Menjelang hari pelancaran ‘comeback’ terbaru NCT Dream, pembelian awal albumnya sudah mencecah 2.07 juta unit

NCT Dream, subunit NCT kembali lagi dengan pengeluaran album studio kedua berjudul ‘Glitch Mode’, sepuluh bulan selepas album studio pertama, ‘Hot Sauce’ dihidangkan buat penggemar muzik kpop.

Lebih menggembirakan hati NCT Dream apabila ‘Glitch Mode’ kini telah pun mencecah jualan sebanyak 2.07 juta unit menurut data pembelian awal yang diperolehi SM Ent. setakat 28 Mac 2022 hari ini. Ia merupakan rekod terbaik yang pernah dikecapi NCT Dream mengatasi rekod terdahulu daripada album studio pertama, yakni 1.71 juta unit diraih sebelum menjelangnya hari pelancaran album.

Berikutan pencapaian tersebut, Jeno NCT di dalam sidang media pelancaran album hari ini cuba mengulas mengenainya. “Terima kasih kerana memberikan sokongan kasih sayang yang padu untuk album kedua ini juga. Aku benar-benar terkejut dan kebingungan ketika mendengar berita ini. Apapun, aku akan tunjukkan persembahan menarik di atas pentas bagi membalas balik kasih sayang kalian,” katanya.

Jeno
Haechan

Mengulas tentang lagu ‘Glitch Mode’ berentakkan tarian hip hop, Haechan berkata, “Ia sebuah lagu yang buatkan korang jadi gian apabila kali pertama mendengarnya. Aku rasa lagu ini boleh berjaya kerana digubah oleh komposer dengan memikirkan kami di ingatan mereka”.

‘Glitch’ ialah kerosakan sistem yang lazimnya berlaku di dalam permainan video. Maka, lirik lagunya sebenarnya mahu mengupas keadaan seseorang yang kaku disebabkan penimbalan (kelengahan) yang berlaku. Jisung kemudiannya berkata, “Kami cuba berlatih koreografi menggunakan ‘keywords’ seperti ralat dan kejutan elektrik.”

Jisung
Renjun

Renjun kemudiannya menambah, “Penimbalan terhadap tarian itu dilakukan di tengah-tengah. Aku mahu menonjolkan keadaan penimbalan tersebut secara dramatik, maka sebab itulah, aku memainkan lagu ini dalam kadar kelajuan 0.5x ketika penggambaran dan cuba menari pada kadar kelajuan 2x sebaliknya. Inilah bahagian yang buat aku terhibur sangat kerana diambil ketika kitaorang seolah-olah dalam keadaan bergerigis.”

Mark Lee yang menyumbang ideanya di dalam pembuatan lirik lagu ini turut memberikan komennya berhubung kematangan NCT Dream sejak enam tahun ‘debut’. “Korang boleh lihat kami berkembang sejak zaman ‘Chewing Gum’, sampaikan membayangi muzik kami juga. Daripada keadaan mental kepada perkara kecil seperti persembahan yang kami sediakan dengan penuh gigih sekali. Itulah kevariasian yang kami tonjolkan untuk berhadapan dengan cabaran baru,” kata Mark Lee.

Mark Lee
Chenle
Jaemin

“Ketika ‘Chewing Gum’, aku masih kecil dan budak lagi. Bila korang dengar ‘Glitch Mode’ ini, terasa diri ini sudah semakin membesar dan matang daripada dahulu,” sampuk Jisung pula yang merupakan ahli termuda NCT Dream.

Album ‘Glitch Mode’ ini mengandungi 11 buah lagu iaitu “Fire Alarm”, “Glitch Mode”, “Arcade”, “It’s Yours”, “Teddy Bear”, “Replay”, “Saturday Drip”
“Better Than Gold”, “Drive”, “Never Say Goodbye” dan “Rewind”. Ia mula dilancarkan bermula jam 5.00 petang hari ini.

Sumber: moneytoday