The Trauma Code: Heroes On Call membawa penonton menyelami cabaran di dunia perubatan trauma melalui kisah seorang pakar bedah genius dan pasukannya yang berusaha menghidupkan kembali pusat trauma yang terabai. Drama ini bukan sahaja mengetengahkan kepakaran perubatan, tetapi juga perjuangan dan semangat pasukan trauma yang ingin memberi peluang kedua kepada nyawa yang hampir terkorban, menjanjikan aksi penuh emosi dan inspirasi.
Ju Ji Hoon, Choo Young Woo, dan Ha Young baru-baru ini berbual bersama Harper’s Bazaar Korea mengenai drama Netflix baharu mereka, The Trauma Code: Heroes on Call!
Berdasarkan webtoon popular, drama perubatan ini mengisahkan Baek Kang Hyuk, seorang pakar bedah genius yang pernah berkhidmat di medan perang. Dia kini berusaha untuk menghidupkan kembali pasukan Rawatan Trauma Teruk yang telah lama terabai.
Ju Ji Hoon, yang melakonkan watak Baek Kang Hyuk, menggambarkan drama ini sebagai, “Sebuah cerita yang menyegarkan dan mengujakan. Ia membuatkan kita berfikir, ‘Alangkah bagusnya jika seseorang seperti ini benar-benar wujud.’”
Mengenai pengalaman bekerja bersama pelakon baharu seperti Choo Young Woo, Ha Young, dan Jung Jae Kwang, Ju Ji Hoon berkata, “Saya adalah yang paling tua di set, jadi saya sedar jika saya bersikap malas, semua orang akan turut terkesan. Ia membuatkan saya menghargai usaha pelakon senior yang pernah membantu saya dahulu. Saya cuba berbincang secara terbuka dengan pengarah dan pelakon muda. Kadangkala perbincangan kami berlangsung sehingga tujuh jam. Saya tahu betapa sukar untuk bersuara sebagai pelakon baharu, jadi saya pastikan suasana tetap santai.”
Choo Young Woo, yang membawakan watak Yang Jae Won, seorang doktor elit yang mengikuti Baek Kang Hyuk ke pasukan trauma, berkongsi pengalamannya. Katanya, “Menyelamatkan nyawa adalah perbuatan yang sangat mulia. Walaupun hanya melalui pengalaman tidak langsung, saya mendekati setiap momen dengan penuh keikhlasan. Ju Ji Hoon sentiasa memantau dan membimbing saya, membantu saya membentuk watak berdasarkan webtoon.”
Ha Young, yang memegang watak jururawat senior Cheon Jang Mi, menyifatkan karakternya sebagai, “Sama seperti gelarannya, ‘Gangster,’ Jang Mi akan melakukan apa sahaja untuk memastikan pusat trauma terus bertahan. Pengarah mahu saya membawa personaliti semula jadi dan memberikan lebih banyak tenaga kepada watak ini, jadi saya menambah sisi ceria pada dirinya. Ada masa saya perlu menggosok muka atau berlari sambil berpeluh. Semakin saya kurang memikirkan penampilan, semakin saya tenggelam dalam watak.”
Temu bual penuh dan sesi bergambar Ju Ji Hoon, Choo Young Woo, serta Ha Young boleh didapati dalam keluaran Februari Harper’s Bazaar Korea. Manakala, The Trauma Code: Heroes on Call akan mula bersiaran diplatform Netflix pada 24 Januari ini.
Sumber : 1