Agak mengejutkan berita ini kerana Dong Ha telah memutuskan untuk tidak men’debut’ kan dirinya sebagai hero untuk drama MBC I am Not A Robot, malah watak berkenaan telah berpindah pada Yoo Seung Ho yang telah terbina kerjayanya selaku pelakon drama. Jika dinilai populariti kedua-dua pelakon ini, Yoo Seung Ho lebih menyerlah. Walaubagaimanapun, Dong Ha memiliki resume lakonan yang lebih versatil menerusi drama SBS Suspicious Partner dan KBS Chief Kim, barangkali ini bukan masanya untuk melihat Dong Ha memegang watak utama drama buat pertama kali. Yoo Seung Ho juga bukan sekadar ditawarkan drama ini, tapi sedang menimbang genre melodramatik dalam MBC I Am Love, sesuatu yang menjadi ‘trademark’ lakonan beliau sebelum ini.
Agensi Yoo Seung Ho mengesahkan kenyataan berkenaan. “Kami telah menerima banyak tawaran untuk Yoo Seung Ho. Salah satunya, MBC I am Not Robot. Ia masih dalam pertimbangan.”
MBC I am Not a Robot berkisarkan tentang seorang lelaki yang mempunyai keinginan seksual terhadap robot atau android, dalam erti kata lain, agalmatofilia. Dia digambarkan sebagai “otaku” , hidup dengan dunianya sendiri tetapi dia bukan robot seperti yang digembar-gemburkan orang ramai. Isu ‘agalmatofilia’ ini mungkin tak pernah didedahkan sebelum ini, tapi akan jadi menarik jika ceritanya digarap dengan baik. Ia bakal mencerahkan sedikit sebanyak perihal kehidupan seorang bergelar otaku yang jarang bersosial dengan lain, bagaimana kurangnya interaksi dengan manusia menyebabkannya tertarik pada objek yang dibayangkan sebagai manusia gantian. Chae So Bin pula sedang dikatakan membintangi drama ini , mungkin sebagai android.
Merupakan karya terbaru penulis skrip MBC Shine or Go Crazy, Kim Sun Mi, drama ini akan diarahkan oleh pengarah Jun Dae Yoon, calon Best Director CARI Kdrama Awards untuk drama MBC She Was Pretty. Jun Dae Yoon juga terkenal sebagai pengarah drama berentak dua dimensi berbeza, “W” yang ditayangkan tahun lepas.
Sumber: sportalkorea , chosun