“SCOOL” Melabuhkan Tirai dengan Debut Tujuh Ahli ‘Dream Team’, Termasuk Pang Ee Xiang dari Malaysia

SCOOL adalah sebuah program survival yang bertujuan untuk mencari dan membimbing pelatih berbakat dari Korea dan Taiwan. Diusahakan oleh SBS M dan SBS FiL dengan kerjasama TEN Entertainment, rancangan ini dihoskan oleh Leeteuk daripada Super Junior. Program ini turut disokong oleh barisan mentor hebat, termasuk Eunhyuk (Super Junior), Hongki (F.T. Island), Yuju, koreografer Choi Young Joon, serta penyanyi Taiwan, Show Lo dan Luo Junshuo.

Pada 30 November, SCOOL melabuhkan tirainya dengan memilih tujuh ahli “dream team” yang akan membuat debut mereka. Mereka ialah Chen Qiwen (Taiwan), D’om (Taiwan-Belanda-Amerika), Zheng Meixiang (Taiwan), Wang Xuejun (Taiwan), Jagger atau nama sebenarnya Chen Baiyou (Taiwan), Pang Ee Xiang (Malaysia), dan Park Jinyou (Korea Selatan). Kesemua mereka bukanlah wajah asing bagi pengikut rancangan ini kerana mereka telah mencuri perhatian ramai sepanjang perjalanan mereka dalam program ini. Apa yang masih lagi menjadi misteri, apakah nama yang akan diberikan kepada kumpulan ini.

Semasa perlawanan akhir, peserta debut memperkenalkan single baharu mereka, “Let’s Go Together”. Lagu ini adalah ucapan terima kasih khas untuk semua yang telah menyokong SCOOL. Pada persembahan pertama mereka semasa konsert peminat, tujuh pemuda ini menggunakan peluang itu untuk menyampaikan hadiah cinta mereka secara peribadi. Mereka turut mengumumkan bahawa album debut pertama mereka akan dilancarkan pada bulan Disember. Selain single baharu itu, album ini juga akan memuatkan trek-trek asal daripada program SCOOL musim ini. Kumpulan ini dijadualkan untuk mempromosikan album tersebut dan merayakan bersama peminat pada acara Krismas dan Malam Tahun Baru yang akan datang bertempat di Kaohsiung.

Dari kiri : Pang Ee Xiang, Wang Xuejun, Di Weng, Chen Qiwen, Zheng Meixiang, Chen Baiyou, dan Park Jinyou. kredit gambar – TEN Entertainment

Apa yang menjadikan pencapaian ini lebih istimewa adalah apabila salah seorang yang berjaya untuk debut adalah peserta dari Malaysia, Pang Ee Xiang. Dalam episod akhir rancangan tersebut, Pang Ee Xiang diumumkan menduduki tempat ke-6 secara keseluruhan, sekaligus menjadikannya ahli kumpulan. Pang Ee Xiang, yang berusia 22 tahun, merupakan seorang penari dan ahli kru tarian Zeppo Youngsterz. Sepanjang pertandingan ini, beliau telah menunjukkan perkembangan yang sangat membanggakan. Siapa sangka, sebagai satu-satunya peserta dari Malaysia, Pang Ee Xiang berjaya lolos untuk debut bersama enam peserta lain, membuktikan bahawa bakat Malaysia juga boleh bersinar di pentas antarabangsa.

Kejayaan ini bukan sahaja memberi peluang kepada Pang Ee Xiang untuk menunjukkan bakatnya di dunia hiburan, tetapi juga memberi inspirasi kepada ramai peminat di Malaysia untuk mengejar impian mereka dalam industri hiburan global.

Apapun, selamat maju jaya buat kumpulan ‘Dream Team’. Pastinya, para peminat tidak sabar untuk menyaksikan permulaan perjalanan mereka dalam industri hiburan dengan pelbagai projek yang bakal datang. Semoga mereka terus memberikan persembahan yang luar biasa dan mencapai kejayaan yang lebih besar lagi.

Sumber : 1 | 2

loading...