Annyeong, chinguyaa~
October is here, dan pastinya peminat K-drama sudah mula tertanya-tanya, drama apa pula yang bakal mengisi watchlist bulan ini? Daripada kisah romantik dan komedi yang menghiburkan, hinggalah thriller penuh misteri, survival yang mendebarkan serta kisah sejarah dan perisik, Oktober 2026 hadir dengan pelbagai pilihan menarik untuk ditonton.
Lebih menarik, bulan ini turut menyaksikan kemunculan beberapa drama dengan premis yang cukup unik. Ada yang membawa kita ke dunia kulinari dan persaingan sengit, ada kisah doktor yang mencabar sistem hospital, malah ada juga cerita tentang rahsia, identiti tersembunyi dan hubungan yang bermula daripada pertemuan tidak disangka-sangka.
Jadi, jom semak 13 drama Korea terbaru yang bakal mewarnai Oktober 2026 dan pilih mana satu yang bakal masuk watchlist korang!
1. Your Personal Taxi

- Tarikh Tayangan: 1 Oktober 2026
- Penyiar: K-PLUS Asia (Astro Channel 396 & Astro Go) & Maxstream TV
- Genre: Muzik, Slice Of LIfe
- Barisan Pelakon: Cha Tae Hyun
Your Personal Taxi mengisahkan sebuah teksi klasik yang unik milik Mr. Ko (Cha Tae Hyun). Berbeza dengan teksi biasa, teksi ini hanya menerima tempahan dan menjadi ruang selamat untuk penumpang daripada pelbagai latar belakang berkongsi kisah kehidupan mereka.
Setiap perjalanan membawa cerita tersendiri, dengan penumpang turut memilih sebuah lagu untuk dimainkan sepanjang perjalanan. Menerusi muzik tersebut, emosi dan kisah peribadi yang sukar diluahkan dengan kata-kata dapat disampaikan, menjadikan setiap perjalanan satu pengalaman yang penuh makna dan menyentuh hati.
Selain Cha Tae Hyun, drama ini turut menampilkan Joo Jong-hyuk, Lim Se-mi dan Kwak Yoon-gy dalam penampilan istimewa. Siri ini diadaptasi daripada webtoon Personal Taxi (개인적인 택시) karya Mose Lee.
2. Between Steps

- Tarikh Tayangan: 5 Oktober 2026
- Penyiar: ENA | Disney+ Malaysia
- Genre: Romantik, Komedi
- Barisan Pelakon: Choo Young Woo, Kim So Hyun
Between Steps merupakan drama romantik yang berlatarkan sebuah makmal penyelidikan robotik, mengisahkan dua individu muda yang menemukan arah baharu dalam kehidupan apabila pertemuan mereka membawa kepada hubungan yang tidak disangka-sangka.
Choo Young Woo membawa watak Park Min Jae, bekas atlet renang yang terpaksa menamatkan kerjaya sukannya selepas kehilangan kaki kanannya akibat penyakit. Dia kemudian mendalami bidang robotik dan melanjutkan pengajian ke peringkat PhD.
Sementara itu, Kim So Hyun memegang watak Im Yoo Jin, seorang pelajar bidang pakaian dan tekstil yang terpaksa mengubah perancangannya untuk melanjutkan pengajian selepas satu kejadian tidak dijangka di universiti.
Pertemuan mereka di makmal robotik membawa kepada hubungan yang semakin rapat, sebelum berkembang menjadi sebuah kisah cinta yang tidak pernah mereka jangkakan.
Drama ini diarahkan oleh Ahn Pan Seok, pengarah Something in the Rain, One Spring Night dan The Midnight Romance in Hagwon.
3. kiDnap GAME

- Tarikh Tayangan: 6 Oktober 2026
- Penyiar: Fuji TV | Channel A | Viu Malaysia
- Genre: Thriller, Survival
- Barisan Pelakon: Lee Joon Gi, Sakaguchi Kentaro
kiDnap GAME merupakan drama thriller survival yang mengisahkan tujuh individu dari tujuh bandar Asia yang terjebak dalam permainan berbahaya selepas kes penculikan berlaku secara serentak.
Setiap peserta diberikan misi untuk menyelamatkan insan tersayang dan hanya mempunyai 10 hari untuk menyelesaikannya. Namun, mereka turut perlu memastikan diri sendiri terus hidup kerana hanya seorang peserta boleh bertahan sehingga penghujung permainan.
Lee Joon Gi membawakan watak Han Ki-joo, bekas pakar bedah genius yang menyertai permainan selepas anak perempuannya diculik, manakala Sakaguchi Kentaro memainkan watak Nīide Toshiro, seorang detektif Tokyo yang turut berusaha menyelamatkan isterinya. Kedua-duanya terpaksa memilih antara menjadi pesaing atau bekerjasama untuk membongkar kebenaran di sebalik permainan tersebut.
4. Merry Berry Love

