[Terkini] 9 selebriti korea ini disyaki telah langgan & berkongsi video lucah rakaman Jung Joon Young secara haram

Sebelum ini, kita didedahkan nama-nama yang pernah dihubungkaitkan dengan Seungri, yang didakwa sebagai “bapa ayam” kepada mereka.  Tetapi, bilangan nama selebriti yang dikatakan terbabit dengan skandal penyebaran video seks Jung Joon Young tak terhenti di situ saja. Selang beberapa hari, media akan melaporkan nama selebriti itu satu-persatu hingga membuatkan netizen tidak duduk senang.

Berdasarkan kenyataan pihak polis pada 2 April yang lalu, telefon pintar Jung Joon Young itu dilaporkan mempunyai 23 laman ‘chatroom’ dengan 16 orang pemilik akaun. Pertama kali, sewaktu skandal ‘Burning Sun’ mula meledak, salah satu ‘chatroom’ tersebut dikatakan didiami oleh Seungri, Jung Joon Young, Choi Jong Hoon, serta beberapa pelabur ‘Burning Sun’ termasuklah Yoo In Suk, suami pelakon Park Han Byul lantas mengaitkannya dengan tuduhan Seungri sebagai pembekal pelacur. Kemudian, media melaporkan laman ‘chatroom’ yang lain pula dihuni oleh Jung Joon Young, Cha Tae Hyun dan Kim Jun Ho berkenaan dengan isu berjudi secara haram.

Terbaru semalam, slot buletin utama cenel MBC ” News Desk” telah menyenarai penuh 9 selebriti dengan 8 orang penyanyi keseluruhannya telah disyaki samada terlibat dalam rakaman atau berkongsi video seks mangsa tanpa pengetahuan mereka menggunakan laman ‘chatroom’ tersebut, yang dinamakan sebagai ‘Tokbang’. Berikut adalah nama-nama yang tersenarai:

1. Jung Joon Young

Ia bukan sangkaan lagi bahawa Jung Joon Young telah ditabalkan sebagai suspek utama yang melakukan perbuatan jijik tersebut, yakni merakam video seks dan mengambil gambar mangsa tanpa pengetahuan mereka. Beliau telah membuat kenyataan mengaku sendiri di hadapan sidang media dibuat olehnya tempoh hari. Selepas itu, polis terus membuat tangkapan reman terhadapnya sehinggalah beliau didakwa di mahkamah atas kesalahan merakam dan berkongsi video serta gambar-gambar mangsa tanpa kerelaan mereka.

Antara beberapa perbuatan jijik yang dilaporkan pihak media adalah tangkapan foto dada mangsa diambil curi-curi semasa menaiki kapal terbang pulang ke Korea, ugutan untuk merogol mangsa beramai-ramai di dalam kereta, dan ugutan kepada mangsa untuk menggugurkan tuduhan terhadapnya.

2. Seungri (bekas ahli BIGBANG)

Bermula dengan skandal ‘bapa ayam’ dan penyeludupan dadah oleh Seungri tak lama dulu, ia semakin jelas bahawa Jung Joon Young salah seorang pelanggan utama Seungri dan konco-konconya, yakni pemilik bersama ‘Burning Sun’ tersebut. Walaubagaimanapun, polis belum boleh mendakwa Seungri atas kesalahan sebagai pembekal pelacur disebabkan kekurangan bukti termasuklah testimoni-testimoni diperolehi daripada mangsa. Seungri hanya akan didakwa di atas kesalahan menyebarkan video seks tanpa kerelaan mangsa, menurut pihak polis yang mengesahkannya sekitar akhir Mac lalu.

3. Choi Jong Hoon (bekas ahli FT Island)

Choi Jong Hoon mempunyai hubungan perniagaan dengan Seungri apabila membuka salah satu restoren francais ‘Ramen Store’ yang berpengkalan di Korea dengan menggunakan Seungri sebagai orang tengah. Beliau telah dilaporkan terbabit sebagai salah trio dalam laman ‘chatroom’ yang asal kerana menggunakan polis dikenalinya untuk melepaskan diri daripada didakwa di mahkamah. Akibatnya, beliau digugurkan dari FT Islands serta-merta selepas itu rentetan daripada desakan dibuat oleh peminat kumpulan itu.

