Wakil Undang-Undang Jisoo BLACKPINK Tampil Jelaskan Kontroversi Libatkan Ahli Keluarga

Wakil undang-undang kepada Jisoo BLACKPINK telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung spekulasi yang mengaitkan dirinya dengan satu kontroversi melibatkan ahli keluarga.

Pada 16 April, muncul laporan bahawa abang kepada seorang ahli kumpulan wanita terkenal, dikenali sebagai Mr. A, telah ditahan atas tuduhan mencabul seorang penyiar wanita (BJ). Susulan itu, timbul spekulasi bahawa individu tersebut adalah abang kepada Jisoo, diikuti dengan dakwaan tambahan daripada seorang wanita yang mengaku sebagai isteri Mr. A, mendakwa berlaku keganasan rumah tangga.


Pihak Jisoo Tegaskan Tiada Kaitan

Sebagai respon, pada 20 April, peguam Eun Hyun Ho dari firma Kim & Chang yang mewakili agensi Jisoo, BLISSOO, tampil mengeluarkan kenyataan rasmi.

Menurut pihak mereka, Jisoo dan syarikatnya langsung tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes tersebut. Malah, kebanyakan maklumat yang tersebar di media dan online disifatkan sebagai spekulasi tidak sahih atau tidak benar.


Jisoo Sudah Lama Berdikari

Pihak peguam turut menjelaskan bahawa Jisoo telah menjalani kehidupan sebagai trainee sejak usia muda dan sudah lama hidup berdikari, berasingan daripada keluarganya.

Oleh itu, dia tidak berada dalam posisi untuk mengetahui atau terlibat dalam urusan peribadi individu berkenaan.


Isu Penglibatan Keluarga Dalam Syarikat

Kenyataan itu turut menyentuh mengenai dakwaan kononnya ahli keluarga terlibat dalam syarikat BLISSOO.

Menurut pihak peguam, memang pernah ada bantuan kecil daripada ahli keluarga semasa proses awal penubuhan syarikat, seperti menyampaikan komunikasi dengan pihak tertentu. Namun, mereka tidak pernah menerima sebarang bayaran atau terlibat dalam pengurusan dan keputusan syarikat.

Sejak itu, BLISSOO beroperasi sepenuhnya secara bebas tanpa campur tangan keluarga.


Dakwaan “Co-Founder” & Pengurusan Disangkal

Pihak peguam turut menafikan dakwaan bahawa individu tersebut adalah pengasas bersama atau sebahagian daripada pengurusan BLISSOO.

Mereka menegaskan bahawa individu itu tidak mempunyai sebarang hubungan dari segi undang-undang atau pengurusan dengan syarikat.


Tiada Sokongan Kewangan Atau Undang-Undang

Selain itu, ditegaskan bahawa Jisoo dan BLISSOO tidak pernah memberi sebarang bantuan kewangan atau undang-undang kepada individu tersebut, dan tidak bercadang untuk berbuat demikian.

Jisoo juga tidak mempunyai sebarang komunikasi atau penglibatan dalam isu ini.


Amaran Tindakan Undang-Undang

Pihak peguam turut memberi amaran keras terhadap penyebaran maklumat palsu dan fitnah.

Mereka menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang sivil dan jenayah tanpa kompromi terhadap:

  1. Penyebaran maklumat palsu atau fitnah
  2. Penggunaan nama, imej atau identiti artis dalam isu yang tiada kaitan
  3. Kandungan yang dibina atas spekulasi atau maklumat tidak sahih

Mereka juga menegaskan bahawa tiada sebarang toleransi atau penyelesaian akan diberikan kepada pihak yang terus menyebarkan kandungan berunsur fitnah.


Sumber : 1 | 2