tidak mempunyai dana yang mencukupi.

Han Ji-eun pula sebagai Hwang Han-joo, ketua pasukan unit pemasaran di sebuah syarikat produksi. Beliau terkenal di kolej kerana rupa dan otak geliganya, tetapi mempunyai personaliti yang dingin. Ahn Jae-hong membawakan watak sebagai Son Bum-soo, seorang pengarah drama yang berjaya setelah hilang minat dalam seni kraf. Beliau bertemu dengan penulis yang tidak berpengalaman, Im Jin-joo namun tertarik dengan hasil kerjanya. Watak Chu Jae-hoon,lakonan Gong Myung adalah rakan sekerja Hwang Han-joo. Beliau berada dalam frasa perhubungan yang buruk ketika bertemu Hwang Han-joo. Chu Jae-hoon mula membuat perbandingan antara Han-joo dan teman wanitanya

“Melo Suits Me” akan bersiaran dirangkaian JTBC mulai 26 Julai depan.

14. Because It’s My First Love 2 / My First First Love 2 (Netflix) 

“Because It’s My First Love 2” atau “My First First Love 2” adalah sekuel kepada musim pertama yang juga bersiaran di Netflix pada April lepas. Pihak produksi mengekalkan para pelakon asal iaitu Ji Soo, Jung Chaeyeon (DIA),  Jinyoung (B1A4), Choi Ri, dan Kang Tae Oh. “Because It’s My First Love” bertemakan cinta, persahabatan, dan impian lima orang pelajar kolej.

Namun untuk musim ke 2 ini, penonton akan di bawa untuk menyaksikan perjalanan mengenali apa itu cinta dan bagaimana mereka berhadapan dengan cinta pertama. Pelbagai kejadian menarik dan permainan emosi akan ditampilkan untuk menjadikan drama ini lebih harmoni.

“Because It’s My First Love 2” akan menemui penonton mulai 26 Julai ini hanya di Netflix.

15. Let Me Hear Your Song / I Wanna Hear Your Song (KBS)

 

“Let Me Hear Your Song”  atau “I Wanna Hear Your Song” adalah sebuah drama berentakkan muzikal dengan disadurkan eleman kemisterian dan rom-com. Drama ini mengisahkan seorang timpanist yang telah hilang ingatan termasuk ingatannya berkenaan sebuah kes pembunuhan serta perjalanannya untuk merungkai kebenaran sehinggakan beliau bertemu dengan seorang lelaki yang ‘tone-deaf’.

Yeon Woo Jin akan melakonkan watak seorang pemain piano bernama Chang Yoon yang agak misteri dan selalu melatih vokal penyanyi. Pada suatu hari, dia bertemu dengan seorang gadis bernama Hong Il Young (Kim Se Jong) yang sukar untuk tidur malam dan selalu terlewat kerana penyakit insomnia-nya itu. Chang Yoon tak mengejutkannya pada waktu pagi tapi sebaliknya mengenakan ‘panggilan petang’ (“Evening Call”) setiap hari bagi mengubati penyakitnya itu.

Song Jae Rim pula akan memegang watak utama seorang professor madya kolej muzik bernama Nam Ju Wan, merangkap seorang ‘maestro’ , yakni konduktor muzik kumpulan simfoni orkestra. Nam Ju Wan kelihatan pelik tapi sebenarnya penuh dengan kemesraan dan beliau akan menyelongkar misteri di sebalik kehilangan memori dihadapi oleh Hong Il Young kerana trauma akibat menyaksikan pembunuhan kejam pada suatu masa dahulu. Park Jin Yeon pula sebagai Ha Eun Joo, seorang pemain violin di bawah arahan maestro  Nam Jun Wan.

Untuk mengetahui kisah selanjutnya, tonton “I Wanna Hear Your Song” mulai 30 Julai ini di KBS World TV Ch 391 dan Ch 392 HD, setiap Selasa dan Rabu jam 9.00 malam.

16. Welcome 2 Life (MBC) 

 

“Welcome 2 Life” adalah drama terbaru MBC yang bertemakan fantasi dan perundangan. Drama ini mengisahkan tentang seorang peguam yang mementingkan diri sendiri di mana beliau hanya membantu mereka untuk kepentingan diri sendiri. Disebabkan satu kemalangan yang misteri membuatkan beliau berada di demensi lain dan mula menjalani kehidupan yang berbeza.