Polis juga turut mengesahkan pada 29 Mac 2019 lalu bahawa Choi Jong Hoon akan didakwa bersama-sama dengan Seungri dan Jung Joon Young.

4. Yong JunHyung (bekas ahli Highlight/BEAST)

Berita tentang penglibatan Yong Jun Hyung pertama kali dilaporkan oleh SBS “8 O’Clock News” mengenai tuduhan ‘Penyanyi Yong’ ialah orang yang berinteraksi dengan Jung Joon Young pada tahun 2016 berkenaan kesukaran hidup Jung Joon Young disebabkan masalah peribadi dialaminya.

Pada mulanya, Yoon Jun Hyun menafikannya menerusi agensinya sebelum kemudian beliau mengaku sendiri telah berkomunikasi dengan Jun Joon Young. Akibatnya, beliau minta untuk mengundurkan diri daripada kumpulan Hightlight serta-merta dan terus menjalani latihan khidmat ketenteraan bermula pada minggu lepas lagi.

Meskipun polis tak berminat untuk mendakwa beliau untuk kesalahan menyebarkan video seks Jung Joon Young, semalam, Yoon JunHyung telah disahkan sebegai 9 selebriti yang mendiami laman ‘chatroom’ dan disyaki telah berborak lucah sesama rakan-rakan selebriti lain.

5. Lee Jong Hyun (CNBLue)

Lee Jong Hyun terus dijadikan suspek apabila pada 14 Mac 2019, SBS ‘O’ Clock’ News menamakan Lee Jong Hyun sebagai salah seorang yang dikatakan pernah merakam dan berkongsi video seks dengan mangsa sesama pengguna ‘chatroom’ tersebut. Lebih memeranjatkan netizen, Lee Jong Hyun telah bersembang lucah dengan menggunakan perkataan-perkataan jijik, tak berhati perut dan merendah-rendahkan kaum hawa sehingga ada gerakan peminat yang mendesak beliau dikeluarkan CNBlue serta-merta.

Tak banyak melatah, Lee Jonghyun akhirnya mengaku ada dalam ‘chatroom’ itu tetapi menafikan bahawa pernah merakam dan berkongsi video seks mangsa. Agensi FNC turut tak terkesan dengan desakan tersebut dan mengekalkan Lee Jong Hyun di dalam CNBlue. Seperti juga Yoon Jun Hyung, polis tak berminat untuk mendakwa atas kesalahan yang sama dengan Seungri, Jung Joon Young dan Choi Jong Hoon. Lee Jong Hyun sedang menjalani latihan khidmat ketenteraan sejak tahun 2018.

6. Roy Kim

Bermula kelmarin, polis telah mengesahkan bahawa Roy Kim, penyanyi ballad sedang meningkat naik, merupakan suspek ke-4 mereka seterusnya dan telah pun mengarahkan penyanyi itu segera pulang ke Korea untuk menghadapi siasatan. Roy Kim dan Jung Joon Young telah diketahui lama berkawan sejak menyertai program realiti Superstar K4.

Baca lagi: [Analisis] Adakah Roy Kim akan berpatah arang dengan Jung Joon Young demi menjaga tengkuk sendiri?

Sebilangan netizen berpendapat pengakuan Roy Kim semasa soal siasat nanti bakal menentukan samada beliau betul-betul akan berpatah arang dengan Jung Joon Young, atau terjun bersama-samanya ke lembah hina, sahabat susah dan senang-nya selama hampir lapan tahun. Ini bermakna, Roy Kim mungkin didakwa bersama-sama atau bebas daripada tuduhan tersebut selagi beliau menguncikan mulutnya.

7. Kangin (SUJU)

Kim Young Woon, atau dikenali sebagai Kangin daripada kumpulan Super Junior telah dilaporkan oleh SBS “Night of Real Entertainment” pada 2 April 2019 lepas sebagai penghuni laman “chatroom” milik Jung Joon Young, dan disyaki telah menyebarkan video seks Jung Joon Young untuk tatapan orang ramai.

