Kami sangat rindukan peminat di Malaysia dan juga Maggi Goreng – EXO-SC

14 Mei 2023 – EXO-SC adalah sub-unit K-pop yang terdiri daripada dua ahli EXO iaitu Sehun and Chanyeol. Di ringkaskan daripada EXO SeChan, dilahirkan dari gabungan nama kedua ahli sub-unit tersebut.

Menampilkan imej yang berbeza daripada EXO sebagai kumpulan utama, EXO-SC mengetengahkan muzik hip-hop dan R&B, dan digandingkan dengan gaya penampilan yang lebih santai dan kasual. Ini jelas kelihatan ketika kedua-dua acara rasmi iaitu sidang media dan sidang ‘fan-meeting’ yang berlangsung pada Ahad lepas.  Dikelolakan oleh pengacara tersohor Hani Fadzil, kedua-dua selebriti ini tampil santai dan selesa menemui pihak media dan meneruskan energi positif mereka menghiburkan peminat di Mega Star Arena, Sungei Wang.

Ketibaan mereka di sidang media membawa mood santai dan mereka kelihatan amat selesa berada di Malaysia. Menjelaskan kedatangan mereka di sini didorong oleh perasaan rindu terhadap peminat ditambah dengan pelbagai aktiviti yang terhalang dek pandemik Covid-19. Chanyeol juga turut mengambil peluang untuk berkongsi bahawa beliau teringin untuk makan Maggi goreng di Malaysia. Chanyeol dan Sehun juga turut bercerita tentang pelbagai usaha yang telah dilakukan untuk menghiburkan peminat EXO-SC dan berharap para peminat akan berpuas hati dengan persembahan mereka sepanjang ‘fan-meeting’ pada jam 8 malam itu.

Kehadiran mereka di Kuala Lumpur ini, membawa tujuh lagu untuk menghiburkan peminat- peminat iaitu What A Life, Borderline, We Young, 10 Billion Views, Fly Away, Rodeo Station dan Just us 2. Acara yang berlangsung selama satu jam 30 minit yang dipenuhi oleh pelbagai aksi menarik, comel, dan kelakar dari Sehun dan Chanyeol telah dirancang oleh pihak penganjur untuk menghiburkan peminat-peminat yang hadir. Sidang ‘fan-meeting’ ini dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu, bahagian pertama sebagai “Let’s Catch Up” yang membawa mereka berdua berkongsi gambar-gambar simpanan peribadi mereka yang ingin dikongsikan dengan peminat. Mereka berdua memilih dua keping gambar untuk berkongsi kenangan terindah seperti ketika sesi merekod lagu baru, kasih sayang Chanyeol terhadap Sehun, dan menghargai saat-saat indah bersama kumpulan EXO ketika menghantar Kai untuk menjalani khidmat tentera wajibnya.

Sidang ‘fan-meeting’ ini diselang-seli dengan persembahan lagu dan aktiviti untuk merapatkan diri dengan peminat. Pelbagai aktiviti dan usaha yang telah dilakukan untuk menguji keakraban mereka, berakhir dengan riuh ketawa peminat yang tidak kering gusi melihat keletah Sehun dan Chanyeol. Mereka berdua ini bukan sahaja kelakar dan bersahaja tapi jelas kelihatan keakraban dan kemesraan mereka yang amat selesa bersama tanpa paksaan antara mereka. Acara seterusnya memperlihatkan sisi daya saing mereka untuk menampakan 3 misi utama dalam masa yang ringkas. Keletah comel Chanyeol yang menampakkan sisi “Fake Maknae” beliau sedangkan Sehun yang memperlihatkan sisi kental dan macho beliau dalam setiap acara malam pada malam itu.

Keperibadian yang bertentangan namum hubungan akrab yang jelas antara mereka berdua benar-benar menyerlahkan humor yang semulajadi tanpa paksaan. Amat menghiburkan. Pasti terubat rindu para peminat yang menanti ketibaan mereka selama ini.

Peminat juga mengharapkan agar mereka kembali lagi ke Malaysia kelak. Namun, besar lagi impian peminat agar mereka kembali ke sini dengan sebuah kumpulan yang penuh, EXO.

Artikel ini disediakan oleh : Akqmie dan diterbitkan oleh : runaway_dida

loading...