Disebut-sebut bakal memenangi Oscar nanti, filem Jepun ini tampilkan anak Malaysia sebagai pelakonnya

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa filem Jepun yang disebut-sebut bakal memenangi sekurang-kurangnya satu kategori di dalam Academy Awards ke-94 iaitu Drive My Car turut menampilkan salah seorang pelakon yang berasal dari Malaysia yang sudah pun menetap di Jepun sejak sekian lama.

Dikreditkan sebagai ‘Kamal Zharif’, beliau memegang watak pelakon teater ‘Uncle Vanya’ yang diarahkan oleh Yūsuke Kafuku (lakonan Hidetoshi Nishijima). Walaupun adegan-adegan yang menampilkan kelibatnya tidaklah banyak mana, namun beliau telah mengharumkan nama Malaysia dengan menuturkan kesemua dialog di dalam bahasa Melayu.

Klik di sini untuk lihat petikan video lakonan beliau: TIKTOK

Kamal Zharif yang bekerja sebagai pemandu pelancong di Jepun sejak 8 tahun lalu sudah menceburkan diri dalam industri seni matahari terbit itu dengan membintangi beberapa buah iklan tv, drama dan juga filem. Antara drama lakonannya termasuklah ‘Anata No Ban Desu’, Netflix Juon: Origins dan Netflix The Naked Director. Drive My Car pula merupakan penampilan keduanya di layar perak selepas Life in Overtime.

Drive My Car yang diadaptasikan daripada karya pendek nukilan Haruki Murakami ini, berkisarkan tentang seorang pengarah pementasan teater yang terpaksa bergelut dengan kematian isterinya secara tiba-tiba dan mahu menyelongkar rahsia yang disimpan oleh isterinya. Pada suatu hari, beliau ditawarkan sebagai pengarah teater festival di Hiroshima dan memilih untuk pergi ke sana dengan menaiki kereta. Disebabkan kecacatan penglihatan yang dimilikinya, beliau tidak dibenarkan memandu kereta dan perlu menyewa seorang pemandu kereta perempuan untuk membawanya ke sana.

Drive My Car tercalon di dalam empat kategori iaitu Best Picture, Best Director, Best Adapted Screenplay dan Best International Feature Film di dalam Academy Awards ke-94 yang akan berlangsung pada 28 Mac 2022. Sekiranya filem ini berjaya merangkul sekurang-kurangnya satu trofi Oscar, Kamal Zharif akan menjadi pelakon kelahiran Malaysia kedua tampil di dalam filem yang memenangi Oscar selepas Michelle Yeoh menerusi Crouching Tiger, Hidden Dragon sebelum ini.

Sumber: fooddiversity, fashion-press, IMDB

loading...