Damai International, cabang antarabangsa kepada Damai Entertainment (HKEX: 1060), anak syarikat Alibaba Group, secara rasmi memperkenalkan label pembangunan artis dan produksi kandungan baharu mereka, ORCA (Original Creative Artists). Serentak dengan itu, mereka turut melancarkan inisiatif pencarian bakat global “All My Anecdotes Global Audition”.
Inisiatif yang diwujudkan menerusi kerjasama antara ORCA dan label hiburan All My Anecdotes ini menandakan langkah penting Damai International dalam memperluaskan pengaruhnya dalam pembangunan artis serta industri hiburan global. Program tersebut juga bakal menjadi platform utama bagi mencari bakat baharu untuk projek-projek artis ORCA pada masa akan datang.
Menurut Presiden Damai International, Walter Zheng, program ini merupakan sebahagian daripada strategi syarikat untuk membangunkan bakat bertaraf antarabangsa.
“Kami mahu mencari bakat yang berpotensi dari seluruh dunia dan menyediakan latihan, sumber serta peluang yang diperlukan untuk mereka berkembang. Dengan memanfaatkan ekosistem Alibaba serta kepakaran kreatif ORCA dalam membangunkan artis antarabangsa, kami berharap dapat membina platform yang membantu mereka melangkah ke pentas global,” katanya.
Bagi meraikan pelancaran tersebut, ORCA turut memperkenalkan treler jenama baharu yang menampilkan penari dan koreografer Audrey Lane, yang dikenali sebagai ahli kumpulan Jam Republic, naib juara program Street Woman Fighter 2 terbitan Mnet.

Audrey sebelum ini turut bekerjasama dengan kumpulan K-pop MEOVV, menghasilkan kandungan tarian bersama Megan daripada KATSEYE, selain membuat penampilan istimewa bersama penyanyi China Liu Yuxin dalam rancangan variasi Sisters Who Make Waves 2026.
Treler itu turut menampilkan penyanyi dan penulis lagu DANY, yang bergandingan bersama Audrey menerusi gabungan muzik dan tarian sinematik bagi memperlihatkan identiti kreatif ORCA dan All My Anecdotes.

All My Anecdotes Global Audition terbuka kepada peserta dari seluruh dunia yang bercita-cita membina kerjaya dalam industri hiburan. Penyertaan tidak dihadkan mengikut jantina, umur atau kewarganegaraan, dan tiada jumlah pengambilan yang ditetapkan. Semua calon akan dinilai berdasarkan bakat, potensi serta kesesuaian mereka.
Peserta yang berjaya akan menyertai barisan artis ORCA bersama Audrey Lane dan DANY, selain menerima latihan menyeluruh dalam bidang persembahan, produksi muzik dan persembahan pentas daripada tenaga profesional industri. Setiap artis juga akan mengikuti pelan pembangunan yang disesuaikan mengikut kekuatan dan hala tuju kerjaya masing-masing.
Dalam jangka masa panjang, ORCA merancang untuk menubuhkan sebuah kumpulan muzik antarabangsa baharu menerusi program pencarian bakat ini.
Naib Presiden Kanan Perniagaan Muzik Damai International, Daryl Wang, berkata ORCA diwujudkan bagi menghimpunkan kreativiti dan bakat tanpa mengira sempadan negara.
“Ini bukan sekadar sesi uji bakat. Ia adalah peluang untuk belajar daripada penggiat industri berpengalaman, bekerjasama dengan bakat baharu yang menjanjikan dan menjadi sebahagian daripada komuniti kreatif bertaraf global,” jelasnya.
All My Anecdotes Global Audition berlangsung dari 3 Julai hingga 3 Ogos 2026. Permohonan boleh dibuat menerusi laman web rasmi All My Anecdotes atau melalui e-mel casting@orcaartists.com. Calon juga boleh mengikuti akaun Instagram @allmyanecdotes dan @orcaartists untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai sesi uji bakat tersebut.
Damai International merupakan cabang antarabangsa Damai Entertainment yang memfokuskan kepada pembangunan ekosistem hiburan secara global, termasuk penjualan tiket acara, pengurusan acara, pengurusan artis, produksi kandungan dan perkhidmatan venue. Pada November 2025, syarikat itu turut melancarkan platform tiket global MAISEAT, yang kini telah berkembang ke beberapa pasaran antarabangsa.