Rain ( Sketch, Come Back Mister) akan membawakan watak Lee Jae Sang, seorang peguam yang penuh egois. Merupakan seorang peguam yang hebat disebuah firma guaman terkemuka JK, Jae Sang akan melakukan apa sahaja untuk menang. Pada suatu hari, Lee Jang Sang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dan tidak semena-mena beliau berada dalam dimensi yang lain. Kali ini, beliau dapat melihat dirinya menjadi seorang pendawaraya yang tegas dan seringkali menegakkan keadilan.

Lim Ji Yeon (Blow Breeze, High Society) pula memainkan peranan sebagai bekas teman wanita Lee Jae Sang,  Ra Si On, seorang detektif yang gemar bertindak secara melulu. Biarpun Ra Si On mempunyai keperibadian yang kasar, beliau sebenarnya peramah. Selepas berpisah dengan Lee Jae Sang 10 tahun yang lalu, keduanya tidak pernah berada dalan keadaan yang baik. Dalam dunia dimensi yang lain, Ra Si On seorang isteri dan ibu yang ceria, penyayang, bersemangat dan selalu memberikan sokongan kepada suaminya, Lee Jae Sang selain bekerja sebagai detektif.

Di sini, penonton akan dihamparkan perbezaan perhubungan antara Kim Jae Sang dan Ra Si On dalam dua dunia yang berbeza, yakni dua nyata dan dunia dimensi. Drama “Welcome 2 Life” juga akan bersiaran di OhK TV Asia Ch 394 pada 30 Julai, jam 7.50 malam setiap Selasa dan Rabu.

17. When the Devil Calls Your Name (tvN) 

“When the Devil Calls Your Name” adalah sebuah drama bertemakan komedi fantasi tentang seorang penulis lagu popular Ha Rip (Jung Kyung Ho) yang menjual jiwanya kepada ‘saka’ Ryu. Apabila tiba masa untuk rohnya dituntut ‘saka’ itu kembali, dia cuba melengah-lengahkannya dan minta diperpanjangkan kontrak antara mereka. Selepas mengetahui bahawa kekayaan dan kejayaannya diperolehi dengan mencuri bakat dan kehidupan seorang gadis muda, Ha Rip berjuang  untuk memulihkan kehidupannya sendiri, serta kehidupan orang-orang di sekelilingnya. Dengan inspirasi dari kisah klasik  lagenda Jerman “Faust,” drama ini bertujuan untuk menggabungkan fantasi dengan isu kehidupan nyata dengan cara yang tidak pernah dilihat sebelumnya.

Jung Kyung Ho akan melakonkan watak seorang lelaki yang telah membela ‘saka’ untuk mengaut kekayaan dan kemegahan diri.  Dia telah menjual rohnya kepada ‘saka’ tersebut pada sepuluh tahun lalu. Apabila tiba masa untuk rohnya dituntut ‘saka’ itu kembali, dia cuba melengah-lengahkannya dan minta diperpanjangkan kontrak antara mereka. Park Sung Woong pula membawakan watak Mo Tae Gang, seorang pelakon hebat yang sebenarnya adalah jelmaan ‘saka’ Ryu di mana Ha Rip telah menjual jiwanya. Beliau suka melakukan perjanjian dengan mereka yang mahukan kemasyuran dengan sekelip mata.

Lee El akan memegang watak Ji Seo Young, CEO di agensi Ha Rip iaitu Soul Entertainment dan merupakan orang kepercayaan Ha Rip. Keduanya merupakan rakan sekerja, dan Ji Seo Young sering titipkan nasihat yang baik kepada Ha Rip.Kim Yi Kyung lakonan Lee Seol merupakan seorang penyanyi dan penulis lagu yang gagal dan sering bernasib malang.Setelah bertemu Ha Rip, kehidupannya mula berubah.

Apa yang akan berlaku selanjutnya akibat perjanjian dengan syaitan ini? Dan jika anda ingin saksikan bromance antara Jung Kyung Ho dan Park Sung Woong, jangan lupa tonton premiere drama ini pada 31 Julai menerusi rangkaian tvN.

Wow, 17 dramas all together, memang payah nak pilih kan. What ever it is, you are the decision maker, so, happy watching uolls!