Majoriti rakyat Korea bersetuju BTS harus jalani khidmat alternatif, seterusnya dikecualikan daripada khidmat ketenteraan

Majoriti rakyat Korea telah bersetuju bahawa BTS harus menjalani khidmat alternatif, seterusnya dikecualikan daripada khidmat ketenteraan, menurut satu kajian dibuat secara rawak oleh Realmeter.

Realmeter telah menemubual 500 orang berusia 18 tahun ke atas daripada kalangan 8000 rakyat Korea secara rawak pada 14 April 2022 lalu dengan ralat sebanyak 4.4% dan tahap keyakinan sehingga 95% dicatatkan.

Keputusannya, 65.5% bersetuju bahawa BTS boleh melakukan khidmat alternatif sebagai menunaikan kewajipan mereka sebagai rakyat Korea, manakala 30.2% pula tidak bersetuju dengan pilihan tersebut.

Daripada 65.5% yang bersetuju itu, 40.7% responden menyatakan ‘sangat bersetuju’ dan 24.8% responden pula menyatakan sekadar ‘bersetuju’. Dalam kalangan yang membangkang pula, 11.3% responden sangat tidak bersetuju manakala 18.9% pula menjawab sekadar ‘tidak bersetuju’. Responden yang berasal dari Daegu dan Gyeongbuk mencatatkan peratusan persetujuan yang tinggi iaitu 73.3%, diikuti oleh Seoul (72.8%).

Ditanya tentang tahap bagaimana BTS telah memberikan sumbangan terhadap perkembangan budaya dan martabat negara, 74.9% bersetuju bahawa BTS akan memberikan sumbangan besar menerusi khidmat alternatif manakala 20.9% pula tidak bersetuju. Kajian Realmeter ini juga senada dengan kajian Gallup Korea dibuat beberapa hari lalu apabila majoriti juga dilihat bersetuju.

Kebelakangan ini, sebilangan ahli parlimen Korea sedang berusaha untuk menggubal undang-undang bagi membolehkan artis-artis tertentu dikecualikan daripada menjalani khidmat ketenteraan, tapi menjalani khidmat alternatif sebaliknya. Jika usul mengenai BTS ini diluluskan, maka BTS boleh meneruskan aktiviti seni mereka tanpa halangan, namun secara terhad kerana mereka perlu diletakkan di dalam program alternatif selama 34 bulan di mana mereka perlu melaksanakan latihan asas ketenteraan selama empat minggu dan perlu menjalani khidmat sosial selama 544 jam. Jika undang-undang ini tidak berjaya diluluskan pula, maka Kim Seok Jin dikehendaki menyertai khidmat ketenteraan selewat-lewatnya pada akhir tahun 2022 ini apabila usianya mencecah 30 tahun.

Sumber: kmib, korea herald

loading...