Kangin membuat pengakuan menerusi agensinya label SJ bahawa laman ‘chatroom’ itu adalah perbualannya dengan Jung Joon Young berkenaan program realiti tv jtbc ‘Hitmaker’. Turut sama menyertai program realiti tersebut ialah Lee Chul Woo dan Jeon Jin Woon 2AM yang dikatakan berborak sesama Jung Joon Young di dalam laman ‘chatroom’ itu. Kangin turut mengaku dia berada dalam ‘chatroom’ tapi nafi pernah menyebarkan video seks Jung Joon Young.

Walaubagaimanapun, semalam, beliau dinamakan salah seorang 9 selebriti di dalam laman ‘chatroom’ berlainan yang mungkin tak berkenaan dengan ‘chatroom’ pasal Hitmaker.

8. Jeon Jin Woon (2AM)

Seperti juga Kangin, beliau dilaporkan sebagai penghuni laman ‘chatroom’ tertentu selepas pendedahan oleh media mengenai hubungannya dengan Jun Joon Young di dalam jtbc Hitmaker. Setakat ini, agensi Mystic Story yang mewakili Jeon Jin Woo tak membuat sebarang kenyataan yang menafikan penglibatan Jeon Jin Woon kerana mereka menghadapi kesukaran untuk mendapatkan keterangannya yang sedang menjalani latihan khidmat negara. Semalam, Jeon Jin Woon telah dinamakan salah seorang 9 selebriti di laman chatroom yang sama.

9. Lee Chul Woo

Model Lee Chul Woo satu-satunya selebriti yang bukan penyanyi dikaitkan dengan Jung Joon Young kerana pernah menyertai jtbc Hitmaker. Seperti juga Kangin dan Jeon Jin Woon, dia dilaporkan berada di dalam laman ‘chatroom’ yang sama membincangkan tentang aktiviti program realiti tersebut.

Sebagai tindakbalas terhadap laporan tersebut, menerusi agensinya, ESTeem, Lee Chul Woo terus menyangkal dia pernah berada di dalam laman ‘chatroom’ disangkakan sebagai ‘chatroom’ untuk berkongsi video seks dan gambar-gambar mangsa dengan orang lain. Kendatipun begitu, Lee Chul Woo seperti juga Kangin, mengaku dia memang berada dalam ‘chatroom’ yang berbincang tentang ‘Hitmaker’ dan mendakwa laman itu telah terkubur sekian lama.

Semalam, seperti juga rakan-rakannya dikenali menerusi jtbc Hitmaker, Lee Chul Woo telah dilaporkan sebagai 9 orang selebriti mendiami ‘chatroom’ dinamakan sebagai ‘Tokbang’.

10. Eddy Kim

Selebriti terakhir dinamakan ialah Eddy Kim, penyanyi solo dikenali dengan runut OST “You’re So Beautiful” di dalam tvN Goblin.

Walaupun hubungan antara Eddy Kim dengan Jung Joon Young jarang diwar-warkan, mereka telah lama berkawan dan pernah muncul bersama-sama di dalam MBC “I Live Alone” dan sebagainya. Apabila Jung Joon Young secara berseloroh menyuruh Eddy Kim dan Kwon Huk Jong (abang Kwon Yuri SNSD) mencari kekasih supaya dia dapat merampasnya daripada tangan mereka, Eddy Kim berkata , “Kalau aku ada awek, aku akan tanya dulu samada dia kenal tak kau, Jung Joung? Kalau dia kenal, aku akn jauhinya.”  Berdasarkan perbualan secara spontan ini, seperti juga Zico sebelum ini, Eddy Kim telah mengetahui tabiat buruk Jung Joon Young dan hanya membiarkannya.

Lantaran daripada laporan MBC “News Desk” semalam, agensi Mystic Story mengakui Eddy Kim pernah berada di dalam laman ‘chatroom’ yang sama dengan 9 selebriti yang lain tapi menyanggah dakwaan dia pernah menyebarkan video seks dan gambar-gambar mangsa Jung Joon Young. Eddy Kim sendiri telah pun mengunjungi balai polis pada 31 Mac lalu bagi membantu siasatan polis, kata agensi tersebut. Hasilnya, polis tak berminat mendakwanya seperti dilakukan ke atas Jung Joon Young, Seungri, dan Choi Jong Hoon.

————————————————————————-

Sumber: spottvnews , OSEN

loading...