Jungkook BTS membuat pendedahan eksklusif dalam sesi penstriman secara langsung menerusi Weverse pada 18 Disember 2024.
Tanpa mahu berselindung dengan peminat BTS terutamanya dalam kalangan ARMYs, Jungkook mengakui bahawa dia begitu teruja dengan ‘comeback’ terbaru daripada G-Dragon BIGBANG.
Sempat menghadiahkan ‘cover’ nyanyiannya untuk lagu G Dragon berjudul Who You dan Niliria, Jungkook BTS membuat pengakuan tersebut di hadapan penonton video strim-nya.
“Ah, sebenarnya, betul-betul ini, mana-mana ARMYs yang kenal aku sejak aku kecil lagi, pasti tahu yang aku minat sangat dengan BIGBANG, boleh kata peminat tegarlah. Oleh itu, aku tersangat gembira bila tahu diorang akan buat ‘comeback’… Bila “Power” dan “Home Sweet Home” keluar, aku akan cuba nyanyi sekali, dan terus naik meremang,” katanya.
Selain mendendangkan lagu G-Dragon, Jungkook turut menyumbangkan sebanyak 30 buah lagu termasuk lagunya sendiri. Bermula dengan To. X (Taeyeon), dan disusuli dengan Where Are You (Block B), APT (Rosé feat Bruno Mars), Magnetic (ILLIT), I’ll Be There (Jin BTS), serta Winter Ahead (Taehyung BTS feat Park Hyo Sin).
Kemudian, Jungkook menyanyikan tujuh buah lagu keluarannya tersendiri termasuk Standing Next to You dan 3D (feat Jack Harlow) yang dipetik daripada album solo pertamanya berjudul ‘Golden’. Mengakhiri sesi penstriman langsungnya, Jungkook menyenandungkan ‘cover’ lagu Don’t Go (Don Toliver, Justin Bieber, dan Skrillex).
Sesi penstriman langsung berkenaan berjaya meraih 20.2 juta pengunjung secara ‘real-time’, yakni tertinggi sekali yang pernah dicapai oleh Weverse.
Baru-baru ini, Jungkook memenangi dua anugerah di 2024 Billboard Music Awards iaitu Top Kpop Album dan Top Global Kpop Song. Beliau juga menduduki tangga ke-60 dalam senarai ‘Top Artist’ yang dikeluarkan oleh Billboard untuk tahun 2024, yang tertinggi dalam mana-mana artis Korea.
Jungkook kini sedang menjalani khidmat ketenteraan sejak menyertainya pada Disember 2023 bersama-sama RM, Jimin dan Taehyung. Beliau dijangka akan selesai berkhidmat sekurang-kurangnya pada pertengahan tahun hadapan.
Sumber: maeil, moneytoday