IVE, yang baru saja ‘debut’ sejak tujuh hari yang lalu, melakar sejarah menjadi kumpulan kpop perempuan yang terpantas meraih kemenangan pertama di pertandingan ‘music show’.
IVE melakukannya dengan single pertama mereka, ‘ELEVEN’ yang memperolehi mata tertinggi sekaligus mengatasi pencabar terdekat, iaitu TWICE dengan single mereka berjudul, ‘Scientist’ dan terus diangkat sebagai juara MBC M Show Champion yang berlangsung pada 8 Disember 2021 hari ini.
Dengan hanya memerlukan 7 hari saja untuk berbuat demikian, IVE telah mengatasi pencapaian yang dibuat oleh ITZY, IZONE dan Blackpink sebelum ini dengan masing-masing memerlukan sebanyak 9 hari, 10 hari dan 13 hari. ‘ELEVEN’ turut meraih tontonan sebanyak 34 juta dalam seminggu di Youtube, membuktikan pengaruh IVE yang agak besar jua meskipun belum dikenali sepenuhnya di luar semenanjung Korea.
Mengulas kejayaan IVE tersebut, Starship Ent. yang mewakili IVE itu berkata, ” Kami tak percaya boleh jadi calon di tempat pertama, malah kami berniat ke pentas untuk saling menyokong antara satu sama lain. Tak sangka boleh menang. Anugerah ini begitu besar buat kami. Kami akan bekerja kuat lagi di masa akan datang, dan jangan lupa tengok kami ya.”
IVE dibarisi oleh lima orang anak didik Starship, iaitu Gaeul, Yujin, Rei, Wonyoung, Liz dan Leeseo. Wonyoung (Jang Won Young) dan Yujin (Ahn Yu Jin) merupakan bekas ahli IZONE yang telah dibubarkan pada awal pertengahan tahun ini manakala Rei pula ialah satu-satunya artis Kpop bukan berbangsa Korea, yakni berbangsa Jepun di dalam kumpulan tersebut.
Sumber: sportkhan