- Tarikh Tayangan: 7 Oktober 2026
- Penyiar: Nippon TV | Hulu | Disney+ Malaysia
- Genre: Romantik, Komedi
- Barisan Pelakon: Ji Chang Wook, Mio Imada
Merry Berry Love merupakan rom-com Korea-Jepun yang mengisahkan pertemuan tidak dijangka antara Lee Yu-bin (Ji Chang-wook), seorang pereka ruang dari Korea yang mencari peluang kedua dalam hidup, dan Karin Shirahama (Imada Mio), seorang petani strawberi yang gigih di sebuah pulau di Jepun.
Selepas kehilangan kerjayanya dalam sekelip mata, Yu-bin ke Jepun untuk memulakan kehidupan baharu. Di sana, dia bertemu Karin yang turut berdepan dengan masalah kesihatan yang dirahsiakan. Pertemuan pertama mereka yang dicetuskan oleh salah faham membawa kepada pelbagai situasi lucu, sebelum hubungan mereka perlahan-lahan berkembang menjadi sebuah kisah cinta yang tidak disangka-sangka.
5. Doctor X : Mafia in White

- Tarikh Tayangan: 9 Oktober 2026
- Penyiar: SBS | Netflix
- Genre: Medical noir, Misteri
- Barisan Pelakon: Kim Ji Won, Lee Jung Eun, Son Hyun Joo, Kim Woo Seok
Doctor X merupakan drama medical noir yang mengisahkan Gye Soo Jung (Kim Ji Won), seorang pakar bedah genius yang digelar “mad dog of the operating room” kerana kemahiran luar biasa dan sikapnya yang tegas.
Dihantar ke Hospital Universiti Guseo melalui sebuah agensi penempatan doktor, Soo Jung enggan tunduk kepada sistem hospital yang dipengaruhi wang, kuasa dan rasuah. Sebaliknya, dia memilih untuk bergerak mengikut caranya sendiri dan mencabar hierarki yang sudah lama berakar dalam hospital tersebut.
Dalam perjuangannya, Soo Jung berdepan dengan Jang Hee Sook (Lee Jung Eun), ketua agensi penempatan doktor yang licik, Boo Seung Kwon (Son Hyun Joo), pengarah hospital yang terperangkap dalam sistem tersebut, serta Park Tae Kyung (Kim Woo Seok), seorang doktor pelatih yang mengagumi kemahirannya.
Drama ini merupakan remake Korea daripada siri perubatan popular Jepun, Doctor-X: Surgeon Michiko Daimon.
6. Take Charge of My Heart

- Tarikh Tayangan: 9 Oktober 2026
- Penyiar: Netflix
- Genre: Fantasi, Romantik
- Barisan Pelakon: Kim Young Kwang, Chae Soo Bin
Take Charge of My Heart merupakan drama romantik dengan sentuhan supernatural yang mengisahkan Baek Ho Rang (Kim Young Kwang), pewaris chaebol dan eksekutif resort yang bergantung kepada jantung tiruan untuk terus hidup. Ketika kuasa jantungnya semakin berkurangan, dia turut berdepan perebutan pewarisan keluarga.
Sementara itu, Na Bo Bae (Chae Soo Bin) ialah seorang penulis drama yang memperoleh kuasa elektrik misteri selepas disambar petir ketika kecil. Selepas satu pertemuan tidak sengaja, Ho-rang mendapati tenaga elektrik Bo Bae mampu mengecas semula jantung tiruannya.
Demi memastikan dirinya terus bertahan sehingga menjalani pembedahan, Ho Rang mencadangkan satu perjanjian kepada Bo Bae. Namun, hubungan yang bermula atas dasar keperluan itu perlahan-lahan berkembang menjadi kisah cinta yang dipenuhi pertelingkahan dan chemistry tidak dijangka.
Drama ini diadaptasi daripada novel web/webtoon Charge Me Up karya Hae Beon.
7. 100 Days of Deception

