Kim Ji Yeon & Park Seo Ham Terajui “Dive Into You”, K-Drama Fantasi Romantik Penuh Emosi di Viki

Bintang baharu yang semakin mencuri perhatian, Kim Ji Yeon (The Haunted Palace) dan Park Seo Ham (Our Universe) akan menerajui barisan pelakon.

Rakuten Viki, platform utama global untuk hiburan Asia, telah mengumumkan drama K-Drama original terbaharu mereka Dive Into You, sebuah siri fantasi romantik yang dibintangi Kim Ji Yeon (The Haunted Palace, Twenty-Five Twenty-One, WJSN/Cosmic Girls) dan Park Seo Ham (Semantic Error, Our Universe). Siri ini akan ditayangkan secara eksklusif di Viki pada tahun ini di seluruh Asia Tenggara, Amerika, Eropah, Timur Tengah, Oceania dan India.

Kerjasama antara syarikat produksi Korea Dexter Pictures, Amuse Entertainment dan Viki ini menjadikan Dive Into You sebagai drama IP original pertama daripada Dexter Pictures, dengan Viki bertindak sebagai pelabur dan juga penerbit.

Selepas mengalami kemalangan hampir meragut nyawa, pelakon terkenal Yoon Ha Na mendapati dirinya kembali ke masa lalu dan bertukar tubuh dengan abang kembarnya. Bertekad untuk mengubah takdir, dia berusaha menyelamatkan sahabat zaman kanak-kanaknya, pengawal peribadi setia, dan cinta pertamanya, Jung Woo Jae.

Watak utama siri ini dilakonkan oleh Kim Ji Yeon, juga dikenali di peringkat global sebagai Bona daripada kumpulan K-pop WJSN, yang terus menikmati populariti tinggi di Asia Tenggara melalui kerjaya muzik dan lakonan. Selain peminat WJSN di rantau seperti Filipina, Indonesia dan Thailand, Kim Ji Yeon turut mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui drama seperti Twenty-Five Twenty-One, Pyramid Game dan The Haunted Palace.

Bergandingan dengannya ialah Park Seo Ham, yang melonjak naik selepas kejayaan Semantic Error sehingga membina peminat antarabangsa yang kuat, khususnya di Asia Tenggara. Beliau juga terus aktif di layar menerusi penampilannya dalam Our Universe dan The Murky Stream.

Dive Into You mencerminkan penceritaan Asia berkualiti tinggi yang sangat sesuai dengan penonton global Viki,” kata Jaehee Hong, Ketua Pegawai Kandungan Viki. “Ini adalah satu kerjasama antarabangsa yang luar biasa, dan kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Dexter Pictures dan Amuse Entertainment untuk membawa siri ini ke layar. Kami berharap dapat meneroka lebih banyak kerjasama pada masa hadapan bagi membina fandom global yang lebih kuat.”

Kim Donghyun, CEO Dexter Pictures, turut menambah, “Dive Into You adalah projek yang menggabungkan keupayaan penciptaan IP original Dexter Pictures, kepakaran produksi bersama Amuse, serta capaian global Viki dalam pengedaran hiburan Asia.”

Selain Amerika, Eropah, Timur Tengah, Oceania dan India, Dive Into You juga akan tersedia di seluruh Asia Tenggara dengan sari kata termasuk Bahasa Indonesia, Thai, Vietnam, Melayu dan Inggeris, sekali gus memperluaskan akses kepada penonton serantau.