Kembali ke Malaysia selepas 5 tahun, buat julung kalinya IU adakan konsert untuk 2 hari berturut-turut pada 8 & 9 Jun ini

Selepas 5 tahun, IU akan kembali ke Malaysia untuk membuat persembahan selama 2 hari berturut-turut pada 8 dan 9 Jun! Nampaknya sekali lagi IU dan UAENA kembali mengabadikan momen bahagia di Axiata Arena.

Penyanyi popular Korea Selatan, IU atau nama sebenarnya Lee Ji-eun, akan mengunjungi Malaysia pada bulan Jun sebagai sebahagian destinasi daripada siri jelajah dunia baharunya, “2024 IU H.E.R. WORLD TOUR CONCERT” untuk bertemu dengan UAENA (nama fandom IU) Malaysia dengan lebih rapat!

Persembahan IU di Malaysia dijadualkan pada 8 dan 9 Jun 2024. Ini juga menandakan kepulangan IU ke Malaysia selepas konsert pertamanya pada 21 Disember 2019, iaitu lima tahun yang lalu. IU sentiasa terkenal dengan personalitinya yang mesra dan baik, dan peminat di seluruh dunia juga sangat gembira apabila beliau mengumumkan siri jelajah konsert baharunya. Peminat di Malaysia juga tidak ketinggalan. Rata-ratanya sangat teruja dan terharu apabila mendengarkan berita tersebut.

IU berjaya menamatkan persinggahan pertama siri jelajah dunianya di Seoul pada 10 Mac. Beliau telah mempersembahkan pelbagai lagu baharu dan lagu-lagu popular yang begitu sinonim dengan dirinya sekaligus memenuhi dewan konsert dengan berbagai emosi. Rentetan daripada sambutan yang sangat pisitif dari UAENA khususnya, IU kini sangat teruja dengan persembahan untuk siri jelajah dunianya.

Sejak debutnya pada tahun 2008, album IU telah menduduki No. 1 di rancangan muzik dan carta muzik Korea. Album mini keenamnya, ‘The Winning’, yang dikeluarkan pada Februari tahun ini, dan lagu utamanya ‘Love wins all’ telah mengecap populariti yang ketara, manakala lagu-lagunya yang lain seperti “Shopper”, “Holssi”, “Shh..” dan “I Stan U” juga menduduki antara tempat tertinggi dalam carta muzik Korea dan global. Sebagai seorang pelakon, IU juga telah menerima begitu banyak cinta daripada penonton sebagai watak utama dalam pelbagai drama dan filem seperti “Moon Lovers: Scarlet Heart Ryeo”, “My Mister”, “Hotel Del Luna”, “Broker” dan “Dream”.

“2024 IU H.E.R. WORLD TOUR CONCERT IN KUALA LUMPUR”, anjuran iMe MY, akan berlangsung pada 8 dan 9 Jun 2024 (Sabtu dan Ahad), bertempat di Axiata Arena. Harga tiket adalah seperti berikut: RM 949, RM899, RM799, RM699, RM599, RM499 dan RM399, tidak termasuk yuran pemprosesan RM4.

Penjualan tiket untuk kedua-dua hari akan bermula pada 26 Mac jam 12:00 tengah hari melalui laman web tiket rasmi, my.bookmyshow.com.

Untuk maklumat lanjut, ikuti media sosial rasmi iMe Malaysia [Facebook, IG, Twitter]

loading...