- Tarikh Tayangan: 10 Oktober 2026
- Penyiar: tvN, TVING | Netflix
- Genre: Sejarah, Perisik, Romantik
- Barisan Pelakon: Kim You Jung, Park Jin Young
100 Days of Deception berlatarkan Gyeongseong pada tahun 1932 ketika Korea berada di bawah pendudukan Jepun. Drama romantik perisik ini mengisahkan Lee Ga Kyeong (Kim You Jung), seorang penyeluk saku berbakat yang mengimpikan untuk mengumpul wang sebelum meninggalkan Korea dan menuju ke Amerika Syarikat.
Namun, hidupnya berubah apabila Ga Kyeong menerima misi daripada gerakan kemerdekaan untuk menyusup masuk ke Jabatan Gabenor-Jeneral Korea sebagai pelatih jurubahasa. Menggunakan identiti palsu sebagai Geum Seo-hee, dia perlu menjalankan misi berbahaya sambil menyembunyikan identiti sebenar.
Sementara itu, Kim Tae Woong (Park Jin Young) ialah seorang jurubahasa yang turut dikenali sebagai Sato Hideo, anak angkat kepada pegawai kanan Jabatan Gabenor-Jeneral Korea, Sato Shinichi (Jin Sun Kyu). Pertemuan Tae Woong dengan Geum Seo Hee mula mengubah perjalanan misi Ga Kyeong, apabila identiti dan rahsia masing-masing semakin sukar untuk disembunyikan.
8. Make Me Tingle

- Tarikh Tayangan: 15 Oktober 2026
- Penyiar: TVING | HBO Max Malaysia
- Genre: Romantik, Komedi
- Barisan Pelakon: Nam Ji Hyun, Kim Jae Young
Make Me Tingle merupakan drama romantik komedi yang mengisahkan pertemuan dua individu dengan pandangan yang berbeza tentang cinta dan hubungan.
Nam Ji Hyun membawakan watak Gong Yeon Su, seorang pemasar yang dibesarkan dalam keluarga konservatif dan mempunyai pandangan tradisional terhadap percintaan. Berbeza dengannya, Kim Jae Young memainkan watak Dokgo Dal, CEO sebuah syarikat permulaan yang menghasilkan produk seks dan lebih terbuka dalam melihat soal cinta serta keintiman.
Pertembungan pandangan antara mereka pada awalnya sering mencetuskan konflik. Namun, apabila semakin banyak bekerjasama, Yeon-su dan Dal mula mempersoalkan pandangan masing-masing tentang hubungan, sebelum menyedari bahawa perasaan antara mereka mungkin lebih rumit daripada yang disangka.
9. Love In Disguise

- Tarikh Tayangan: 19 Oktober 2026
- Penyiar: tvN | Prime Video Malaysia
- Genre: Romantik, Thriller
- Barisan Pelakon: Yim Si Wan, Seorina
Love in Disguise menggabungkan elemen penyiasatan undercover dengan kisah romantik antara seorang pewaris chaebol dan detektif yang ditugaskan untuk menyiasatnya.
Yim Si Wan membawakan watak Yoon Yi Joon, pewaris Taegang Group yang menjadi suspek utama selepas berlaku satu kes pembunuhan dalam syarikat tersebut. Bagi mengalihkan perhatian daripada dirinya, Yi Joon mengambil seorang setiausaha peribadi baharu tanpa menyedari bahawa Kang Jae Hee (Seorina) sebenarnya seorang detektif dan bekas anggota pasukan khas yang sedang menyiasat kes tersebut.
Dengan menyamar sebagai lelaki, Jae Hee mengambil pekerjaan itu untuk mendekati Yi Joon dan membongkar kebenaran. Namun, apabila hubungan mereka semakin rapat, misi penyamarannya mula menjadi semakin rumit.
Drama ini diadaptasi daripada novel web Why Don’t You Know It’s a Girl? karya Lee A-hyun dan Ryu Do Ha.
10. Final Table

- Tarikh Tayangan: 24 Oktober 2026
- Penyiar: JTBC | Prime Video Malaysia
- Genre: Kulinari, Survival, Slice-of-life
- Barisan Pelakon: Ahn Hyo Seop, Hong Hwa Yeon, Chang Ryul,
Final Table membawa penonton ke dunia persaingan kulinari apabila cef dari seluruh dunia berkumpul untuk menyertai ‘The Table: K-Chef 2026’, sebuah pertandingan bagi mencari cef terbaik Korea.
Ahn Hyo-seop membawakan watak Kang Han, seorang cef genius bertaraf dunia yang kembali ke Korea selepas satu kejadian tidak dijangka dan mengambil alih dapur Familia, sebuah restoran yang sedang bergelut untuk bertahan.
Sementara itu, Hong Hwa Yeon memainkan watak Choi Song Yi, pengurus lantai Familia dan anak kepada pengasas restoran tersebut yang telah meninggal dunia. Demi mempertahankan restoran serta memulihkan nama baik bapanya, Song-yi mula belajar memasak di bawah bimbingan Kang Han.
Bersama-sama, mereka menyertai pertandingan The Table: K-Chef 2026 sambil berdepan cabaran kulinari dan persaingan sengit, termasuk daripada Cha Woo Jin (Chang Ryul), seorang cef prodigi yang menjadi pencabar utama Kang Han. Di sebalik tekanan pertandingan, hubungan antara mereka mula berkembang dan membawa kepada kisah yang lebih peribadi.
11. Oh! My Guard

