Wang Yi Ren atau dikenali sebagai Yiren daripada kumpulan kpop Everglow, mendapat pujian melambung daripada netizen China gara-gara tindakan spontannya untuk tidak mengikuti rakan-rakan seberang daripada kumpulan sama tunduk dan menyembah peminat ketika sambutan tahun baru 2022.
Video tersebut yang dimuatnaik di laman weibo China itu menunjukkan aksi Yiren sedang menggoncangkan gugusan jari-jemarinya yang ditekuk ke dalam, lazimnya gestur yang dibuat adalah untuk berterima kasih, tanpa mengikuti rakan-rakan Everglow di sebelah yang terus sujud menyembah peminat.
Menurut kapsyen videonya, netizen itu mengulas bahawa orang China akan berlutut dan menyembah kepada tuhan (“Heaven”), bumi dan ibubapa saja. Mereka tidak akan menyembah kepada orang yang tidak diketahui asal-usulnya walaupun hanya sekadar untuk berterima kasih. Sebagai makluman, Yiren berasal dari China dan menjadi satu-satunya artis Kpop berbangsa China di dalam Everglow.
Video yang disertakan dengan tanda pagar #WangYiren itu berjaya memperolehi tontonan sebanyak 1.2 juta orang dengan 14,000 komentar telah terjana. Reaksi netizen juga agak panas dengan sebilangannya membandingkan beberapa selebriti asal China yang didapati telah berlutut dan sujud di depan orang ramai, terutamanya dalam kalangan rakyat Korea. Tidak ketinggalan juga media kerajaan berpaksikan China, Global Times turut memuji habis tindakan yang dibuat Yiren tersebut.
Everglow baru saja mengeluarkan album mini ketiganya, ‘Return of the Girl’ dengan lagu ‘Pirate’ dijadikan single utama.