Nampaknya semakin menarik isu kontrak BLACKPINK dengan YG Entertainment.
Pada 21 September, menurut laporan eksklusif oleh Sports Seoul, YG Entertainment dan ahli BLACKPINK berada di peringkat akhir rundingan kontrak “berpisah-tetapi-bersama”.
Pertama, laporan itu mendakwa bahawa Rosé adalah satu-satunya ahli yang memilih untuk memperbaharui kontrak dengan YG Entertainment. Tiga ahli yang lain kesemuanya menolak tawaran YG Entertainment, tetapi menyatakan hasrat mereka untuk meneruskan aktiviti kumpulan BLACKPINK.
Kontrak pelarasan oleh YG Entertainment menyatakan bahawa ahli yang diwakili oleh label luar akan terus mempromosikan sebagai kumpulan BLACKPINK selama 6 bulan dalam tempoh setahun. Ketiga-tiga ahli itu kini dalam peringkat akhir menyelesaikan rundingan untuk kontrak pelarasan ini, kata Sports Seoul.
Tambahan pula, dipercayai Jisoo dijangka mengembangkan kerjaya lakonannya pada masa hadapan, dan Lisa, bintang terkemuka yang tiada tandingan di pasaran Asia Selatan, telah ditawarkan kontrak eksklusif yang bernilai puluhan bilion KRW (lebih kurang ~$10 juta USD). Menurut Sports Seoul, Lisa dan Jisoo telah memutuskan untuk menandatangani kontrak dengan agensi di Korea Selatan sebagai wakil mereka.
Sementara itu, media berita tidak melaporkan butiran lanjut mengenai lanjutan kontrak Jennie. Bagaimanapun, ketika penutup konsert ‘BORN PINK’ di Seoul pada 17 September 2023, Jennie memberitahu peminat bahawa mereka akan terus membuat persembahan sebagai kumpulan BLACKPINK.
“Kami akan terus menjadi BLACKPINK yang anda cintai,” kata Jennie di hadapan peminat.
Ini menunjukkan bahawa ahli BLACKPINK masih mempunyai keinginan yang kuat untuk kekal bersama sebagai satu kumpulan.
Sebagai tindak balas kepada laporan itu, YG Entertainment mengeluarkan kenyataan ringkas dengan mengatakan, “Pada masa ini, pembaharuan kontrak BLACKPINK belum disahkan dan masih lagi dalam proses rundingan.”
Kontrak BLACKPINK dengan YG Entertainment sebelum ini berakhir bulan lepas.
Nantikan kemaskini selanjutnya mengenai kontrak BLACKPINK bersama YG Entertainment.