- Tarikh Tayangan: 24 Oktober 2026
- Penyiar: Lifetime | Viu Malaysia
- Genre: Romantik, Komedi
- Barisan Pelakon: Jung Yong Hwa, Hong Seung Hee
Oh My Guard merupakan drama romantik yang mengisahkan percintaan tidak dijangka antara seorang bintang Hallyu popular yang menyimpan rahsia besar dan seorang wanita yang percaya dirinya ialah heroin dalam drama lakonan bintang tersebut.
Jung Yong Hwa membawakan watak Uhm Tae Bong, seorang bintang Hallyu terkenal menerusi drama romantik yang mempunyai satu peraturan pelik — dia enggan melakonkan babak ciuman. Di sebalik imejnya yang sempurna, Tae Bong turut menyimpan satu rahsia besar yang tidak boleh diketahui sesiapa.
Sementara itu, Hong Seung Hee memainkan watak Oh Hae Ra, seorang wanita pemalu dan mudah ketakutan. Selepas terlibat dalam satu kemalangan, Hae Ra mula percaya bahawa dirinya ialah Cha Hong Doo, heroin dalam drama lakonan Tae-bong. Berbeza daripada Hae Ra, Hong Doo merupakan wanita yang berani dan tidak gentar terhadap apa-apa.
Apabila Hae Ra mula hidup seolah-olah dirinya ialah Hong Doo, pertemuan dengan Tae Bong membawa kepada hubungan yang semakin rapat dan mencetuskan sebuah kisah romantik yang luar biasa.
12. Summer Vacation

- Tarikh Tayangan: 26 Oktober 2026
- Penyiar: Wavve
- Genre: Remaja, Drama, Romantik, Misteri
- Barisan Pelakon: Cho Yi Hyun, Jin Young
Summer Vacation mengisahkan Kim Ha Yeon (Cho Yi Hyun), seorang pelajar sekolah menengah berusia 18 tahun yang menjalani kehidupan biasa dan sering membayangkan dirinya sebagai watak utama dalam sebuah kisah dramatik. Ketika mengikuti bapanya ke Upo Village atas urusan kerja, Ha Yeon mengalami satu pengalaman misteri yang menjadi titik perubahan dalam hidupnya.
Di sana, dia bertemu Jo Yu Gyeom (Jung Jin Young), seorang remaja sebaya yang merupakan cucu sulung keluarga ternama di Upo Village. Mempunyai rupa menarik dan berbakat dalam renang, Yu Gyeom menjalani kehidupan yang sederhana mengikut rutin serta peraturan tradisional keluarganya.
Kehadiran Ha Yeon yang tiba-tiba dalam kehidupan Yu Gyeom mula mencetuskan pelbagai emosi yang tidak pernah dirasainya sebelum ini. Pertemuan mereka membawa kepada sebuah kisah tentang pengalaman luar biasa, perubahan diri dan perasaan cinta pertama ketika musim panas.
13. The Perfect Lie

- Tarikh Tayangan: 30 Oktober 2026
- Penyiar: MBC
- Genre: Thriller Psikologi, Misteri
- Barisan Pelakon: Yoo Yeon Seok, Seo Hyun Jin
The Perfect Lie merupakan drama psychological thriller yang mengisahkan Min Joon Ho (Yoo Yeon Seok), seorang pakar bedah jantung dan bapa tunggal yang dikenali sebagai seorang yang tenang serta penyayang terhadap anaknya.
Dia kemudian bertemu Kang Ji Sun (Seo Hyun Jin), seorang pustakawan sekolah rendah yang melalui perubahan emosi selepas satu janji temu bersama Joon-ho yang pada awalnya berlangsung dengan sempurna.
Namun, hubungan mereka berubah apabila Joon Ho dan Ji Sun memberikan versi yang berbeza mengenai satu kenangan yang sama. Ketika kedua-duanya berusaha mencari kebenaran, mereka mula berdepan dengan rahsia dan penipuan yang mengubah segala-galanya tentang apa yang mereka sangka telah berlaku.


Daripada komedi romantik hinggalah thriller penuh debaran, Oktober kali ini memang menjanjikan pelbagai pilihan menarik untuk pencinta K-drama. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk layan semua drama terbaru ni! 🍿
Nota: Tarikh tayangan adalah tertakluk kepada perubahan oleh pihak penyiar atau platform penstriman. Kami akan mengemas kini senarai ini sekiranya terdapat sebarang perubahan. Happy watching!


