Dikecam kerana biarkan artis Kpop tersadai lama di lot ‘parking’, Mnet dakwa terpaksa ikut arahan khusus Covid-19


Mnet Music Awards (MAMA) 2020 berlangsung dengan jayanya pada 6 Disember 2020 tanpa kehadiran penonton. Namun, pendedahan lanjut tentang diskriminasi pihak produksi dalam menguruskan selebriti-selebriti yang dipanggil untuk membuat persembahan atau menyampaikan anugerah atau menerima anugerah, telah mencetuskan polemik berpanjangan sehingga mendapat perhatian portal sensasi terkemuka, Dispatch.

Dispatch mendedahkan pelakon-pelakon yang diberikan tugas menyampaikan anugerah telah diberikan bilik menunggu dan makanan, manakala hanya dua orang artis Kpop saja diberikan peluang untuk menduduki bilik berkenaan. Sebaliknya, mereka yang lain terpaksa dibiarkan tersadai lama di lot tempat letak kereta sementara menunggu giliran mereka dipanggil ke dalam dengan tandas mudah alih tersedia di luar.

Oleh sebab itu, sebilangan daripada mereka terpaksa menyewa bilik berdekatan atas dasar privasi dan tidak selesa dengan keadaan itu. “Ramai penyanyi sakit belakang kerana terpaksa duduk lama di dalam kereta. Ada antara mereka menyewa bilik berdekatan dan tunggu di sana,” kata sumber itu.

“Artis-artis kpop seperti BTS, NCT dan Seventeen terpaksa duduk atau berdiri di luar sekitar 1 jam hingga 6 jam lamanya dalam keadaan menggigil kesejukan,” dakwa sumber itu lagi.

Berkenaan makanan yang disediakan oleh pihak penganjur, segelintir artis Kpop tidak menyedarinya sehinggalah mereka ternampak pelakon-pelakon seperti Park Ha Sun, Jung Kyung Ho, dan Lee Yoo Bi berkongsikan tentang perihal bilik menunggu di laman sosial mereka. “Kami baru dapat tahu ada kafeteria di dalam, tapi sudah terlambat. Kami putuskan makan di kereta saja,” tambah sumber itu lagi. Mereka kemudiannya terpaksa membuat pesanan burger dan membungkus lauk-pauk untuk dibawa makan ke dalam kereta.

Susulan dengan itu, Mnet membuat kenyataan balas dengan mendakwa pihak penganjur terpaksa mengikut arahan khusus bagi mencegah penularan Covid-19. “Kami ialah penganjur ‘music show’ terkemuka, tiada sebab untuk kami mengabaikan dan mendiskriminasikan para penyanyi,” tegas jurucakapnya. Majlis anugerah berkenaan yang  diadakan di Contents World, Paju itu juga sedang menjalani separa pembinaan, maka bilangan hadirin ditegah masuk berikutan ruang yang sangat terhad.

Penjelasan dibuat ke atas tuduhan diskriminasi pula ialah para pelakon perlu diberikan keutamaan bilik menunggu kerana mereka perlu berlatih dan menghafal skrip terlebih dahulu berbanding artis-artis idol yang sudah pun merekodkan persembahan dan hanya datang untuk menerima anugerah saja.

Sumber: Dispatch, viva100, spottvnews